Ahad, 21 Mei 2017

Hari 3 Bahagian 2 (Brunei (melalui Miri, Limbang & Lawas (Sarawak) & Sipitang (Sabah)) - 28 April hingga 01 Mei 2017) - Seharian Di Brunei.

Bersambung dari Hari 3 Bahagian 1.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English:

  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3 Part 1;
  • Day 3 Part 2 (this part); or
  • Day 4.

Pintu masuk ke Masjid Omar Ali Saifuddien.


Petunjuk: Waktu di Brunei adalah UTC +8 iaitu sama dengan waktu Malaysia (UTC +8).

Hari 3 (30 April 2017 - Ahad) Bahagian 2.

Sampai di Kompleks ICQS Pandaruan, kami tidak terus ke kaunter imigresen. Ini kerana Pak Nasir dan Deddy perlu menyahut panggilan alam dahulu. Setelah selesai, baru kami melakukan prosedur masuk ke dalam Malaysia. Sebaik selesai prosedur tersebut, kami pun meninggalkan kompleks tersebut. Namun kami terlihat, barisan untuk keluar dari Malaysia, agak panjang juga, kira-kira 100 meter juga. Kira tidaklah sesak cuma agak banyak kenderaan sikit.

Kami tidak ke kiri menuju bandar Limbang, sebaliknya membelok ke kanan, yang mana ia adalah jalan menuju ke jeti bot yang menyeberangi Sungai Pandaruan, yang kini tidak digunakan lagi sejak Jambatan Persahabatan dibuka  pada tahun 2013. Sengaja ke situ, untuk melihat tinggalan pintu sempadan lama Malaysia-Brunei.

Sampai di situ, dapat terlihat lagi bangunan yang ditinggalkan, mungkin bangunan pentadbiran bagi perkhidmatan feri tersebut. Tidaklah ada fizikal jeti di sini, cuma ada hujung jalan yang terus menuju tebing Sungai Pandaruan, yang mana dari tebing ini, feri akan membawa kenderaan yang menaikinya ke seberang yang  tidaklah sejauh mana. Tidak silap, tambang feri bagi kereta biasa sekitar RM6.00 atau B$3.00, pada ketika itu. 

Dari situ, memang nampak jeti atau hujung jalan di sebelah Brunei, jadi memang pada masa itu, ia adalah penghujung jalan di Temburong. Jadi tidak hairan ia dinamakan Ujong Jalan. Ketika itu, pasport tetap dicop, cuma agak remeh sikit, di mana kita perlu mengambil cop pasport  di bandar Limbang (sebelah Malaysia) dan di pekan Bangar (sebelah Brunei). Kompleks ICQS Pandaruan hanya ada pada mulai tahun 2010 jika tidak silap saya dan Pos Sempadan Ujong Jalan pun betul-betul beroperasi beberapa ketika sebelum Jambatan Persahabatan dibuka secara rasmi.

Memandangkan kawasan ini sudah tidak lagi beroperasi, kawasan sekitarnya agak semak samun juga, tidak terjaga dan terurus. Namun beberapa papan tanda mengalukan kedatangan ke Limbang/ucapan selamat jalan masih ada. Mungkin tidak lama lagi ia juga akan dimamah usia. Kami berada di situ sekitar lebih sikit dari lima minit, dan kami pun beransur dari situ selepas itu.

 Cop pasport masuk Sarawak di Pandaruan.

Sungai Pandaruan yang menjadi sempadan bahagian Limbang, Sarawak, Malaysia dengan
daerah Temburong, Brunei. Kelihatan bekas jeti sebelah Brunei (gambar diambil dari jeti sebelah Malaysia).

Papan tanda selamat datang ke Limbang di bekas jeti feri Malaysia-Brunei di Pandaruan.


Kami meneruskan perjalanan terus ke Kompleks ICQS Tedungan untuk ke Brunei melalui bandar Limbang. Rasanya perjalanan kali ini mengambil masa kira-kira empat puluh minit juga. Kenderaan agak banyak sikit berbanding semalam bagi kedua-dua arah. Apabila sampai di Kompleks ICQS Tedungan dan Pos Sempadan Kuala Lurah, kami membuat prosedur pemeriksaan imigresen seperti biasa. Cuma di Kuala Lurah, barisan kereta agak panjang sikit, mungkin kerana ramai orang Brunei yang sudah membeli-belah di Limbang, ingin kembali. Tapi lorong untuk keluar dari Brunei lebih panjang sikit, cuma tidak seperti digembar-gemburkan yang mana ketika hari minggu, barisan boleh menjadi berkilometer panjangnya.

 Cop pasport keluar Sarawak di Tedungan.

 Cop pasport masuk Brunei di Kuala Lurah.


Peta: Perjalanan dari ICQS Pandaruan, Limbang ke 
Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin, Bandar Seri Begawan, Brunei.



Selepas urusan imigresen di Kuala Lurah, saya memandu kereta terus menuju ke pusat bandar Bandar Seri Begawan (BSB). Jika sempat, dapatlah kami bersolat berjemaah di Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin. Dulu, semasa saya ke sini sebelum ini, hanya sempat masuk dan solat sunat sahaja, tidak sempat solat berjemaah. Jadi saya mengikut sahaja anak panah serta petunjuk daripada aplikasi Google Maps.

Dalam perjalanan, saya dapat melihat kepesatan pembangunan di sebelah BSB ini. Sambil itu, kami melalui juga beberapa ikon di Brunei ini seperti pintu masuk ke Istana Nurul Iman, istana rasmi Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei yang mempunyai lebih dua ribu buah bilik! Memang jalan ini, mengimbas perjalanan yang saya jalanan sebelum ini. Dalam perjalanan ini juga saya terpandang dengan bas-bas henti-henti di Brunei ini yang mana sebelum ini saya belum berkesempatan untuk melihatnya dalam kembara saya sebelum ini.

Memasuki pusat bandar, kelihatan pelbagai bangunan kerajaan dan tarikan pelancong, seperti Bangunan Alat-Alat Kebesaran Diraja Brunei dan Lapau (Bangunan Istiadat DiRaja Brunei). Cuma di pusat bandar ketika ini banyak jalan ditutup, kerana terdapat aktiviti hari tanpa kenderaan di situ.

Akhirnya sampai juga di Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin beberapa ketika sebelum azan Zohor. Alhamdulillah, sempat juga kami sampai. Cuaca agak panas juga di BSB ini, malah ketika berjalan dari pintu masuk ke tempat ambil wuduk, ketika memijak lantai tanpa beralas kaki saya terasa seperti dibakar panasnya. Selepas mengambil wuduk, terasa segar, malah lebih lagi tat kala saya memasuki ruang solat masjid ini yang berhawa dingin. Sempat solat sunat beberapa rakaat dan bila iqamah dilaungkan, saya pun solat berjemaah dengan jemaah-jemaah di masjid ini. Ramai juga yang berjemaah, walaupun pada waktu zohor.

Selepas usai solat jemaah, kami semua mengambil kesempatan untuk bergambar di sekitar masjid ini. Cuma sebenarnya kawasan dalam masjid memang tidak boleh diambil gambar, namun saya sempat juga curi-curi ambil ketika keluar dari masjid ini. Ada petugas yang ada cuma pada masa itu, dia agak sibuk sebenarnya, jadi masa itu saya sempat mengambilnya. Di luar masjid memang boleh, jadi ambillah gambar, dan memang cantik kerana waktu tengahari yang bercuaca baik inilah yang sesuai untuk mengambil gambar masjid ini. Malah saya sempat membuat FB Live juga.

Cuma, kawasan tasik buatan di tepi masjid yang juga terdapat perahu batu yang menjadi ikon BSB ini ditutup kerana proses pengubahsuaian yang juga menjadi sebahagian daripada projek menaiktaraf Tebingan Sungai Brunei. 

Bas-bas henti-henti di Brunei.

Masjid Omar Ali Saifuddien.

Jadual lawatan ke dalam masjid.

Kolah mengambil wuduk.

Ruang solat Masjid Omar Ali Saifuddien (diambil secara curi-curi).

Plak maklumat tentang Masjid Omar Ali Saifuddien.

Pintu masuk ke Masjid Omar Ali Saifuddien.


Peta: Perjalanan seharian di Brunei.


Selepas mengambil gambar, ingatkan kami hendak ke Kompleks Yayasan Hasanal Bolkiah di hadapan masjid ini, yang merupakan pusat membeli-belah utama  di pusat bandar BSB ini, yang mana terdapat pelbagai cenderahati Brunei dikatakan dijual di sini, namun sebenarnya Deddy memaklumkan rakannya di Brunei hampir sampai. Jadi kami menunggu sahaja rakannya sampai.

Sementara menunggu, saya pun membawa ke kawasan Tamu Kianggeh di mana saya tidak sempat ke sini sebelum ini. Tamu atau pasar ini merupakan pasar utama di pusat bandar BSB. Kebanyakan dijual di sini adalah barangan keperluan harian, seperti sayura-sayuran dan bahan basah lain. Tidak pula jumpa yang menjual cenderahati pelancong seperti rantai kunci dan sebagainya di sini.

Tatkala di sini dalam beberapa ketika, sampai pula rakan Deddy yang membawa keretanya di kawasan Kianggeh ini. Kami pun semua memasuki kereta dan kemudian mengikut sahaja kereta rakan Deddy ini menuju destinasi. Dalam perjalanan, kami melalui beberapa kawasan termasuk jalan ke lapangan terbang, pintu masuk ke Jabatan Perdana Menteri Brunei dan Stadium Negara Hasanal Bolkiah. Selepas kira-kira 15 minit perjalanan, sampailah kami ke destinasi kami di Kampung Manggis.

Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.


Papan tanda kadar bayaran parkir di dalam Bandar Seri Begawan.

Bas yang beroperasi di dalam bandar.

Sungai Kianggeh.

Papan tanda Tamu (pasar) Kianggeh.

Tamu Kianggeh.

Keadaan dalaman Tamu Kianggeh.

Destinasi kami kali ini adalah di rumah seorang kakitangan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di BSB, yang sedang membuat jamuan bagi menghadapi pra-Ramadan. Kiranya kami ini langkah kanan. Rupanya yang membawa kami ini adalah Encik Hardy Hermanata, Timbalan Pensuruhjaya Tinggi Malaysia di BSB ini rupanya.

Di rumah ini kami menjamu selera dan berbual-bual dengan hadirin majlis ini yang kesemuanya adalah kakitangan Suruhanjaya Tinggi dan keluarga mereka. Banyak juga yang dibualkan dan ada yang bertanya mengenai perjalanan kami ini juga. Setelah hampir sejam, kebanyakan mereka pun beransur pulang dan kami mengikut Encik Hardy ke rumahnya pula.

Rumahnya tidak berapa jauh dari rumah tadi. Kami dijamu juga di rumah ini yang mana isterinya sempat juga memasak sedikit hidangan. Kami juga dapat melihat telatah anak-anak mereka yang merupakan kembar tiga. Selepas setengah jam di rumah Encik Hardy, kami pun kemudian dibawa Encik Hardy ke pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

Sampai di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia, yang mana ketika itu merupakan hari cuti, tetapi pagarnya dibuka, maklumlah yang membawa kami adalah Timbalan Pensuruhjaya Tinggi sendiri. Dapatlah kami memasuki dan bergambar di sini. Bukan selalu hadir pun. Biasanya cuma dapat gambar di luar pagar sahaja kalau perjalanan saya di negara lain. Setelah seberapa ketika, kami pun beransur untuk ke tempat lain pula. Kami berbesar hati dan mengucapkan jutaan terima kasih atas layanan Encik Hardy berikan kepada kami.

Jamuan di dalam rumah salah seorang petugas Pensuruhjaya Tinggi Malaysia di Brunei.

Papan tanda di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bandar Seri Begawan.

Papan tanda waktu bekerja di Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bandar Seri Begawan.

Pintu utama pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

Saya dan Timbalan Pensuruhjaya Tinggi Malaysia di BSB, Encik Ardi Hermanata.

Seterusnya, kami ke rumah rakan Deddy, iaitu Encik Sukri Sarbini, seorang diplomat Brunei yang pernah bertugas bersama Deddy di Otawa, Kanada satu ketika dahulu, yang kebetulan pulang ke Brunei pada hari tersebut. Saya pun memandu kereta ke kawasan Mentiri untuk ke rumahnya. Apabila sampai, huh, besar juga rumah ini. Bukan Sukri dan keluarganya sahaja malah semua keluarga adik-beradik dan ibu bapanya juga ada. 

Kami disambut dengan agar besar-besaran juga. Ada jamuan yang bagi saya agak besar juga. Kami dihidangkan dengan nasi Mendi kambing dan ayam. Jadi rezeki jangan ditolak, dan orang sudah memberi, jadi kami perlu merasa, agar kita tidak mencari musuh. Sambil makan, sempat juga kami mengenal keluarga ini dengan berbual-bual. Ini dibawa ke selepas sesi makan juga.

Rupanya bapa Encik Shukri ini, iaitu Lt. Kol. (B) Sarbini, merupakan seorang pegawai kanan di dalam Angkatan Bersenjata DiRaja Brunei. Beliau pernah acap kali bertugas dengan pembesar Brunei dan juga menjadi pengiring bagi pembesar luar negara yang datang. Banyak juga yang kami bualkan, sehingga ke arah politik juga. Rasa hormat juga pada beliau.

Setelah berbual, kami dibawa ke sekitar kawasan rumah yang luas itu. Saya pun macam mengiakan apa yang dikata oleh Pak Nasir, bukan rumah orang Brunei kalau tidak besar. Setelah hampir dua jam di rumah ini, kami pun meminta diri, kerana saya perlu berjumpa dengan rakan saya, kerana saya risau, dia menunggu saya dari pagi lagi. Layanan keluarga Lt. Kol. (B) Sarbini, memang terbaik dan kami amat-amat berbesar hati dengannya. Malah diucapkan kepada kami, kalau sampai ke Brunei lagi, jangan segan-segan datang lagi.

Setelah itu, saya memandu ke kawasan KFC Kota Batu yang tidak berapa jauh dari rumah Lt. Kol. (B) Sarbini, untuk berjumpa sekejap dengan rakan saya, Nams Najihin. Saya berjumpa sekejap sahaja dengannya, jadilah kerana asalkan kami dapat berjumpa. Nanti tidaklah kata lalu tempatnya tidak dimaklumkan. Memang memohon maaf dengannya, kerana hanya berjumpa sebentar. Lagipun ketika itu hampir masuk waktu Maghrib. 

Setelah kami berjumpa sebentar dengan Nams Najihin, kami memohon diri dengannya untuk meneruskan perjalanan melalui jalan lama Kota Batu menuju ke BSB. Dalam perjalanan, dapat juga kami melihat projek Jambatan Brunei-Temburong merentasi Teluk Brunei. Nanti, siapnya jambatan ini pada tahun 2019, orang Brunei tidak lagi perlu melalui Limbang untuk ke Temburong (Brunei), jadi kurang sikit cop pasport dan juga penggunaan masa ke sana. Ini juga dapat meningkatkan lagi pembangunan di Temburong nanti. 

Ketika hendak masuk ke kawasan pusat bandar BSB, projek Jambatan BSB-Kampung Air nampaknya hampir siap. Jadi orang Kampung Air yang berkereta tidak perlu memandu jauh sehingga lebih 30 minit dari BSB untuk ke Kampung Air yang hanya seberang sahaja dari BSB. Ini juga dapat mengurangkan kereta penduduk Kampung Air yang banyak parkir di kawasan Tebingan Sungai Brunei, yang mana mereka akan ke rumah mereka dengan bot penambang pula. 

Kami sampai di pusat bandar BSB sudah gelap, jadi rasanya kurang sesuai untuk berjalan-jalan di Kampung Air menaiki bot tambang. Walaupun mempunyai perkhidmatan bot pada masa itu, cuma hari sudah gelap, kemungkinan lebih berbahaya jika diteruskan. Kami kemudian mengambil keputusan untuk ke Masjid Jame' 'Asr Hasanal Bolkiah untuk solat Maghrib pula, dan terlupa untuk ke Kompleks Yayasan Hasanal Bolkiah sebenarnya.

Rumah Lt. Kol. (B) Haji Sarbini di Mentiri.

Lt. Kol. (B) Haji Sarbini (kanan) dan anak ke Encik Sukri.

Hidangan yang disajikan.

Gambar kenangan kami dengan Lt. Kol. (B) Haji Sarbini di dalam rumah.

Gambar kenangan kami dengan Lt. Kol. (B) Haji Sarbini di luar rumah.

Perjalanan dari pusat bandar BSB ke Masjid Jame' 'Asr Hasanal Bolkiah cuma sepuluh minit sahaja. Cuma kami terlepas untuk solat berjemaah dengan imam di sini. Kami pun bersolat jemaah sesama kami sendiri sahaja. Sekurang-kurangnya saya dapat membawa rakan-rakan untuk solat di kedua-dua masjid Sultan Brunei ini. 

Masjid Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah.

Tempat wuduk Masjid Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah.

Ruang solat Masjid Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah (diambil secara curi-curi).

Masjid Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah dari jauh (Gadong).

Setelah usai solat di Masjid Jame' 'Asr Hasanal Bolkiah, kami pun ke Pasar Malam Gadong, untuk melihat apa yang boleh dibeli untuk cenderahati. Ramai juga yang ke pasar malam ini, sehingga hendak parkir pun agak susah (jika hendak parkir dekat dengan pasar malam ini). Pasar malam ini tidaklah seperti di Malaysia, ia mempunyai premis berbumbung, malah setiap peniaga mempunyai lot gerai yang agak besar. Malah mempunyai kemudahan yang lengkap seperti singki dan paip.

Banyak yang didapati di pasar malam ini adalah gerai makanan dan juadah. Oleh kerana perut kami sudah penuh tahap maksima, maka memang makanan bukan pilihan untuk dibeli. Terdapat juga kedai menjual pakaian. Cuma tidak ada yang sesuai dijadikan cenderahati. Malah memang tidak ada kedai menjual cenderahati di sini. Ini bermakna, Brunei akan terus menjadi destinasi yang tiada tanda hati buat saya huhuhu. Namun saya dapat juga membeli terung asam Borneo yang bagi saya agak murah harganya. Dengan sepinggan yang mempunyai tiga biji buah terung asam ini berharga B$1.00 (+- RM3.20), saya membeli dua pinggan untuk dijadikan buah tangan ibu dan isteri saya bila pulang nanti.

Setelah setengah jam berada di pasar malam, masa di tangan menunjukkan pukul 8:30 malam. Makan Deddy mencadangkan untuk kami pulang ke Miri terus. Maklumlah, keesokannya pagi, seawal 6:00 pagi, Deddy akan pulang kerana terdapat urusan rasmi kerja, kerana Raja Bahrain telah tiba di Kuala Lumpur pada petang tadi. Jadi saya pun memandu kereta ini terus menuju ke pintu sempadan.

Saya memandu kereta ini melalui Lebuhraya Muara-Kuala Belait. Infrastruktur lebuhraya ini agak baik juga, cuma pada tempat-tempat tertentu, perlu berhati-hati kerana terdapat kereta dari arah bertentangan membuat pusingan U. Pada awalnya, saya agak keliru dengan maksud papan tanda bertulis, "AWAS! KENDERAAN BERPUSING DI HADAPAN". Saya ingatkan ada kereta berpusing seperti puting beliung, rupanya ia bermaksud terdapat kenderaan yang membuat pusingan U. 

Selain itu, terdapat juga beberapa bahagian yang masih menggunakan simpang berlampu isyarat. Jadi jangan terlajak laju, takut terbabas. Perlu diingat, penguatkuasaan had laju agak ketat juga di Brunei ini. Bahagian di antara Sungai Liang dan Kuala Belait masih belum siap sepenuhnya, malah jalan menjadi selorong, kerana kenderaan berlawanan arah menggunakan satu lorong lagi sebagai jalan mereka. Lebuhraya ini hanya sampai ke bulatan Kuala Belait sahaja, di mana selanjutnya menuju ke Pos Sempadan Sungai Tujoh Kuala Belait, jalannya agak kurang cantik. Perlu diingatkan, terdapat tol (sila rujuk catatan Hari 2 Bahagian 1) selepas bulatan Kuala Belait.

Setelah 45 minit perjalanan (laju juga saya bawa kereta), akhirnya sampai juga di Pos Sungai Tujoh Kuala Belait, Brunei. Mudah sahaja urusan imigresen dengan kereta yang hanya ada dua buah di depan kami dan dengan dua lorong dibuka. Selepas selesai urusan, maka secara rasmilah kami keluar dari Brunei. Saya kongsikan matawang Ringgit (Dolar) Brunei yang telah saya gunakan sepanjang kami di Brunei.

Lima minit kemudian, kami pun sampai di Kompleks ICQS Sg. Tujuh pula. Di sini lagi senang, terus masuk ke lorong tanpa ada kereta beratur. Alhamdulillah, tercapai cop ke-21 kami untuk perjalanan ini. Kami meneruskan perjalanan terus ke penginapan kami di Raja Inn Hotel.

Pasar Malam Gadong.

Keadaan di dalam Pasar Malam Gadong.

Perjalanan pulang ke Miri melalui Lebuhraya Muara-Kuala Belait
(tidak berapa jelas, papan tanda bertulis "AWAS, KENDERAAN BERPUSING DI HADAPAN")

Cop pasport keluar Brunei di Sungai Tujoh, Kuala Belait.



BND $1.00 (versi 1996) (masih guna) = +- RM 3.20

BND $1.00 (versi 2011) = +- RM 3.20

B$5.00 = +-RM16.00

B$50.00 = +-RM160.00

Cop pasport masuk Sarawak di Sg. Tujuh.


Peta: Perjalanan dari Pasar Malam Gadong ke Raja Inn Hotel, Miri.


Restoran Kafe Awang Mahyan, Miri.


Sebelum sampai ke hotel, kami singgah makan di Restoran Kafe Awang Mahyan, yang kami tiba pada pukul 10:00 malam, yang dibelanja oleh Deddy. Saya seperti ketangih pula, makanan yang sama seperti sebelum ini, iaitu Mee Kolok dan Teh C.
Selesai makan malam, kami pun ke hotel kami untuk mendaftar masuk dan mendapat kembali bilik yang kami duduk dua malam sebelumnya. Setelah membersihkan diri, saya pun tidur, maklumlah, seharian membawa kereta, penat juga.

Bersambung ke Hari 4.

Jika mahu lihat catatan:

If want to read in English:
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3 Part 1;
  • Day 3 Part 2 (this part); or
  • Day 4.

Tiada ulasan: