Thursday, May 11, 2017

Hari 2 Bahagian 1 (Brunei (melalui Miri, Limbang & Lawas (Sarawak) & Sipitang (Sabah)) - 28 April hingga 01 Mei 2017) - Melewati Telaga-telaga Minyak Brunei.

Bersambung dari Hari 1.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English:
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1 (this part);
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3 Part 1;
  • Day 3 Part 2; or
  • Day 4.
Tugu Pengeluaran Minyak Ke Sebillion Tong, Seria, Brunei.


Petunjuk: Waktu di Brunei adalah UTC +8 iaitu sama dengan waktu Malaysia (UTC +8).

Hari 2 (29 April 2017 - Sabtu) Bahagian 1.

Subuh di Miri sekitar pukul 4:40 pagi, memandangkan saya sudah selarikan waktu solat di dalam aplikasi telefon bimbit Muslim Pro saya ke kedudukan bandaraya Miri, maka pada ketika itulah ia membunyikan azan. Jadi saya pun tidur walaupun rasa tidak puas untuk tidur. Saya membersihkan diri dan kemudian saya pun solat setelah selesai. Memandangkan saya telah bangun makan sayugialah semua pun bangun.

Setelah semua selesai membersihkan diri dan menyiapkan beg masing-masing, maka kami semua pun keluar dari bilik pad apukul 6:20 pagi dan menuju ke lobi hotel untuk mendaftar keluar. Sekali lagi terpaksa mengejutkan petugas kaunter yang masih tidur. Suasana ketika itu sebenarnya sudah cerah seperti pukul 7:30 pagi di Kuala Lumpur pada masa yang sama. Sekejap sahaja urusan daftar keluar kerana penginapan sudah dibayar. Jadi kami terus ke kereta kami untuk memulakan kembara kami ini.

Jalan di Miri agak lengang pada pagi ini. Oleh kerana penunjuk takat minyak petrol kereta tinggal 2 takat sahaja (jika tangki minyak petrol penuh, maksimum takat penunjuk kereta Perodua Axia adalah 8 takat). Jadi kami singgah di sebuah stesen minyak Petronas di Miri ini untuk mengisi penuh tangki minyak petrol sebanyak RM49.00. Seterusnya kami meneruskan perjalanan dan singgah di E-Mart Tudan untuk mencari bekalan makanan dan minuman. Namun kedai-kedai di dalam pasaraya ini tidak dibuka lagi, namun kami ternampak sebuah kedai serbaneka 7-Eleven di belakang pasaraya ini dan membeli barang keperluan kami di sini. Ini kerana kami percaya harga di Brunei lebih mahal, namun harga di kedai ini juga mahal sikit berbanding kedai 7-Eleven di Kuala Lumpur.

Kami pun sebenarnya belum bersarapan lagi, jadi semasa mencari kedai yang masih dibuka di Tudan ini, kami mencari kedai makan juga. Cuma sukar menjumpai kedai makanan yang kami pasti halal yang telah dibuka pada masa itu di kawasan Tudan ini. Jadi Deddy yang merupakan orang Sarawak (orang Kuching) diberi amanah untuk bertanya kepada petugas kedai 7-Eleven tersebut, sekurang-kurangnya ada bunyi Sarawak sikit walaupun bukan bunyi tempatan (loghat tempatan Miri ada beza sikit dengan loghat Kuching, ada pengaruh loghat Brunei dan Sabah sikit). Jadi dapatlah kami maklumat yang terdapat beberapa restoran makanan halal dibuka di belakang pasaraya Giant Permy Jaya. Jadi kami perlu berpatah balik sikit dari situ.

Sampai di belakang Permy Jaya, memang kami terjumpa dua restoran makanan Melayu sebelah menyebelah iaitu, Singgah Cafe dan Kafe Ikhwan. Kami tidak tahu hendak pilih yang mana, akhirnya kami pilih Singgah Kafe. Di sini banyak pilihan makanan cuma tidak nampak depan mata sahaja. Kita perlu pesan, berdasarkan menu yang ada di dinding restoran. Saya memilih untuk makan laksa sarawak dan macam biasa minum air teh C tetapi jenis panas. Bagi yang tidak tahu teh C ini adalah teh 3 lapis, hampir sama dengan teh tarik, cuma tehnya menggunakan susu cair sejat dan gula kabong, sejenis gula tempatan yang diambil daripada sira (air gula) pokok nipah. Memang sedap. Harganya pun agak murah dengan laksa sarawaknya cuma RM4.00 dan teh C panas RM2.00. Lagi sedap kerana ia dibelanja oleh Pak Nasir. Terima kasih banyak-banyak.

Kami berempat bersarapan di Singgah Cafe.

Singgah Cafe, Permy Jaya, Miri. 


Selesai makan, masa menunjukan hampir pukul 8:00 pagi. Pemandu pun bertukar daripada saya kepada Deddy. Maka bergeraklah kami meninggalkan Miri untuk menuju ke Kompleks ICQS (Imigresen, Kastam, Kurantin dan Keselamatan - Immigration, Customs, Quarantine and Security) Sg. Tujuh untuk memasuki Brunei. Sebelum sampai ke kompleks ini, kami menaiki Jambatan ASEAN (juga dikenali sebagai Jambatan Batang Baram) dan saya pun bersedia dengan wang RM10.00, kerana berdasarkan pengalaman, kita perlu bayar tol RM10.00 selepas melepasi jambatan yang cuma kira-kira 400 meter panjang ini.

Sampai sahaja di plaza tol, apabila kami memasuki salah satu lorong di tengah-tengah plaza tol. Akan tetapi, petugas tol mengeluarkan tangan dan mengisyaratkan untuk kami menggunakan lorong lain. Kami pun kehairanan, dan Deddy pun berundur. Rupanya kami memasuki lorong khas untuk kenderaan bernombor pendaftaran luar Malaysia. Kami perlu menggunaka lorong khas untuk kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia yang berada dua lorong sebelahnya. Kami memasuki lorong ini dan tiada petugas di dalam pondok tol, kemudian seketika kemudian, palang tol pun dinaikan.

Rupanya kereta bernombor pendaftaran Malaysia, tidak perlu untuk membayar tol jambatan ini lagi. Baru saya teringat, sebelum pilihanraya umum negeri Sarawak pada 2016 lepas, tol ini dimansuhkan oleh Ketua Menteri Sarawak pada masa itu, Allahyarham Datu Patinggi Adenan Satem. Namun kereta bernombor pendaftaran luar Malaysia, masih perlu membayar tol RM10.00 ini. Terasa pula kami berterima kasih kepada arwah atas tindakan ini. Terasa pula pemergian arwah pada Februari lepas untuk kembali menemui Ilahi. Kita sedekahkan al-Fatihah kepada roh arwah, semoga rohnya dirahmati seperti roh-roh orang yang soleh.

Kami pun kemudian menghampiri Kompleks ICQS Sg. Tujuh yang tidak jauh dari situ. Bilangan kenderaan pun tidak banyak, mungkin kerana masih pagi. Jadi sebelum masuk ke kompleks ini, kami pun berhenti untuk mengambil gambar di pintu masuk kompleks.

Mengampiri Jambatan ASEAN.

Plaza tol Jambatan ASEAN.

Tanda Kompleks ICQS Sungai Tujuh, Miri, Sarawak.


Tanda Kompleks ICQS Sungai Tujuh, Miri, Sarawak.

Kompleks ICQS Sungai Tujuh, Miri, Sarawak.


Setelah puas bergambar, maka kami pun meneruskan perjalanan memasuki Kompleks ICQS Sg. Tujuh untuk prosedur keluar Malaysia, sekali gus untuk mendapat cop pasport kedua kami. Kami masuk lorong yang berlampu isyarat hijau, dan seterusnya menyerahkan semua pasport kami untuk di proses oleh pegawai imigresen yang bertugas di dalam pondok tersebut. Dalam masa dua minit, selesai urusan dan pasport diserahkan kembali kepada kami. Kami semak pasport masing-masing, dan melihat cop pasportnya. Suka pula hati saya. Entah kenapa.

Seterusnya kami meneruskan perjalanan menuju ke sebelah Brunei pula. Kedai-kedai yang ada selepas kompleks imigresen Malaysia dan sebelum masuk kawasan Brunei, iaitu secara teknikalnya berada di dalam kawasan "No Man Land" (walaupun sebenarnya dalam kawasan Malaysia, kawasan ini sebenarnya kawasan sebelum kompleks imigresen lama, namun setelah dibina Kompleks ICQS baru, maka kedai-kedai ini berada di dalam kawasan selepas kawalan imigresen, sekali gus dikira kawasan "No Man Land"), masih belum dibuka. Awal lagi agaknya.

Puing-puing tinggalan kompleks imigresen lama yang telah tidak lagi digunakan telah dibersihkan, jadi tidak lagi nampak kesemakannya. Sejurus sebelum memasuki kawasan Brunei yang sebenar, papan tanda Selamat Jalan berlogokan jata negeri Sarawak yang menjadi mercu tanda seumpama melambai-lambai kami.

Kami kemudian memasuki kawasan Brunei dan masuk ke dalam kompleks Pos Sempadan (istilah bagi kompleks imigresen Brunei) Sungai Tujoh Kuala Belait yang lama. Dahulu, pemeriksaan imigresen dan kastam dibuat di sini namun ia telah dipindahkan ke kompleks baru yang lebih dalam. Cuma walaupun tidak digunakan, bangunannya masih dijaga dan terdapat tiang-tiang bendera yang mempunyai bendera negara Brunei di tengah-tengahnya, menandakan kita sudah masuk ke dalam wilayah Brunei.

Kami terus menuju ke kompleks baru yang perlu masuk lagi 500 meter ke dalam lagi. Jalan ke kompleks baru ini juga seperti zigzag apabila memasuki kompleks lama, dan kita juga umpama berada di dalam hutan ketika di antara kompleks lama dan baru. Akhirnya sampai juga ke kompleks baru. Seperti di Malaysia, kami memasuki lorong yang ada pondok, bezanya sebelah Brunei terdapat dua pondok di mana pondok hadapan untuk imigresen dan pondok belakang adalah untuk kastam. Di Malaysia, selepas imigresen, kita akan melalui lorong yang mempunyai kaunter terbuka oleh kastam, itu bezanya.

Kami menyerahkan pasport kami untuk prosedur pemeriksaan oleh imigresen Brunei. Di Brunei, pasport kami diperiksa lama sikit, rasanya bukan kerana kami ada masalah, tetapi mungkin sistem mereka begitu. Dalam masa empat minit, kami mendapat kembali semua pasport kami. Kemudian, saya menyuruh Deddy bergerak dan berhenti di pondok kastam pula. Di pondok kastam, kami menyerahkan borang yang diberikan oleh Donz Car Rental, iaitu Borang Memasuki Kenderaan Ke Negara Brunei Darussalam. Ini kerana kereta kami ini memang telah digunakan untuk memasuki Brunei sebelum ini. Pegawai kastam terbabit memeriksan dan terus mengecop tarikh hari ini, dengan menggunakan cop tarikh biasa. Menandakan kereta kami sah masuk ke Brunei. Selesai sahaja, maka kami pun boleh teruskan untuk meninggalkan Pos Sempadan Sungai Tujoh ini.

Jika kenderaan yang kita gunakan, belum lagi mendaftar dengan Jabatan Kastam dan Eksais DiRaja Brunei untuk memasuki Brunei, kita wajib membawa geran asli kenderaan yang digunakan untuk mendaftar. Prosedurnya adalah, selepas selesai pemeriksaan imigresen, kita perlu terus parkir di depan pejabat Jabatan Kastam dan Eksais DiRaja Brunei, biasanya pejabatnya adalah selepas pondok kastam. Kemudian, sesiapa sahaja, sebolehnya pemandu atau sebaiknya pemilik, memasuki pejabat Jabatan Kastam dan Eksais DiRaja Brunei dengan membawa geran asli kenderaan, kemudian di dalam pejabat, serahkan geran tersebut kepada pegawai kastam bertugas untuk diperiksa. Kemudian jika ia dibenarkan untuk didaftarkan, maka satu borang akan diberikan iaitu Borang Memasuki Kenderaan Ke Negara Brunei Darussalam, untuk diisi borang tersebut oleh kita (orang yang masuk ke dalam pejabat tadi) atau jika kita bernasib baik, ia diisi oleh pegawai kastam terbabit. Seterusnya, kita perlu menandatangani borang tersebut dan menyerahkan kembali borang tersebut kepada pegawai kastam tadi untuk diluluskan dengan dicop rasmi kastam, dan data yang ada dimasukkan ke dalam sistem mereka. Setelah diluluskan, ia akan dicop tarikh pula dengan menggunakan cop tarikh biasa. Borang tersebut akan dikembalikan kepada kita. Selepas ini, borang ini boleh digunakan selama tiga tahun, tidak kira berapa banyak kali pun. Itulah prosedurnya.

  Cop pasport keluar Sarawak di Sg. Tujuh.

Papan tanda Selamat Jalan.

Memasuki Brunei.

Memasuki Pos Sempadan Sungai Tujuh, Kuala Belait, Brunei.

 Pos Sempadan Sungai Tujuh.

Cop pasport masuk  Sungai Tujoh, Kuala Belait.


Setelah selesai segala urusan di pintu sempadan, dan pasport kami mempunyai tiga cop pasport, maka kami pun meneruskan perjalanan di bumi Brunei ini. Cuma untuk 10 kilometer pertama, kami perlu melalui jalan di tengah-tengah hutan sebelum sampai ke Jambatan Rasau. Menariknya, terdapat beberapa papan tanda yang menarik perhatian seperti zikirullah dan peringatan penggunaan Bahasa Melayu. Selepas kompleks Pos Sempadan, jarak ke Bandar Seri Begawan atau dipendekkan menjadi B.S.B. (teringat pula pada kumpulan yang terkenal pada akhir 1990an dan awal 2000an, iaitu Back Street Boys, yang mempunyai singkatan yang sama), adalah 127 kilometer lagi. Huh, jauh juga (alah macamlah saya tidak ada pengalaman sebelum ini, huhuhu).

Seperti di Jambatan Batang Baram sebelah Malaysia tadi, selepas jambatan ini juga kita akan bertemu plaza tol juga, cuma plaza tol ini nampak seperti plaza tol sementara, cuma kabin sahaja. Kita perlu bersedia dengan matawang Ringgit (Dolar) Brunei untuk membayar tol ini. Bagi kereta kami, kami perlu membayar B$3.00 (+- RM9.60) bagi penggunaan jambatan tidak sampai 100 meter atau jalan tengah hutan yang ala kadar itu. Terdapat kadar lain bagi kelas kenderaan lain, adalah seperti berikut:

JENIS KENDERAAN
KADAR
Motorsikal
B$1.00
Kereta
B$3.00
Teksi
B$5.00
Kenderaan Berat 2 Gandar
B$10.00
Bas & 
Kenderaan Berat Lebih 2 Gandar
B$20.00

Melepasi  Pos Sempadan Sungai Tujuh.

Keadaan jalan selepas  Pos Sempadan Sungai Tujuh.

Menghampiri Jambatan Rasau.

Plaza Tol Jambatan Rasau.

  Kupon tol Jambatan Rasau, Kuala Belait, Brunei.


Selepas plaza tol Jambatan Rasau ini adalah Bulatan Kuala Belait yang mana jika terus (ambil simpang pukul 12 (simpang kedua)) adalah Lebuhraya Kuala Belait - Muara, yang baharu sahaja hampir siap sepenuhnya (terdapat beberapa proses persiapan terakhir). Lebuhraya ini adalah lebuhraya percuma. Jika mengambil simpang ke kiri (simpang pukul 9 atau simpang pertama), menuju ke bandar Kuala Belait dan seterusnya jalan lama ke BSB. Kuala Belait adalah bandar pertama yang akan kita jumpa (atau jika kita guna lebuhraya hanya lihat sipi-sipi sahaja, huhuhu).

Saya meminta agar kami singgah di bandar Kuala Belait untuk membeli kad SIM prabayar dari syarikat telekomunikasi DST yang ada pejabat cawangannya di bandar ini. Ketika kami sampai pada pukul 8:35 pagi, pejabat DST ini belum buka kerana ia hanya di buka pada pukul 9:00 pagi. Jadi kami pun berjalan-jalan di sekitar kawasan pejabat DST ini yang terdapat banyak premis komersil. Juga terdapat juga cawangan TAIB, iaitu Tabung Amanah Islam Brunei yang merupakan satu institusi kewangan Islam di Brunei, dan juga Insurans TAIB , anak syarikat TAIB, rasanya pengendali takaful di Brunei. Saya juga masuk ke dalam salah sebuah kedai runcit yang ada di situ, untuk melihat harga barangan harian di Brunei. Harganya mahal sikit, jika kita buat tukaran dengan Ringgit Malaysia, tapi jika tidak ia agak murah jika kita anggap B$1.00 = RM1.00.

Sudah berjalan, kami kembali semula ke pejabat DST tatkala ia ingin dibuka. Huh, sudah ramai orang pula. Ketika itu baru saya perasan yang DST bermaksud Data Streaming Technology. Malah rupanya nama penuh syarikat DST ini juga diJawikan juga. Memang semua papan tanda di Brunei mempunyai tulisan jawi termasuk perkataan bukan Bahasa Melayu, ditulis dalam tulisan Jawi bunyinya. Boleh rujuk gambar-gambar saya sertakan.

Apabila pejabat DST dibuka, masing-masing berikan nombor oleh petugas dengan menyatakan tujuan urusan. Saya berkata hendak membeli kad SIM prabayar, makan diberikan nombor khas berlainan dengan pelanggan lain yang membuat urusan lain. Setelah menunggu kira-kira dua minit, saya dipanggil bukan melalui nombor tetapi secara peribadi, agaknya kerana tidak banyak orang yang hendak membeli kad SIM di sini. Saya memberikan pasport saya dan Abang Zul kerana kami yang hendak membeli kad SIM. Deddy dan Pak Nasir tidak mahu pula. Pasport saya difotostat dan dikembalikan.

Tatkala hendak diproses, saya bertanya, kad SIM prabayar Easi untuk pelancong (Easi Tourist - di dalam laman web DST menyatakan harganya adalah B$15.00 (+- RM48.00)) ada dijual? Rupanya hanya kad SIM Easi biasa berharga B$30 (+- RM96.00) sahaja dijual di situ, dan dimaklumkan kad SIM Easi Tourist hanya dijual di cawangan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dan cawangan ibu pejabat DST di BSB sahaja. Huh, terus saya tidak jadi untuk membelinya. 

Saya pun bertanya, agaknya di mana kami boleh mendapatkan kad sim prabayar yang murah. Rupanya jawapannya sungguh tidak sangka, petugas DST mencadangkan agar kami ke syarikat telekomunikasi Progresif, iaitu saingan DST, yang mana nama lamanya adalah b-mobile, setelah diambil alih pengurusan baru, yang mempunyai cawangan di kompleks membeli belah KB Central, iaitu bangunan besar pertama yang akan kita bertemu di sebelah kiri jalan sebalik sahaja melepasi Bulatan Kuala Belait menuju ke Kuala Belait. Kalau di Malaysia, tidak jumpa petugas sebuah syarikat mencadangkan syarikat pesaing, tapi di Brunei, ia sebaliknya. Memang memudahkan pelanggan juga. Saya berterima kasih dan kami terus ke KB Central untuk ke pejabat Progresif pula.

Bulatan Kuala Belait.

Pejabat syarikat telekomunikasi DST di Kuala Belait.

Waktu operasi DST Kuala Belait.

Nama syarikat DST di dalam Bahasa Melayu (tulisan Rumi dan Jawi).

Sampai di KB Central pada pukul 9:25 pagi, kami parkir kereta di ruang parkir yang tiada (inda jika dalam Bahasa Melayu loghat Brunei) bayaran parkir. Kami naik ke tingkat komersil dan mengetahu pejabat Progresif berada di tingkat 2. Tapi bila sampai di situ, pejabatnya belum buka lagi di mana waktu operasinya adalah dari pukul 10:00 pagi ke 10:00 malam.

Jadi kami menunggu sahaja, sambil berjalan-jalan sekitar kompleks membeli-belah ini. Kena pula di kompleks ini, terdapat liputan WiFi percuma, jadi kami pun menggunakannya. 

Di kompleks ini terdapat beberapa kedai-kedai tetapi masih belum buka. Pasarayanya pun baru buka, dan ruang niaga sementara di ruang legar kompleks pun sedang membuat persiapan untuk perniagaan. Kebetulan restoran makanan segera Jollibee, yang merupakan jenama berasal dan terkenal di Filipina telah pun dibuka. Teringat pula saya semasa beberapa kali di Filipina, rasa teringin untuk makan, tapi apakan daya, ia tidak halal. Jadi di Brunei ini sudah tentu halal.

Jadi saya pun ke bawah (restorannya di aras 1), untuk pergi makan. Namun sampai di sana, anak-anak kecil dari tadika tempatan dibariskan oleh guru-guru mereka di depan kaunter. Saya lambat seminit. Maklumlah kanak-kanak ini bukan sedikit tetapi ramai! Kalau tunggu, mahu sejam juga baru selesai. Staf Jollibee KB Central ni pun satu, kena tidak buka kaunter lain. Kempunan saya berterusan. Namun apabila saya melihat kecomelan kanak-kanak ini dengan telatah mereka, terubat sikit kekempunan saya, huhuhu.

Pejabat syarikat telekomunikasi Progresif di dalam KB Mall, Kuala Belait.

Waktu operasi Progresif KB Mall.

Jollibe KB Mall.



Anak-anak tadika yang sedang beratur untuk membeli makanan di Jollibe KB Mall.


Kami kembali semula di depan pejabat Progesif ketika masa pejabat buka hampir tiba. Memang budaya di Brunei ini, masa operasi adalah mengikut masa setepatnya. Ini boleh dilihat semasa masa pejabat DST dan Progresif dibuka. Jadi apabila dibuka sahaja, terus kami memaklumkan kepada petugas yang kami hendak membeli kad SIM prabayar Progresif untuk pelancong. Alhamdulillah katanya ada dijual dengan harga cuma B$10.00 (+- RM32.00) sahaja.

Kami terus dibawa ke kaunter dan terus diproses pembeliannya. Kami perlu memberikan pasport kami. Kali ini, Deddy pun ingin membeli sekali di samping saya dan Abang Zul, mungkin kerana harganya yang agak murah, dan dia bermasalah dengan syarikat telekomunikasinya (celcom) tentang plan perayauan antarabangsanya (celcom Pasport) yang masih tidak dapat diaktifkan (sampai kami balik semula ke Miri, keesokan malamnya pun tidak selesai). Cuma proses untuk pendaftaran kad SIM prabayar Progresif plan pelawat agak lama sikit, kira-kira lebih sikit 10 minit untuk setiap kad SIM. Tapi tidak mengapalah, kami pun tidak mengejar apa-apa sangat.

Di bawah plan pelawat kad SIM prabayar Progresif ini, ia ditawarkan dengan pakej yang agak lengkap. Ia dilengkap dengan 50 minit panggilan suara tempatan, 50 sms tempatan, 10 minit panggilan suara antarabangsa, 10 sms antarabangsa dan yang paling penting 1GB data. Ia penting kerana saya perlu untuk menggunaka aplikasi peta GPS Google Maps (walaupun saya sudah memuat turun peta luar talian, tapi jika ada data lagi bagus) dan juga untuk mendapat terkini mengenai tempat di Brunei atau berkaitan. Memang pakej ini terbaik. Memang berbeza kerana pada kehadiran saya di Brunei tiga tahun sebelumnya, harga kad SIM prabayar daripada DST atau b-mobile (nama lama Progresif) adalah B$50.00 (+- RM130.00 mengikut harga tukaran masa itu).

(Semasa menggunakan kad SIM prabayar Progresif ini sepanjang di Brunei, perkhidmatannya adalah baik dan kadar muat turun/muat naik data internet adalah baik tanpa banyak terputus, tidak seperti yang digambarkan. Gambaran awal menyatakan liputan Progresif tidak baik adalah tidak betul sekali. Ia setanding DST juga, malah di Temburong, hanya terputus sekejap sahaja tat kala di tengah-tengah Temburong yang memang tiada berpenduduk kawasan itu. Bagi saya, memang berbaloi menggunakan kad SIM Progresif ini).

  Pek Kad SIM Pelawat Progresif.

  Kad SIM Pelawat Progresif.



  Invois Kad SIM Pelawat Progresif.


Setelah  selesai berurusan di Progresif, kami pun terus kembali ke kereta (terlupa untuk ke Jollibee) dan meneruskan perjalanan ke Pos Sempadan Kuala Lurah, mengikut jalan lama. Memandangkan kami mengikut jalan lama, jadi sempatlah saya untuk singgah ke Tugu Peringatan Pengeluaran Minyak Ke Sebillion Tong di Seria, yang memang di dalam perjalanan kami. Saya tidak sempat untuk melawat tugu ini ketika perjalanan saya tiga tahun lepas

Apabila sampai di Seria, iaitu kawasan yang dipenuhi dengan pejabat dan kuarters penginapan kakitangan Shell Brunei, kami belok ke kiri menghala ke laut apabila sampai ke sebuah arca yang merupakan tanda bagi pusat latihan Shell Brunei. Terus ke hujung jalan lurus, maka akan bertemu kompleks tugu ini.

Tugu ini dibina dan dirasmikan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia, Paduka Sultan Brunei, Sultan Hasanal Bolkiah alHaj pada tahun 1991 bagi memperingati pengeluaran ke sebillion tong dan juga ulang tahun ke 75 tahun pengeluaran minyak di Brunei. Kiranya tugu ini merupakan salah satu mercu tanda bagi barat Brunei terutama bagi daerah Kuala Belait (Seria termasuk di dalam daerah Kuala Belait, bukannya daerah Tutong, satu lagi kawasan utama pemprosesan bahan petroleum di Brunei).

Sekitar bawasan tugu ini, terdapat juga mural-mural pengkisahan pengeluaran petroleum di Brunei yang mengubah, Brunei dari satu kawasan yang hanya bergantung kepada hasil perikanan dan pertanian menjadi satu kuasa minyak. Malah hasil minyak ini menjadikan Sultan Brunei antara orang terkaya di dunia. Juga terdapat juga lokomotif lama dan juga pam telaga minyak lama yang menjadi bahan tatapan pengunjung di sini.

Sekitar tugu ini juga terdapat banyak telaga-telaga minyak kecil di sebelah daratan. Cuma ketika kami di sini, agaknya kerja-kerja pengepaman diberhentikan kerana hampir kesemua telega minyak ini tidak mengepam minyak. Dari tugu ini juga kita boleh melihat beberapa pelantar minyak di laut yang aktif mengeluarkan hasil petroleum.

Mercu tanda pusat latihan Shell Brunei.

Kawasan perumahan pekerja Shell Brunei.

Tugu Peringatan Pengeluaran Minyak Ke Sebillion Tong, Seria, Brunei.

Lokomotif lama.

Pam telaga minyak lama.

Tugu Pengeluaran Minyak Ke Sebillion Tong, Seria, Brunei.

Plak konsep tugu.

Plak peringatan pengeluaran minyak mintak yang kesebilion tong.

Plak majlis perasmian tugu.


Setelah lebih sikit daru setengah jam di tugu ini, kami pun meneruskan perjalanan, untuk ke Pos Sempadan Kuala Lurah dan seterusnya ke Limbang. Pada hari ini, kami tidak ke BSB kerana kami akan ke situ keesokan harinya. Dalam perjalanan, sempat juga saya melihat banyak burung bangau di tepi jalan di Seria. Walaupun ia kawasan industri petroleum, namun hidupan liar tetap boleh hidup di kawasan ini. Kami terus menggunakan jalan lama melewati Kampung Lumut, Sungai Liang dan Telisai, yang mana kami dapat melihat kehidupan kampung di Brunei.

Setelah melewati kawasan Telisai, kami kemudian menggunakan Lebuhraya Kuala Belait-Muara melewati Bukit Beruang dan Tutong. Di lebuhraya ini juga agak selesa perjalanannya, dan ia percuma. Cuma ia tidak seperti Lebuhraya Utara Selatan dan kebanyakan lebuhraya di Semenanjung Malaysia yang lebih baik sedikit. Lagipun lebuhraya ini masih mempunyai tempat pusingan U dan juga di beberapa tempat mempunyai simpang lampu isyarat.

Sebenarnya saya sebagai penunjung arah, terlepas jalan pintas yang lebih pendek melalui Kg Bukit Nibong yang memerlukan kami membuat pusingan U sebelum sampai kawasan pekan Tutong, namun saya terlepas. Jadi kami mengambil jalan keluar daripada lebuhraya selepas melepasi pekan Tutong. Kami mengambil jalan lama melalui Bang Singgong, kemudian melewati Birau, Wasan dan Kampung Limau Manis. Jalan lama di Brunei, lebih kurang sahaja dengan jalan lama atau jalan kampung di Malaysia. Cuma papan tanda trafik agak berbeza sedikit, tapi masih dapat difahami. 

Diperhatikan sepanjang perjalanan, banyak juga rumah-rumah di sana agak besar. Malah paling hebat, adalah di depan rumah terdapat pondok yang didirikan sebagai tempat parkir kereta, biasanya kereta yang ada setiap rumah akan ada kereta melebihi tiga buah! Sampai terkeluar dari mulut Pak Nasir, "bukan rumah orang Brunei kalau tidak besar". Saya menjawab, bukan semua tetapi sebahagian sahaja, ada juga yang rumah sederhana dan kecil. Masa di Wasan, ternampak juga sawah padi, rupanya ada juga sawah di Brunei.

Akhirnya setelah sejam lebih sikit kami berjalan, maka kami pun sampai di Pos Sempadan Kuala Lurah. 

Burung bangau yang terdapat di tepi jalan Seria.

Api menyala di loji pemprosesan minyak di Shell Seria.

Keadaan lebuhraya di Brunei (di kawasan Bukit Beruang, Tutong).

Keadaan jalan kampung di Brunei (di kawasan Tutong).

Sawah padi di kawasan Wasan, Brunei.

Keadaan jalan raya menghampiri Pos Sempadan Kuala Lurah, Brunei.

Pos Sempadan Kuala Lurah, Brunei.


Sampai di Pos Sempadan Kuala Lurah, Brunei ini, kereta agak banyak sikit. Namun tidaklah sesak sebagai mana yang biasa dimaklumkan oleh orang yang biasa menggunakannya, kerana kata mereka pada hari Jumaat ke Ahad, biasanya kereta agak banyak dan boleh beratur sehingga berkilometer-kilometer jauhnya. Kali ini kami hanya beratur hanya lima kereta sahaja di depan kami dengan dua lorong dibuka.

Cop pasport keluar Brunei di Kuala Lurah.



Peta: Perjalanan dari Miri, Sarawak ke Kuala Lurah, Brunei mengikut jalan darat.


Selepas hampir beberapa minit, sampailah giliran kami dengan pasport diserahkan kepada pegawai imigresen Brunei. Selepas diperiksa dan dicop keluar Brunei, ia diserahkan kepada kami. Deddy kemudian memandu kereta dan kemudian berhenti di tepi jalan selepas pondok pemeriksaan imigresen.

Bersambung ke Hari 2 Bahagian 2.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English:
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1 (this part);
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3 Part 1;
  • Day 3 Part 2; or
  • Day 4.