Jumaat, 2 Disember 2016

Hari 3 (Sydney, Australia - 26 hingga 31 Oktober 2016) - Girang Menyentuh Kangaru!.

Bersambung dari Hari 2.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey;  
  • Itinerary;
  • Day -1;
  • Day 1;
  • Day 2; 
  • Day 3 (this part)
  • Day 4 & 5; or 
  • Travel Guide - Sydney. 


(Harap maaf, catatan perjalanan ini agak kurang gambar, kerana saya terpadamnya ketika sesi menyusun gambar untuk catatan-catatan perjalanan ke Sydney ini. Saya pun terlupa untuk membuat back up. Saya mohon maaf yang amat banyak sangat.).



Saya sedang mengusap seekor kangaroo di Featherdale Wildlife Park, Sydney, Australia.

Hari 3 (29 Oktober 2016 - Sabtu).


Pada pagi ini, sekali lagi saya terbangun awal pagi, kira-kira pukul 1:00 pagi. Jadi saya membuat qiamulail mana yang boleh dan kemudian saya makan baki kebab yang saya tinggalkan semalam. Nasinya sudah habis. Alhamdulillah, kenyang juga sehingga menyebabkan saya tertidur kembali pada pukul 3:00 pagi.

Saya bangun semula pada pukul 4:40 pagi untuk solat Subuh. Usai solat, saya sambung kembali tidur sehingga pukul 7:00 pagi. Saya pun membersihkan bersama-sama dengan rakan sebilik saya di bilik mandi masing-masing.

Kami menunggu rakan-rakan sebilik di bilik umum (common room) penginapan kami, namun pada masa yang dijanjikan iaitu pukul 8:00 pagi, mereka masih belum siap. Setengah jam kemudian baru mereka sampai di bilik umum tersebut. Biasalah, perempuan, hihihi. Tidak mengapa, kami faham dan memahami. Hihihi...

Kami mula bergerak dari penginapan pada pukul 8:30 pagi. Aktiviti kami pada pagi ini adalah berjalan di sekitar kawasan CBD (Central Business District - Daerah Perniagaan Pusat atau Pusat Bandaraya) Sydney ini yang mempunyai banyak tarikan. Saya merujuk artikel Perjalanan Berjalan Kaki di Sydney (Walking Tour of Sydney) di dalam Wikitravel.

Kami berjalan sepanjang George Street menghala ke utara. Setelah sepuluh minit berjalan, kami sampai di hadapan gereja St. Andrew's Cathedral. Gereja ini antara bangunan lama di Sydney, dibina pada 1868. Di sebelahnya merupakan Dewan Bandaran Sydney (Sydney Town Hall), yang siap dibina pada tahun 1889, dahulunya bangunan ini mendominasi langit Sydney, menjadi pejabat utama pentadbiran bandar Sydney. Kini ia menjadi sebuah pusat komuniti dan juga muzium yang boleh dikunjungi. Terdapat beberapa tarikan antaranya organ (sejenis piano) yang terbesar di dunia, di samping kemudahan-kemudahan lama yang menjadi sebahagian sejarahnya.

Di seberang jalan Druitt Street dari Dewan Bandaran adalah Bangunan Ratu Victoria (Queen Victoria Building) atau lebih dikenali sebagai QVB. Bangunan ini dahulunya adalah sebuah pasar, kini ia menjadi sebuah pusat membeli belah bagi barang-barang berjenama mewah. Pada kali ini, kami tidak masuk, cukup sekadar berada di hadapan pintu masuk sebelah Druitt Street, di mana terdapat patung Ratu Victoria yang memegang alat kebesaran DiRaja England.

Kami menyeberang jalan George Street dan saya meminta rakan-rakan untuk singgah di pasaraya Woolworth Town Hall ini, kerana saya hendak membeli makanan untuk sarapan. Saya membeli sashimi iaitu makanan Jepun berupa ikan mentah. Bukan apa, ia nampak begitu segar, walaupun agak mahal iaitu AU$10.00 (+- RM33.00), tetapi kesegarannya (semasa makan ia di hadapan pasaraya ini) amat terasa. 

Selepas itu, kami teruskan perjalanan menyusuri jalan Park Street ke kawasan taman Hyde Park dan terus ke ANZAC Memorial. Memorial ini adalah dibina bagi memperingati pengorbanan tentera-tentera Australia dan juga New Zealand (bagi sebelum Perang Dunia Kedua) yang berjuang di pelbagai peperangan di dunia. Malah pertempuran di Malaya pada 1941-42 semasa awal Perang Dunia Kedua juga diabadikan namanya di dinding memorial ini (disalah tulis sebagai Malaysia yang mana secara teknikalnya, entiti itu belum wujud pada masa itu). Terdapat poskad percuma yang boleh diambil di situ. Di memorial ini terdapat bekas tentera yang bertugas secara sukarela, dan kita boleh memohon untuk mendapatkan maklumat daripada mereka.

Seterusnya, kami berjalan kaki ke Muzium Australia (Australian Museum), yang berada di sebelah timur ANZAC Memorial tadi. Asalnya kami hendak masuk, namun oleh kerana dikenakan tiket sebanyak AU$15.00 (+- RM49.50), maka kami mengembil keputusan untuk tidak memasukinya.

Seterusnya, kami menyeberang jalan William Street, untuk ke gereja St. Mary's Cathedral melalui Pusat Akuatik dan Kecergasan Cook & Phillip (Cook and Phillip Park Aquatic and Fitness Centre), di mana semua ini terletak di kawasan taman Cook & Phillip Park. Pusat akuatik ini sebenarnya dibina di bawah aras tanah, di mana bumbungnya adalah di atas tanah. Terdapat sebuah kolam yang mempunyai pelbagai arca dan berair pancut. Memang cantik rekaannya. Di antara pusat akuatik dan gereja, terdapat taman mini yang mempunyai banyak bungaan yang mekar dan berwarna-warni. Kena pula masa ini adalah musim bunga, maka memang menyegarkan minda.

Kami memasuki ke gereja St. Mary's Cathedral, di mana pada ketika kami masuk itu, terdapat satu upacara penyembahan diadakan. Dengan langkah yang perlahan dan berhati-hati, kami melihat seni bina dalaman gereja ini. Gereja ini adalah gereja terbesar di Sydney dan negeri New South Wales (NSW) dan pusat/pejabat bagi daerah Archdiocese Sydney bagi Kristian bermahzab Roman Katolik. Dalam melihat itu, baru saya perasan, terdapat tangga ke bawah gereja (tidak boleh memasukinya) dan ia menghala ke kawasan perkuburan.

Selepas itu kami keluar dari gereja itu, dan terus menyeberang jalan St Mary Road untuk ke melihat beberapa bangunan lama dan utama di Sydney. Antara bangunan itu yang berada berdekatan adalah Bangunan Maklumat Tanah dan Hartanah NSW (Land and Property Information Bulding), Muzium Berek Hyde Park (Hyde Park Barrack Museum), The Mint (Muzium Matawang), Parlimen Negeri NSW dan Bangunan Perpustaakaan Awam Negeri NSW. Semuanya kami cuma lihat dari luar sahaja. Bangunan-bangunan ini berada di sepanjang jalan Macquarie Street.

Kami kemudiannya, menyeberangi jalan Shakespeare Place untuk memasuki kawasan Taman Botani DiRaja Sydney (Sydney Royal Botanical Garden). Taman ini agak besar juga di mana ia mempunyai banyak bahagian-bahagian antaranya Rose Garden & PavilionThe CalyxLotus PondHSBC Oriental Garden PlantsLawn 39 dan sebagainya. Agak besar sehinggakan kami berjalan hampir sejam di taman botani ini sahaja.

Sebenarnya tujuan kami melalui taman ini adalah untuk ke Mrs Macquarie's Point, di mana di sini merupakan tempat yang paling sesuai untuk mengambil gambar kedua-dua ikon Sydney iaitu Panggung Opera (Opera House) dan Jambatan Pelabuhan (Harbour Bridge). Selain itu, di sini juga permandangan lain juga amat menarik termasuk muara sungai di mana pertemuan Sungai Parramatta dan Lautan Pasifik.

Perjalanan ke Mrs Macquarie's Point memang cantik permandangan tambahan pula cuaca pada pagi ini amat cerah. Malah apabila memandang air di tebing sungai, ternampak airnya yang begitu jernih dan boleh nampak rumpai air yang menghijau di dasar sungai. Kebersihan agak terjaga, walaupun agak ramai yang mengunjungi Taman Botani Diraja ini. Kami melalui tapak di mana Ratu Elizabeth II menjejakkan kaki di bumi Australia, yang mana baginda juga merupakan ketua negara baginya selain United Kingdom dan tujuh negara lain.

Akhirnya sampai juga kami di Mrs Macquarie's Point ini. Memang cantik permandangannya di sini. Selepas mengambil angin di situ, bermulalah sesi bergambar (sayangnya saya tidak dapat berkongsi gambar yang diambil, seperti yang saya maklum pada permulaan catatan ini, cuma ada beberapa sahaja yang dapat dikongsi). Cuma cabaran kami, ketika kami ingin mengambil gambar, terdapat banyak orang di situ, terutama pelancong yang datang dari tanah besar China. Ada masa, saya terasa geram dengan mereka, kerana apabila kami atau orang lain bergambar, siap menghalau untuk mereka mengambil gambar, tetapi bila masa mereka pula, mereka mengambil masa agak lama, malah mengambil sikap tidak tahu sahaja terhadap orang lain. Begitulah sikap mereka. Namun kami sabar dengan sikap mereka itu. Dapat juga beberapa gambar yang diambil.

Berdekatan dengan hujung tanjung Mrs Macquarie's Point ini, terdapat sebuah batu yang berbentuk seperti kerusi, di mana dikatakan dahulu, Elizabeth Macquarie, isteri kepada Lachlan Macquarie yang merupakan Gabenor bagi negeri NSW pada 1810 hingga 1821 selalu duduk di situ melihat pergerakan kapal masuk ke kawasan Pelabuhan Sydney.

Setelah berada di sini lebih sikit dari setengah jam, kami pun menyusuri jalan di tepi tebing Sungai Parramatta di Taman Botani DiRaja ini menuju ke Rumah Kerajaan (Government House) yang kini merupakan Muzium Sydney. Kami cuma lalu sahaja untuk menghala ke Stesen Keretapi Circular Quay. Juga kami melalui Sydney Conservatorium of Music semasa berjalan ini.

Saya berlatar belakang dua ikon Sydney iaitu Opera House 
dan Harbour Bridge diambil dari Mrs Macquarie's Point.

Saya bergambar dengan Jalur Gemilang di Sydney Botanical Garden 
berlatar belakang kedua-dua ikon Sydney.


Peta: Perjalanan kaki sekitar kawasan bandar Sydney.


Akhirnya setelah berjalan kira-kira setengah jam, kami pun sampailah di Stesen Keretapi Circular Quay. Agak meriah juga di kawasan ini ketika hujung minggu. Malah terdapat persembahan khas daripada Aborigine iaitu orang asli Australia. Kami kemudian menaiki keretapi untuk ke Blacktown untuk ke destinasi seterusnya iaitu Taman Haiwan Liar Featherdale (Featherdale Wildlife Park).



Peta: Perjalanan dari Stesen Circular Quay ke Featherdale Wildlife Park.


Perjalanan menaiki keretapi ke Blacktown dari Circular Quay mengambil masa kira-kira hampir sejam juga. Sampai di Stesen Keretapi Blacktown, kami terus ke Stesen Bas Blacktown yang memang bersambung dengan stesen keretapi. Kami perlu ke perhentian E (ikut papan tanda arah yang ada di stesen) untuk mengambil bas bernombor 729 untuk ke Taman Haiwan Liar Featherdale. Kami menunggu 10 minit untuk bas ini, dan bukan kami sahaja yang menunggu, ramai rupanya ke taman haiwan ini.

Sebenarnya, di Sydney ini mempunyai banyak taman haiwan seperti di Darling Harbour (sila baca catatan Hari 1) dan juga zoo yang terkenal di dunia, iaitu Taronga Zoo, yang merupakan tempat bertugas bagi selebriti haiwan liar terkenal, mendiang Steve Irwin. Saya memilih Featherdale kerana ia agak murah dan juga di sini, kita boleh memegang haiwan-haiwan yang boleh dipegang.

Perjalanan dari Stesen Blacktown ke Featherdale mengambil masa kira-kira lima belas minit sahaja. Sampai di sana, kami ke kaunter tiket untuk membeli tiket masuk. Harga tiket masuk ke sini adalah AU$31.00 (+- RM102.00) untuk dewasa, dan semasa menunggu rakan-rakan di penginapan pada sebelah pagi, saya ternampak voucer diskaun 20% untuk tiket masuk ke Featherdale ini pada pamplet yang ada di bilik umum penginapan kami, jadi harganya menjadi AU$24.80 (+- RM81.84) sahaja.Kami masing-masing diberikan pasport yang merupakan tiket masuk ke Featherdale ini.

Memang banyak haiwan-haiwan yang ekslusif terdapat di Australia ini, dari burung-burung, ke wallaby ke emu. Dari mula lagi terdapat haiwan-haiwan yang boleh dipegang di sini, dan ia percuma sahaja. Kemudian kami meneruskan dan terdapat kangaru. Apa lagi bergambarlah kami. Boleh pegang-pegang, belai-belai, memang hati saya amat gembira, semasa kecil memang hendak sangat pegang kangaru ini. Akhirnya dapat juga pegangnya di dalam hidup ini. Girang dan gembira betul hati saya pada masa itu. Pada masa sama, terdapat cop yang boleh kami copkan di pasport kami. Selepas kawasan kangaru, kami memasuki kawasan koala pula, cuma biasala koala ini kerja utamanya adalah tidur, boleh dikatakan 23 jam sehari digunakan untuk tidur. Cuma sesi bergambar dengan koala ini perlu dibayar kira-kira AU$10.00 (+- RM33.00).

Banyak lagi haiwan yang ada cuma tidak semua yang dibuka untuk dipegang. Bahaya pula kalau Tasmanian Devil dan Dingo dibuka, mahu hilang tangan nanti. Jangan dilupa wombat dan buaya air masin serta lain-lain haiwan. Di satu sudut, terdapat juga ruang haiwan reptilia yang habitatnya di kawasan gurun Australia yang meliputi majoriti benua Australia ini.

Pasport (tiket masuk) Featherdale Wildlife Park (luar).

Saya memegang seekor wallaby di Featherdale Wildlife Park, Sydney, Australia.

Saya sedang mengusap seekor kangaroo.

Seekor wombat sedang makan.

Seekor emu sedang minum air.

Sekumpulan kangaroo sedang berehat.

Saya sedang mengusap seekor kangaroo 
(spesis Kangaroo Island).

Dua ekor kangaroo spesis Kangaroo Island bersama anaknya di dalam kantungnya.

Antara Cicak Gurun.

Antara spesis ular gurun yang dipamerkan.

Sepadang Dingo.

Seekor buaya sedang berehat di dalam kolam.

Seekor Tasmanian Devil.

Pasport (tiket masuk) Featherdale Wildlife Park (dalam).


Setelah dekat dua jam, dan cuaca pun seperti hendak hujan, maka kami mengambil keputusan untuk keluar dari taman haiwan ini. Kami melalui kedai cenderahati sebelum keluar. Cenderahati khas Featherdale dijual di sini dengan harga agak murah juga (standard Australia lah).

Kami kemudian menunggu bas bernombor 729 untuk kembali ke Blacktown, cuma kali ini kami berhenti di pusat membeli belah Westpoint Shopping Centre yang terletak bersebelahan dengan stesen keretapi Blacktown. Ini kerana saya ingin membeli air minuman yang telah habis. Di pusat membeli  belah ini terdapat pasaraya Woolworth dan Coles. 

Setelah membeli barang di Woolworth, kami pun ke stesen keretapi, namun apabila keluar, rakan-rakan wanita ternampak jualan promosi bagi minyak wangi di kedai Chemist Warehouse. Sudahlah hujan pun mulai turun (antara pusat membeli belah ini dengan stesen terdapat laluan tertutup sebenarnya), jadi ini menjadi sebab juga mereka membeli belah. Harga minyak wangi berjenama (asli bukan tiruan) agak murah contohnya CK Now yang biasa dijual AU$89.00 (+- RM293.70) (bagi saya masih murah kerana di Malaysia harga biasa dalam RM400.00) dijual pada harga AU$29.99 (+- RM98.97) sahaja. Irda dan Husnul memborong betul, manakala Linda, Jeluwi dan abang Zul ada beli sebotol. Saya kalau ikut murah memang nak memborong, cuma saya fikir minyak wangi saya masih banyak dan risau untuk bawa balik sahaja, takut kena bayar cukai kastam sahaja.

Setelah menunggu rakan-rakan membeli (lebih kepada memborong kot, huhuhu) dekat sejam, akhirnya kami pun menaiki keretapi untuk pulang ke Stesen Central. Sampai di Central, oleh kerana saya belum solat lagi dan pakaian dalam saya terkena najis maka saya mengambil keputusan untuk pulang ke penginapan. Ini diikuti oleh Husnul juga, dan kami sukarela membeli barang makanan di Coles dan memasak makan malam. Rakan-rakan yang lain meneruskan membeli-belah (kerana pada hari ini didapati duit masih banyak, rupa-rupanya Sydney tidaklah semahal yang dikata orang) di Pyrmont atau lebih tepat di Hard Rock Cafe Sydney.

Setelah solat, saya dan Husnul pun ke Coles untuk membeli barang untuk makan malam kami. Setelah itu kami pun pulang. Dalam perjalanan pulang, kami ternampak dua orang wanita, seorang muda dan seorang lagi tua, yang saya rasa orang Malaysia. Kami pun senyum pada mereka, alhamdulillah mereka membalas senyuman. Malah mereka bertanyakan kami (rupanya mereka ingan kami pelajar Malaysia di Sydney, err saya ini ada rupa macam pelajar ke, huhuhu) masjid terdekat di situ. Saya kata apa yang saya tahu masjid terdekat agak jauh dari situ, dan saya lihat, makcik tersebut (mereka adalah anak beranak) seperti penat. Jadi Husnul menawarkan biliknya untuk mereka bersolat. Prinsip kami akan tolong mana yang boleh, insya Allah. Saya terus ke dapur penginapan untuk masak. Husnul menyusul selepas itu, selepas selesai pasangan anak beranak untuk solat.

Akhirnya pada pukul 8:30 malam, rakan-rakan pun balik dan kami pun makan bersama-sama. Pada masa itu, saya terkejut yang saya ditegur oleh seseorang (yang bukan dikalangan kami) dalam Bahasa Melayu Malaysia loghat utara. Rupanya saya ditegur oleh Ina yang tinggal di penginapan kami ini. Ina dan juga sepupunya Aida yang ada sama, merupakan orang Malaysia dari Pulau Pinang yang kini bekerja di Sydney ini. Rupa Ina yang macam orang putih yang mengelirukan saya. Akhirnya kami pun menjadi rakan dan makan bersama-sama. Kenapalah tidak jumpa lebih awal. Kami semua merancang untuk keluar bersama-sama pada keesokan hari, kerana sebenarnya Ina masih belum pernah ke pantai Bondi lagi.

Selepas lama berborak di pantri sehingga sudah macam kami punya, akhirnya kami pulang ke bilik masih-masing pada pukul 10:30 malam. Pada masa ini juga, saya membuka laman web AirAsia untuk menguruskan tempahan kami kerana rakan lain hendak menempah bagasi untuk penerbangan pulang ke Malaysia. Setelah selesai buat apa yang patut, saya pun terlelap pada pukul 11:45 malam.

Bersambung ke Hari 4 5.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey;  
  • Itinerary;
  • Day -1;
  • Day 1;
  • Day 2; 
  • Day 3 (this part)
  • Day 4 & 5; or 
  • Travel Guide - Sydney. 

Tiada ulasan: