Jumaat, 10 Mac 2017

Hari 2 (Hanoi & Ha Long, Vietnam - 23 hingga 26 Februari 2017) - Petang di Ha Long.

Bersambung dari Hari 1.

Jika mahu lihat catatan: 


If want to read in English: 

  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2 (this part);
  • Day 3;
  • Day 4;
  • Travel Guide - Hanoi; or
  • Travel Guide - Ha Long. 


Permandangan perairan Teluk Ha Long dari bandar Ha Long (sebelah Ho Gai).

Petunjuk: Waktu di Vietnam adalah UTC +7 iaitu sejam lebih lewat dari waktu Malaysia (UTC +8). Contohnya jika di Malaysia pukul 12:00 tengahari, di Hanoi pula pukul 11:00 pagi.

Hari 2 (24 Februari 2017 - Jumaat).


Pagi ini, kami bersiap untuk bergerak selepas waktu Subuh. Selepas solat kesemuanya, dalam pukul 6:00 pagi, kami keluar dari bilik dan pergi ke kaunter di bawah untuk daftar keluar. Memang awal kami di situ, kerana petugas-petugas masih tidur. Jadi dalam masih terkebil-kebil, mereka pun bangun mengemas tempat tidur masing-masing. Salah seorangnya membuat proses daftar keluar dan selesai. Cuma dia tanya, kami tidak mahu bersarapankan, kerana tempahan kami termasuk sarapan. Saya menjawab tidak perlu kerana kami perlu kejar bas awal ke Ha Long. 

Sambil itu, saya bertanya, stesen bas mana yang lebih baik untuk mengambil bas ke Ha Long, sama ada dari Stesen Bas Gia Lam atau My Dinh? Dijawabnya, lebih baik di Gia Lam kerana ia berada di timur Hanoi berbanding di My Dinh yang berada di barat bandaraya Hanoi. Jadi saya mengambil untuk menerima saranannya walaupun kalau baca di Wikitravel Ha Long Bay ia sebaliknya.

Kami pun kemudian berjalan kaki ke perhentian bas yang lebih dekat dari Stesen Bas Long Bien yang kami turun semalam. Perhentian bas ini memang bas-bas ke timur Hanoi merentasi Jambatan Cau Chuong Duong akan berhenti kerana ia berada sebelum persimpangan ke jambatan tersebut. Jadi kurang sikit bilangan tapak kaki yang akan diambil.


Peta: Perjalanan berjalan kaki dari Atrium Hotel Hanoi ke perhentian bas Long Bien.



Streetview: Perhentian bas Long Bien.

Dari perhentian ini sebenarnya, memang banyak bas yang ke Gia Lam, sama ada ke stesen basnya atau lalu berhampirannya. Ini kerana Stesen Bas Gia Lam bukan terletak di Jalan Nguyen Van Cu, tapi agak dekat juga dari jalan tersebut. Agak banyak juga perkhidmatan (nombor) bas yang ke Stesen Bas Gia Lam ini. Jika dilihat di dalam aplikasi Google Maps ketika itu bas seterusnya ke Stesen Bas Gia Lam secara terus adalah bas nombor 3 (jika ikut jadual), namun saya lihat juga, terdapat bas nombor 34 ke sana (malah di dalam Wikitravel Hanoi juga mencadangkan bas 34 untuk ke Stesen Bas Gia Lam) sampai dulu, jadi kami naiklah bas tersebut. Pada masa itu kira-kira pukul 6:15 pagi.

Tambang bagi bas nombor 34 ini adalah 7000₫ (+- RM1.40). Lupa hendak dimaklumkan bahawa tambang bas henti-henti dalam bandar Hanoi adalah sama tidak mengira jarak perjalanan. Tambang biasa dipamerkan di tepi badan atau cermin bas berdekatan dengan pintu depan. Jadi perlu tengoklah ia, kerana walaupun destinasi yang sama dengan jarak yang sama, tapi tambang berbeza (macam iklan Trivago pula) mengikut nombor perkhidmatan bas. macam bas nombor 34 ini tambangnya 7000₫ tetapi bas nombor 17 (yang semalam kami naiki dari Lapangan Terbang) tambangnya adalah 9000₫ (+- RM1.80).

Perjalanan bas nombor 34 ini dari perhentian bas yang kami naiki tadi sehingga ke Stesen Bas Gia Lam melalui Stesen Keretapi Gia Lam mengambil masa kira-kira 15 minit sahaja. Mungkin kerana keadaan jalan kurang sesak agaknya.


Tiket bas bandar Hanoi nombor 34 
(Stesen Bas Long Bien ke Stesen Bas Gia Lam).



Peta: Perjalanan bas dari perhentian bas Long Bien ke Stesen Bas Gia Lam.

Sampai di stesen, kelihatan banyak gerai-gerai kecil orang menjual roti terutamanya roti baguette ala Vietnam (jika roti baguette atau roti perancis biasa, ia panjang tetapi kecil tetapi roti versi Vietnam, ia pendek tetapi lebar) yang agak murah juga. Selain itu, roti lain pun ada. Harga yang dijual pun agak murah, serendah 2000₫ (+- RM0.40), yang temopat lain sukar nak jumpa harga itu. Rata-rata harga dalam 5000₫ (+- RM1.00) macam roti baguette Vietnam itu (harga di Old Quarter dari 10 000₫ (+- RM2.00).

Masuk ke dalam stesen bas, terpandang sebelah bahagian kiri dewan stesen bas, terdapat banyak motorsikal diparkir di dalam kawasan tertutup. Tidak pasti bahawa itu parkir atau motorsikal yang dititipkan untuk dihantar ke tempat lain. Kemudian pandang ke hadapan dan terdapat banyak kaunter, saya perlu tengok destinasi yang hendak pergi. Tsaya mencari perkataan Ha Long atau Bai Chay kerana itu destinasi kami. Bai Chay kiranya seperti satu kawasan di Ha Long, di mana di situ hotel kami menginap di Ha Long terletak.

Saya nampak kaunter yang tertulis Bai Chay, di mana Ha Long memang tidak kelihatan (atau saya tidak perasan sebenarnya), dan saya pun ke situ untuk membeli tiket. Sekeping tiket berharga 180 000₫ (+- RM36.00), jadi saya belikan untuk tiga orang (kedua-dua abang akan bayar saya kemudian). Selepas membelinya, petugas kaunter itu memberikan tiket dan kemudian kami diiringi oleh seorang petugas yang kemudian mengambil tiket tersebut (tidak sempat saya hendak mengambil gambar tiket tersebut) dan segera membawa kami ke bas yang akan membawa kami ke Ha Long itu. Memang pasti bas tersebut, kerana terdapat paparan elektronik yang terpapar Ha Long di bahagian depan bas tersebut.


Kaunter-kaunter tiket bas di Stesen Bas Gia Lam.

Motorsikal yang di parkir di dalam Stesen Bas Gia Lam.

Bas yang membawa kami dari Gia Lam ke Ha Long.

Keadaan di dalam bas.

Bas berkenaan kemudian mulai bergerak pada pukul 7:50 pagi, namun berhenti kira-kira 10 minit sebelum pintu keluar dari stesen itu. Agaknya staf bas ini (terdapat 3 orang, yang mana masing-masing boleh menukar peranan daripada pemandu kepada konduktor) membuat urusan pelepasan agakna. Selepas itu, bas ini bergerak perlahan, bukan apa mereka mencari penumpang untuk memenuhkan bas. Lama juga ia berjalan perlahan malah bila sampai lebuhraya pun masih perlahan. Sabar sahajalah.

Semasa perjalanan boleh dikatakan, setiap perhentian bas, setiap pekan atau setiap jambatan akan diperlahankan bas untuk melihat jika ada penumpang yang hendak naik bas. Bas yang kami naiki ini menggunakan lebuhraya ke Hai Phong, jalannya luas, majoritinya terdapat sekurang-kurangnya dua lorong setiap hala malah ada bahagian lebih lagi. Cuma seperti lebuhraya di Thailand, terdapat simpang berlampu isyarat di sesetangah tempat walaupun ada juga persimpangan yang mempunyai persimpangan bertingkat. 

Walaupun begitu, bas ini bagi saya agak perlahan juga, pasal mereka mencari penumpang. Ada kala laju, kalau perjalanan pada masa itu melalui kawasan yang kurang perpenduduk.

Pada pukul 9:00 pagi, kira-kira 2 jam perjalanan, ketika di pekan Hai Duong, bas ini berhenti berehat di sebuah restoran bernama Nha Hang 559. Di sini saya cuma buang hajat sahaja pasal rasa was-was hendak makan makanan dijual. Ada pho, bun cha dan sebagainya. Ada juga gerai menjual buah-buahan, cuma tidak rasa hendak makan buah, kerana perut saya sebenarnya sudah terisi dengan dua buku roti baguette yang jadi bekalan saya bersama air kosong. Jadilah makanan untuk pengembara.

Setelah kira-kira 20 minit, bas ini pun berjalan semula dan kemudian memasuki jalan biasa (bukan lebuhraya) selepas pekan Hai Duong ini. Di sini perjalanan menjadi lebih perlahan dengan ada penumpang yang turun dan naik. Jalan pun agak sempit dan kenderaan pun agak banyak.

Selepas dua jam lebih perjalanan sejak meninggalkan kawasan rehat tadi, bas yang dinaiki menghampiri sebuah plaza tol menandakan hampir sampai dengan bandar Ha Long. Menariknya, plaza tol ini mempunyai logo UNESCO (United Nation Education, Scientific and Cultural Organization - Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) yang agak besar. Sinis juga di hati saya berkata di tengah-tengah jalan biasa bukan lebuhraya pun ada plaza tol di Vietnam ini. Satu lagi, bukan ini sahaja Tapak Warisan Dunia UNESCO di Vietnam, tapi Ha Long ini memang menggunakan logo UNESCO sebaik-baiknya.

Selepas itu, dari jalan raya, kita akan nampak permandangan pulau-pulau di Teluk Ha Long (Ha Long Bay) di sebelah kanan kita. Melihat pulau-pulau itu, rasanya tidak sabar untuk ke sana. Semasa perjalanan juga sebenarnya bas ini ada berhenti di hadapan bulatan jalan masuk ke Pulau Tuan Chao untuk memberhentikan orang. Di pulau ini sebenarnya terdapat Jeti Tuan Chao yang merupakan jeti bagi bot-bot pelancongan yang membawa pelancong-pelancong ke perairan Teluk Ha Long ini. Pada masa itu kami memang tidak tahu di situ sebenarnya tempatnya. Jadi kami terus menaiki bas ini.

Dalam lima minit kemudian, bas ini berhenti di sebuah simpang jalan dan menyatakan di situ adalah Bai Chay, maka kami perlu turun di situ. Kemudian bas itu meninggalkan kami dan meneruskan perjalanannya. Di sebelah kami turun itu, terdapat beberapa teksi berhenti. Di seberang jalan adalah Stesen Bas Ha Long nya. Pemandu-pemandu teksi ini pun cuba untuk memancing kami untuk menjadi pengangkutan untuk ke kawasan Bai Chay, yang di lihat dari dalam aplikasi Google Maps, kira-kira 6.5 kilometer! Bila bertanya harganya, 100 000₫ (+- RM20.00), kami tawar dan akhir sekali dapat 75 000₫ (+- RM15.00) sahaja, walaupun kami minta 60 000₫ (+- RM12.00). Jadi memang kami tidak ambil. Lalu kami tekat hati berjalan dan kemudian terdapat teksi menghon kami. Kami tanya berapa untuk ke Bai Chay, dan dia kata menggunakan meter, jadi kami pun naiklah.

Sampai di hotel kami iaitu Starlight Hotel, Ha Long, tambang yang dikenakan pada meter adalah 68 000₫ (+- RM13.60), dan pemandu itu genapkan menjadi 70 000₫ (+- RM14.00).

Tempat bas berehat sebentar di Hai Duong.

Bas menghampiri plaza tol Ha Long. (Terdapat logo UNESCO pada plaza tol ini).

Permandangan pulau-pulau Teluk Ha Long dari jalan raya.


Peta: Stesen Bas Gia Lam ke Starlight Hotel, Ha Long.

Selepas membayar tambang teksi, kami pun mencuba diri untuk mendaftar awal hotel tersebut walaupun pada masa itu baru pukul 12:20 tengahari. Alhamdulillah, kami dapat mendaftar masuk dan masuk ke bilik lebih awal tanpa sebarang bayaran. Pada masa itu juga, petugas kaunter hotel ini mempromosikan pakej bot untuk ke Teluk Ha Long. Saya sombong pada masa itu kerana kami hendak pergi sendiri katanya. Jadi tidaklah mengambil pakej tersebut dengannya. 

Selepas selesai urusan daftar masuk, petugas itu juga menawarkan perkhidmatan bas untuk balik ke Hanoi dengan harga 150 000₫ (+- RM30.00) seorang! Jadi saya berbincang sekejap dengan kedua-dua abang saya dan kami setuju mengambilnya. Lebih murah dari harga bas kami dari Hanoi ke situ. Malah tidak perlu bayar apa-apa tambang pengangkutan ke stesen bas kerana pengangkutan tersebut adalah dari hotel. Jadi saya pun bayarlah untuk bas tersebut pada masa itu untuk tiga orang.

Kami pun ke bilik kami yang berada di tingkat 1, tidak jauh dari kaunter daftar masuk tadi, cuma perlu naik sedikit tangga sahaja. Apabila kami masuk ke  dalam bilik kami, saya baru tersedar bahawa saya menempah bilik berdua bukan bertiga. Jadi kami terpaksa mencantumkan dua katil single untuk menjadi katil bersaiz king. Saya pun meminta maaf kepada kedua-dua abang saya itu atas kesilapan saya. Alhamdulillah mereka berkata tidak mengapa.

Pada ketika itu, abang Din berasa tidak berapa sihat sikit dan meminta ubat panadol daripada saya. Saya memaklumkan bahawa saya pun tertinggal terlupa bawa, namun abang Zul membawanya. Abang Din kemudiannya meminta untuk berehat dan tidur sebentar. Kami pun pada masa itu mengemas beg-beg kami dan membersihkan diri serta bersolat selepas itu. Selesai semuanya, kami pun berehat sebentar. 

Saya sempat melihat pengangkutan yang ada ke Jeti Tuan Chao dari kawasan Bai Chay, terdapat Uber juga namun keretanya tidak banyak dan caj paling minima ke sana adalah kira-kira 350 000₫ (+- RM70.00) per hala, agak mahal juga. Jika menaiki teksi dari stesen bas pun sudah 70 000₫ (+- RM14.00), sudah tentu menaiki teksi lebih lagi mahal lagi, biasanya akan lebih mahal dari Uber. Terdapat bas henti-henti di kawasan Ha Long ini tapi saya tidak pasti perkhidmatannya ada di Bai Chay ini walaupun ternampak beberapa perhentian bas. Mungkin masanya tidak kerap. Jadi pilihan kami ada untuk ke Teluk Ha Long adalah menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan yang ada banyak di Bai Chay ini.

Starlight Hotel, Ha Long, Vietnam.


Kadar walk-in Starlight Hotel.

Bizkad Starlight Hotel Ha Long.

Resit tempahan bas ke Hanoi daripada Starlight Hotel Ha Long.

Peta Ha Long Starlight Hotel Ha Long (depan).

Peta Ha Long Starlight Hotel Ha Long (belakang).


Keadaan bilik kami di Starlight Hotel.

Pada pukul 1:30 petang, kami pun keluar untuk berjalan-jalan dan melihat sama ada kami masih berkesempatan untuk pergi ke Teluk Ha Long. Kami bersiar-siar di sekitar kawasan Bai Vhay ini. Kawasan pesisir pantai kini sebahagian besarnya telah ditambak menjadikan garisan pantai lebih ke hadapan kira-kira 100 ke 200 meter. Di hadapan bulatan Bai Chay ini telah dibina beberapa lot kedai dan juga sebuah taman tema yang siap mempunyai beberapa buah tarikan permainan dan juga roller coaster! Malah kelihatan juga taman tema air juga.

Selain itu, terdapat juga sebuah stesen kereta kabel dengan sebuah dari kereta kabelnya yang agak besar, dua tingkat dengan kira-kira 60 orang maksima boleh menaikinya pada satu-satu masa (maaf baru saya sedar yang saya tidak mengambil gambarnya). Kereta kabel ini menuju destinasi bahagian bandar Ha Long di bertentangan seberang sungai, kawasan Hong Gai. Ini bermakna, tidak perlu menyeberang jambatan kabel seperti Jambatan Pulau Pinang yang menghubungkan kedua-dua belah bandar Ha Long ini. Cuma untuk menaiki kereta kabel ini perlu membeli pakej termasuk bayaran masuk taman tema, iaitu sebanyak 300 000₫ (+- RM60.00)! Stesen di sebelah Hong Gai berada di atas bukit, jadi kereta kabel ini akan menaik curam dengan tiang telah dibina begitu tinggi sekali.

Setelah penat bersiar-siar kira-kira setangah jam, kami pun kembali ke kawasan pekan Bai Chay ini untuk pergi ke beberapa syarikat agensi pelancongan yang ada di situ. Tujuannya untuk menyelidiki adakah pakej ke Ha Long pada petang ini, apakah jenis pakej yang ada dan berapa harganya. Kebanyakannya menyediakan pakej ke perairan Teluk Ha Long dari 4 jam lawatan, 8 jam lawatan malah ada sampai 2 hari. Bilangan masa itu adalah mengikut berapa banyak pulau yang dilawati. 

Kami cuba tanya harga untuk lawatan 4 jam kerana itu paling minima dan rasanya cukup masa untuk petang ini, rata-rata agensi-agensi yang ada memberikan harga dari 450 000₫ (+- RM90.00) ke atas. Cuma pakej ini memang tiada makan tetapi termasuk kos pengangkutan ke Jeti Chao pergi balik. Tetapi kebanyakan agensi mengatakan bahawa memang kalau untuk petang ini memang tidak sempat di mana waktu pengambilan pengangkutan adalah pukul 12:30 tengahari, jika mahu pun perlu menaiki pengangkutan khas ke Jeti Tuan Chao dan kemudian menaiki bot peribadi khas untuk kami sahaja yang berharga dari  750 000₫ (+- RM150.00)! Kalau macam tu lebih baik ambil pakej 1 hari dari Hanoi di Old Quarter Hanoi sahaja yang mana cuma US$35 (+- RM157.50) sahaja! Tidak perlulah macam itu sekali.

Akhirnya abang Din mendapat pakej 4 jam dengan harga 330 000₫ (+- RM66.00)/orang, tetapi untuk awal pagi esok jadi kami pun ke agensi tersebut. Kami pun mengambil pakej itu. (Boleh baca catatan Hari 3, kenapa harganya menjadi begitu, ada cerita sebaliknya, dan hanya diketahui pada keesokan harinya, sewaktu lawatan). Cuma masalahnya, pengangkutan balik ke Hanoi adalah pada pukul 12:00 tengahari, takut kami tidak sempat untuk pulang ke hotel untuk menaikinya. Pihak agensi mengatakan mereka boleh tolong uruskan untuk bas mengambil dari Jeti Tuan Chao, kerana syarikat pengangkutan mereka dan hotel kami (di mana tempahan bas ke Hanoi di buat) adalah syarikat yang sama. Baiklah, nanti saya akan maklumkan dan mendapat pengesahan dari pihak hotel. Jadi kami terima pakej itu dan membayar wang untuknya.

Abang Din juga sebenarnya membuat tawar menawar tentang sewaan motor. Biasanya sewaan motorsikal adalah mengikut hari di mana harganya adalah 150 000₫ (+- RM30.00)/hari sebuah motorsikal. Ia tidak termasuk petrol juga, yang mana biasanya kita akan dapat motorsikal yang mempunyai tangki yang hampir kosong. Biasanya tidak boleh menyewa kurang dari masa itu. Abang Din tawar menawar dengan staf agensi ini dan akhirnya mendapat 90 000₫ (+- RM18.00) sebuah untuk digunakan sehingga waktu pejabat agensi ini tutup (9:00 malam). Jadi kami sewa dua buah motorsikal jadi jumlahnya 180 000₫ (+- RM36.00) dan dikongsi setiap orang 60 000₫ (+- RM12.00). 

Kami kemudian dibawa ke kedai yang menyewa motorsikal tersebut, kira-kira dua kilometer dari pejabat agensi pelancongan terbabit. Sampai di sana, kami diberikan dua buah motorsikal dan juga mengambil topi keledar gaya Vietnam, yang seumpama topi kura-kura. Kami ambil gambar motorsikal berkenaan untuk mengambil bukti sebagai langkah persediaan jika berlaku perkara tidak diingini di kemudian hari. Motorsikal tersebut memang hanya diberikan minyak petrol agak sikit, rasanya cukup-cukup ke stesen minyak terdekat, kira-kira 200 meter dari kedai terbabit.

Lalu kami terus membawa motorsikal ke stesen minyak tersebut. Diingatkan, lalu-lintas (trafik) di Vietnam tidak sama dengan di Malaysia, di mana kita akan menunggang/memandu di sebelah kanan jalan (di Malaysia kita menunggang/memandu di sebelah kiri jalan). Sampai di sana, akan terdapat atendan pam minyak yang akan mengisi minyak ke dalam tangki motorsikal kita. Saya menyuruh untuk mengisi sebanyak 10 000₫ (+- RM2.00) tetapi dia tidak mendengarnya, diisinya sampai 40 000₫ (+- RM8.00). Hendak tidak hendak, bayar sahajalah. Saya lupa untuk mengambil harga minyak pada ketika itu. Abang Din mengisi minyak sebanyak 10 000₫. Abang Zul membonceng motorsikal dengan saya.




Agensi perlancongan yang kami dapatkan pakej lawatan Teluk Ha Long.

Kad perniagaan agensi pelancongan di Ha Long.

Resit Pakej Ha Long Bay.


Kedai kami mengambil motorsikal sewa.

Destinasi seterusnya, kami membawa motorsikal kami ke kawasan Hong Gai di seberang sebelah timur. Jadi kami menunggang motorsikal menuju ke Jambatan Cau Bai Chay untuk ke sana. Jambatan ini sebenarnya dibina dengan kerjasama pembiayaan daripada kerajaan Jepun. Sampai dihujung jambatan, kami pun sampai di kawasan Hong Gai. Kawasan ini lebih rancak kegiatan hariannya, di mana ramai penduduk tempatan di sini dan suasana lebih sesak dengan manusia dan kenderaan. Kiranya Bai Chay adalah bandar pelancong dan Hong Gai adalah bandar warga tempatan.

Setelah kami bersiar-siar di sekitar bandar ini, kami pun singgah di pesisir pantai, di mana abang Din hendak ke pusat membeli-belah Vincom Plaza yang berdekatan. Jadi saya dan abang Zul mengambil gambar pesisir pantai berlatar belakangkan pulau-pulau di perairan Teluk Ha Long dan juga sampan-sampan nelayan tempatan. Angin bertiup agak kuat juga, menyebabkan suhu agak sejuk di situ. Saya sempat buat satu live Facebook semasa di sini. Semasa di situ, kami terlihat di satu sudut di timur, terdapat bangunan berbentuk ikan paus. Musykil juga.

Kemudian abang Din kembali bersama kami, dan kami terus berjalan-jalan ke jalan pesisir pantai. Di sini dapat dilihat pembangunan pesat dengan beberapa buah hotel dan pusat perniagaan dibina. Memang setelah mendapat status salah satu dari New 7Wonders dalam alam sekitar pada tahun 2011 lepas, bandar Ha Long ini semakin membangun. Malah bangunan Muzium dan Perpustakaan Quang Ninh juga berbentuk moden. Kami tidak masuk ke situ bukan sebab mahal atau apa, cuma tiada rasa hendak masuk sahaja. Bayaran masuk adalah 30 000₫ (+- RM6.00).

Tidak jauh dari itu, baru kami ternampak, bangunan berupa seperti ikan paus itu adalah Pusat Konvensyen dan Pameran Teluk Ha Long. Bangunan ini sebenarnya baru siap dan belum lagi dibuka kepada umum. Sempat jugalah saya buat live FacebookKami di situ seberapa seketika dan kemudian meneruskan perjalanan kami berjalan-jalan dengan menunggang motorsikal.

Dalam tengah-tengah berjalan, motorsikal abang Din hampir kehabisan minyak. Jadi saya melihat dalam aplikasi Google Maps untuk melihat stesen minyak. Jadi saya membawanya ke stesen tersebut dan abang Din mengisi 30 000₫ (+- RM6.00). Sempat juga saya mengambil gambar untuk mengetahui harga minyak di Ha Long ini. Bagi petrol RON 92 berharga 18 090₫ (+- RM3.62)/liter manakala petrol RON 95 pula berharga 18 940₫ (+- RM3.88)/liter. Selepas itu kami pun menyambung perjalanan dan kemudian kembali ke Bai Chay setelah hampir dua jam setengah berjalan-jalan. Kami kembali ke pusat bandar Bai Chay kerana cuaca semakin sejuk tatkala hari semakin gelap.

Saya menaiki motorsikal di Ha Long.

Permandangan perairan Teluk Ha Long dari bandar Ha Long (sebelah Ho Gai).

Saya dan permandangan perairan Teluk Ha Long.

Lagi permandangan dari pesisir. (Di hujung ganbar, terdapat bangunan berupa "ikan paus").

Bangunan berbentuk "ikan paus" ini adalah Pusat Konvensyen dan Expo Ha Long.

Harga minyak petrol di stesen Petromex, Ha Long. 
RON 92 berharga 18 090 (+- RM3.62)/liter & RON 95 berharga 18 940₫ (+- RM3.79)/liter.



Peta: Perjalanan bersiar-siar dengan motorsikal kami di sekitar kedua-dua bahagian bandar Ha Long.

Oleh kerana hari semakin sejuk, dan kami sebenarnya tidak makan lagi sejak petang semalam kecuali roti yang dimakan untuk alas perut. Mencari makanan halal memang agak sukar. Puas juga kami berpusing-pusing mencari makan, akhirnya kami mengambil keputusan untuk makan makanan laut sahaja di restoran yang berdekatan dengan hotel di pusat bandar Bai Chay.

Hidupan laut seperti ikan, udang, sotong malahan yang eksotik seperti belangkas, kima besar, udang lipan dan sebagainya adalah masih hidup, bermakna ia segar. Kami bertanya harga dan ia ditimbang sebelum dimasak. Jadi kami memilih sejenis ikan dan juga kerang yang masing-masing dipanggang sahaja, agar kami rasa selesa dengan kandungan masakannya, kerana kalau dibuat lain, rasanya akan masuk ramuan yang kami ragu-ragu. Kalau dah ragu-ragu bermakna sudah tidak boleh makan.

Setelah lima belas minit, siap kedua-dua makanan dengan kami juga memesan nasi juga. Memang masa sampai semuanya masih panas, maka sedap di makan di masa cuaca sejuk ini. Namun ia tidak lama, selang beberapa minit semua yang panas menjadi sejuk. Rasa makanan pun agak sedap dengan ikan dipanggang dengan bawang, jadi rasa ikan agak manis. Kami minum kopi Vietnam bersama makan malam kami itu.

Setelah makan, maka kami pun membayar apa yang kami makan untuk makan malam tersebut. Harganya adalah 620 000₫ (+- RM124.00) semuanya, bermakna setiap kami membayar kira-kira 210 000₫ (+- RM42.00). Agak mahal juga, tapi kena makan juga.


Suasana Bai Chay di waktu senja.

Restoran Hai Duong, Bai Chay, yang menjadi tempat makan malam kami.

Pelanggan boleh memilih belangkas sebagai hidangan.

Atau siput kima besar,

Ikan panggang antara hidangan kami.

Resit Makan Makanan Laut di Ha Long.

Gambar permandangan kawasan Hong Gai dari Bai Chay waktu malam.

Selepas makan malam, kami bersiar-siar lagi, permandangan malam agak cantik juga dengan permandangan jambatan dan roda Ferris yang berwarna-warni lampunya. Tapi setakat itu sahaja. Ingatkan mahu ke pasar malam Bai Chay, namun cuaca agak sejuk mencapai 14oC (namun yang sebenar lebih sejuk lagi dipengaruhi angin sejuk malam). Jadi kami balik ke hotel saya. 

Saya yang tadi agak tahan sejuk berbanding kedua-dua abang saya, kini menjadi sebaliknya. Kedua-duanya duduk di lobi hotel namun saya terus naik ke bilik, membersihkan diri, bersolat, menonton televisyen dan terus tertidur walaupun malam masih awal lagi.

Bersambung ke Hari 3.

Jika mahu lihat catatan: 


If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2 (this part);
  • Day 3;
  • Day 4;
  • Travel Guide - Hanoi; or
  • Travel Guide - Ha Long.

Tiada ulasan: