Sunday, April 10, 2016

Hari 4 (Seoul, Korea Selatan - 06 hingga 10 Mac 2016) - Bersiar-siar Dalam Kedinginan Seoul.

Bersambung dari Hari 3 Bahagian 2.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3 Part 1; 
  • Day 3 Part 2; 
  • Day 4 (this part); or 
  • Day 5. 

Saya di halaman Istana Gyeongbokgung.

Hari 4 (09 Mac 2016 - Rabu).

Pagi ini, kami bangun seperti biasa dan makan di penginapan. Kami keluar dari penginapan pada pukul 9:00 pagi. Memandangkan pada waktu awal pagi, hujan membasahi bumi Seoul ini, maka suhunya lebih sejuk berbanding pagi-pagi biasa kami di sini. 

Kami menaiki Metro Seoul Laluan 3 (oren) menuju ke Stesen Gyeongbokgung yang mengambil perjalanan 3 stesen dari Stesen Eujiro 3(sam)-ga. Kami keluar dari stesen dan rekabentuk Stesen Gyeongbokgung ini agak menarik iaitu bertemakan tembok kota lama. Kami mengambil pintu keluar nombor 5 dan kami keluar di laman Muzium Istana Kebangsaan Korea (National Palace Museum of Korea), iaitu di sebelah barat pintu masuk ke kawasan Istana Gyeongbokgung.



Peta: Perjalanan Penginapan ke Istana Gyeongbokgung.

Muzium tidak dibuka lagi pada masa itu, dan hanya akan dibuka pada pukul 10:00 pagi. Bayaran masuk adalah sebanyak ₩3000 (+- RM10.50). Kami memilih untuk tidak memasukinya kerana kebanyakan dari kami hampir habis bajet termasuk saya. Jadi kami ke laman Istana Gyengbokgung untuk melihat Upacara Pertukaran Pengawal Istana.


Halaman Istana Gyeongbokgung dan pintu Hyeungnyemun.

Masa operasi dan harga tiket Istana Gyeongbokgung

Istana Gyeongbukgung adalah istana diRaja utama pada zaman dinasti Joseon. Ia dibina pada tahun 1395 dan merupakan istana yang terbesar di kalangan Lima Istana Agung Seoul yang ada berdekatan. Bayaran masuk ke dalam kawasan istana ini berharga ₩3000 (+- RM10.50) dan ia juga meliputi bayaran masuk ke Muzium Rakyat Kebangsaan (National Falk Museum) yang terletak dalam kompleks istana. Masa operasi istana ini berbeza mengikut bulan, pada masa kami datang ini iaitu bulan Mac, dan sehingga bulan Mei, istana ini dibuka dari pukul 9:00 pagi ke 5:00 petang.


Upacara Pertukaran Pengawal Istana Gyeongbokgung, Seoul, Korea Selatan (Bahagian 1). 

Upacara Pertukaran Pengawal Istana Gyeongbokgung, Seoul, Korea Selatan (Bahagian 2). 

Kami tidak masuk ke dalam kompleks istana ini, cukup berada laman utama istana di antara pintu utama Gwanghwamun dan pintu dalam Hyeungnyemun di mana di sini terletaknya kaunter-kaunter tiket. Di sini juga pada masa-masa tertentu, akan ada Upacara Pertukaran Pengawal Istana Gyeongbokgung. Pada sebelah pagi, ia diadakan pada pukul 10:00 pagi. Jadi inilah tujuan kami hadir ke istana ini.


Saya di halaman Istana Gyeongbokgung.

Gambar Aplikasi Instaweather di halaman Istana Gyeongbokgung.

Upacara pertukaran pengawal ini mengambil masa selama kira-kira setengah jam. Agak ramai juga yang menunggu pertukaran pengawal ini. Menariknya, pengawal tersebut tidak memakai pakaian tentera moden tetapi pakaian tentera tradisional Korea.

Pintu gerbang selatan (Gwanghwamun) dan yang utama Istana Gyeongbokgung.

Saya dan Ketua Pengawal Istana Gyeongbokgung.


Selepas upacara tersebut, pengunjung berpeluang untuk bergambar dengan para pengawal yang ada di Pintu Utama/Selatan Gwanghwamun. Pengawal-pengawal yang bertugas ini agak tinggi dan sasa. Tinggi mereka lebih dari 180 sentimeter. Terasa saya ini pendek pula.


Tugu Raja Sejong di Dataran Gwanghwamun.


Selepas itu, kami menyeberangi jalan di hadapan pintu Gwanghwamun untuk berjalan-jalan di Dataran Gwanghwamun pula. Di sekeliling dataran ini terdapat banyak bangunan-bangunan utama Seoul yang dimiliki oleh pihak kerajaan mahupun swasta. Paling utama, Bangunan Kerajaan Korea Selatan dan Bangunan Pihak Berkuasa Metropolitan Seoul berada di sini.

Di tengah-tengah dataran yang berbentuk segiempat tepat dan memanjang ke arah selatan ini terdapat sebuah tugu. Tugu ini merupakan Tugu Raja Sejong dari Dinasti Joseon, iaitu raja yang paling terkenal di mana zaman baginda merupakan zaman kegemilangan Korea di bawah disnasti Joseon. 

Raja Sejong ini juga yang memperkenalkan tulisan Korea yang dikenali sebagai tulisan Hangul, di mana sistem tulisan ini merupakan sistem tulisan paling sistematik di dunia. Tulisan ini dikatakan paling mudah untuk dipelajari dimana baginda pernah berkata di mana tulisan ini boleh dipelajari oleh seorang bijaksana dalam masa satu pagi dan bagi yang paling dungu akan mengambil masa 10 hari. Sebelumnya, Korea menggunakan tulisan Cina trasional atau dikenali di Korea sebagai Hanja, yang memerlukan untuk menghafal setiap karektor khas bagi setiap perkataan. Tulisan Hanja pun hanya golongan bangsawan sahaja yang mengetahui, jadi Raja Sejong memperkenalkan tulisan Hangul untuk memajukan bangsa Korea. 


Gambar Aplikasi Insta Place di Dataran Gwanghwamun.

Permulaan Sungai Cheonggyecheon.


Seterusnya kami meneruskan perjalanan dan sampai di permulaan Sungai Cheonggeycheon. Sungai ini juga yang mengalir berhampiran penginapan kami dan kami melaluinya pada Hari 1 dan Hari 3 perjalanan ini. Sungai ini memang merupakan sungai utama di Seoul. Dahulu banyak penempatan terletak di tebing sungai ini. Boleh dikatakan ia nadi bandaraya Seoul. Tetapi akibat pembangunan yang tidak terkawal, ia menjadi kotor dan tercemar. Pada pemerintahan Presiden Korea Selatan yang ketiga, Park Chung-hee, telah menutup keseluruhan sungai ini dengan konkrit pada tahun 1958 dan sepuluh tahun kemudian, sebuah lebuhraya dibina di atas turapan konkrit tersebut.


Batu perkisahan pemulihan semula Sungai Cheonggyecheon.

Pada tahun 2003, Datuk Bandar Seoul pada masa itu, Lee Myung-bak telah membuat keputusan untuk meruntuhkan lebuhraya dan membina semula Sungai Chenggyecheon ini untuk menghijaukan kembali serta mengubah suasana bandaraya Seoul agar lebih hidup dan semula jadi. Akhirnya pada September 2005, projek pemulihan Sungai Cheongyecheon ini telah disiapkan dan dibuka secara rasmi. Oleh kerana aliran sebenar sungai ini sudah mati, maka air sebanyak 120 ribu tan perlu dipam dari Sungai Han. Akhirnya sepanjang sungai ini kini menjadi tumpuan bukan sahaja warga kota Seoul tetapi juga menjadi tarikan perlancongan juga.

Aliran Sungai Cheonggyecheon.

Upacara Pertukaran Pengawal di Istana Deoksugung.


Setelah seberapa ketika di Sungai Cheonggyecheon, kami meneruskan perjalanan kaki kami untuk menuju ke Namdaemun. Perjalanan kami terberhenti dengan satu lagi upacara pertukaran pengawal istana, cuma kali ini di Istana Deoksugung pula. Istana ini betul-betul berlawanan dengan permulaan (hulu) Sungai Chenggyecheon tadi.

Setelah lima belas minit, upacara ini pun selesai. Sempat juga saya mengambil informasi mengenai istana ini di mana tiket masuknya berharga ₩1000 (+- RM3.50) sahaja. Namun kami semua tidak memasuki istana ini (insya Allah akan saya masuki kesemua istana ini pada kunjungan akan datang).


Kaunter tiket Istana Deoksugung.


Dalam perjalanan, saya terasa lapar dan singgah di sebuah kedai serbaneka GS25 untuk membeli Gimbab atau dalam Bahasa Jepun dipanggil Onigari atau lebih mudah kita panggil nasi kepal yang mempunyai isi tuna untuk menghilangkan rasa lapar akibat cuaca sejuk. Selain itu tujuan saya adaah untuk menghabiskan wang syiling Korea yang ada pada saya. Harganya adalah ₩800 (+- RM2.80), betul-betul jumlah syiling yang ada. Nasi ini boleh dimakan tetapi kena perhatikan isi yang digunakan. Ini kerana ada isi yang tidak halal juga ada dijual. Kalau isi tuna, salmon atau makan laut lain, insya Allah boleh dimakan.


Gimbab Tuna yang dibeli di kedai serbaneka GS25 semasa berjalan dari Dataran Sejong ke Pasar Namdaemun.


Kami meneruskan perjalanan, dan terjumpa bangunan ibu pejabat konglomerat Samsung berhampiran dengan Namdaemun. Jadi kami ambil kesempatan untuk mengambil gambar bersama.


Saya dan sahabat-sahabat bergambar di hadapan ibupejabat syarikat Samsung.

Pintu gerbang Namdaemun.


Kami meneruskan berjalanan kaki dan akhirnya tiba di kawasan pintu gerbang Namdaemun yang bermaksud Pintu Gerbang Besar Selatan setelah lebih sejam berjalan dari Pintu Gwanghwamun Istana Gyeongbokgung tadi (maklumlah berhenti banyak kali).


Pasar Namdaemun.


Sebenarnya perjalaan kami tidak berhenti di situ kerana destinasi sebenar adalah ke pasar Namdaemun yang tidak berapa jauh dari pintu gerbang Namdaemun ini. Di pasar Namdaemun ini mempunyai banyak barangan yang dijual. Ia bukan seperti pasar tradisi sebagaimana Pasar Gwanjang, tetapi lebih kepada beberapa buah bangunan. 


Keadaan di dalam pasar kerongsang di Pasar Namdaemun.

Pasar kerongsang di Pasar Namdaemun.


Antara yang papular di pasar Namdaemun ini dalah terdapat satu bangunan yang menjual kerongsang yang dibuat disitu juga. Harganya agak murah juga. Kami berhenti di sini dalam empat puluh lima minit kerana ada kawan-kawan yang hendak membelinya sebagai cenderahati. Saya pun terbeli juga, walaupun asalnya tidak mahu beli.


Pintu 5  Pasar Namdaemun.


Setelah selesai, kami berjalan-jalan di sekitar Pasar Namdaemun ini. Terdapat banyak barang yang menarik yang hendak sahaja saya beli seperti buah-buahan segar. Ketika ini merupakan musim strawberi, buah tembikai susu Korea dan sebagainya. Malangnya, budaya Korea memang tiada potongan cubaan rasa. Jadi tidak tahu ia manis atau sebaliknya. (Setelah saya bertanyakan kawan-kawan yang sedang/pernah duduk atau melancong di Korea, rupanya buah-buahan memang manis, peniaga di Korea tidak menipu pembeli). Jadi kami tidak membelinya, walaupun harga di sini antara termurah.

Destinasi seterusnya adalah ke Menara Namsan. Kami tetap berjalan kaki untuk ke sana, kerana bagi saya ia tidak begitu jauh, dan demi ingin menjimatkan wang kami (atau lebih kepada saya, huhuhu). Dalam perjalanan (masih dalam kawasan Pasar Namdaemun), kami membeli jagung rebus, keledek rebus dan kebab yang sedap di makan panas-panas dalam cuaca sejuk ini.


Pandangan Menara Namsan dari jauh.

Stesen Bawah Kereta Kabel Namsan.


Setelah dalam lima belas minit berjalan dari Pasar Namdaemun, maka kami sampai di kaki bukit Bukit Namsan ini. Untuk mendaki bukit menuju ke Stesen Bawah Kereta Kabel Namsan, kami ada pilihan untuk memanjat tangga atau menaiki lif funikular yang tiada bayaran. Jadi kami mengambil pilihan menaiki lif funikular ini untuk mendapat pengalaman. Lagipun di Malaysia tiada sistem seperti ini. Terasa seperti menaiki kereta kabel Bukit Bendera di Pulau Pinang pula, cuma ia agak pendek.


Lif funikular dari kaki bukit Namsan ke Stesen Bawah Kereta Kabel Namsan (Bahagian 1). 

Pintu masuk Stesen Bawah Kereta Kabel Namsan.

Permandangan Menara Namsan dan Kereta Kabel Namsan.


Sampai di Stesen Bawah Kereta Kabel, saya bertanya kepada kawan-kawan saya, sama ada hendak menaiki ke Menara Namsan kah? Kerana tambang menaiki kereta kabel pun sudah ₩8500 (+- RM29.80). Itu belum lagi hendak naik Menara Namsan lagi dengan tambahan ₩8500 (+- RM29.80). Jadi kami tidak jadi untuk menakluki Bukit Namsan. Kami duduk seketika di stesen kereta kabel, di mana saya baru perasan Kedutaan China terletak disebelah stesen ini. Ramai pula yang beratur untuk memohon visa atau berurusan dengan pihak konsular China agaknya.


Kaunter tiket di Stesen Bawah Kereta Kabel Namsan.

Lif funicular dari kaki bukit Namsan ke Stesen Bawah Kereta Kabel Namsan (Bahagian 2). 



Peta: Perjalanan Metro Seoul dari Myeondong ke Jongno 5(O)-ga.

Kami kembali turun ke bawah dan berjalan menuju ke stesen Merro Seoul terdekat iaitu Stesen Myeondong kira-kira 1 kilometer dari kaki Bukit Namsan. Dari situ kami mengambil tren Laluan 4 (biru tua) melalui 4 stesen untuk bertukar laluan di Stesen Dongdaemun untuk ke Laluan 1 (biru tua) bagi ke Stesen Jongno 5(o)-ga iaitu satu stesen selepasnya. Tambang cuma ₩1250 (+- RM4.40). Tujuan kami adalah untuk kembali ke Pasar Gwanjang, untuk membeli kain fabrik.


Kain-kain sutera Korea yang dibeli di Pasar Gwanjang.


Di Pasar Gwanjang, kami mencari kedai-kedai yang menjual kain sutera Korea. Setelah mencari, akhirnya kami menjumpainya, bukan satu kedai tetapi banyak juga. Kesemua kedai-kedai ini menjual kain yang sudah dipotong 4 meter. Kain-kainnya pun merupakan berbidang 45. Harganya pun mengejutkan kami iaitu cuma ₩10 000 (+- RM35.00) sepasang! Ini menyebabkan saya tidak dapat menahan diri lalu membeli juga tiga pasang (dan akhirnya duit saya tinggal kurang ₩10 000 (+- RM35.00)  sahaja, huhuhu). Selepas itu, sementara menunggu kawan-kawan saya selesai membeli-belah, saya cuba bertanya di sebuah kedai tukang jahir, berapa harga jika saya menempah sepasang suit dua pieces (kot dan seluar), dan dijawab cuma ₩40 000 (+- RM140.00) dengan kain yang agak cantik. Cuma ia boleh siap 10 hari.


Penutup lubang jalan di Seoul.

Usai kawan-kawan membeli belah, kami berjalan kaki untuk pulang ke penginapan. Di sini kami baru faham, rupanya setiap kawasan di sini memang mempunyi perniagaan yang terfokus. Contohnya satu blok kawasan menjual hanya barangan pertukangan (hardware) iaitu di kawasan penginapan kami. Kawasan lain kalau menjual peralatan elektrik, maka hanya menjaul peralatan eletrik sahaja, begitu juga yang lain. Akhirnya selepas dua puluh minit iaitu pada pukul 5:00 petang kami sampai di penginapan kami. Saya berehat dahulu dan kemudian membersihkan diri untuk bersolat.



Peta: Perjalanan Metro Seoul dari Euljiro 3(sam)-ga ke Itaewon.

Pada pukul 7:30 malam, walaupun saya tidak mahu mengikut, setelah dipujuk, akhirnya saya akur untuk mengikut mereka untuk makan malam di Itaewon. Ini pun setelah mereka ingin membelanja saya makan. Jadi kami ke Itaewon dan terus mencari restoran yang sesuai untuk makan malam. Sementara itu, Mahathir sibuk mencari susu pisang yang berkotak agar mudah untuk dimasukan ke dlam bagasi untuk pulang Malaysia. Akhirnya menjumpai walaupun bukan jenama Binggrae di kedai pasaraya di Itaewon. Kami kemudiannya ke Foreign Restaurant untuk makan Nasi Baryani Kambing berharga ₩11 500 (+- RM40.30). Kedai ini yang merupakan restoran India Utara yang halal juga ada menawarkan hidangan buffer yang terdiri dari makanan India Utara dan Korea pada harga ₩17 500 (+- RM61.30).


Kad perniagaan Foreign Restaurant, Itaewon.



Resit makan malam kami di Foreign Restaurant, Itaewon.

Setelah usai makan, kami pun  berpecah dimana saya dan dua lagi sahabat balik ke penginapan, manakala baki empat orang meneruskan perjalanan untuk ke Dongdaemun untuk membeli-belah habis-habisan saat akhir. Apabila sampai di pebginapan, saya mula mengemas beg saya dan apabila selesai, saya menonton televisyen . Masa inilah saya terjebak menonton drama bersiri Descendants of the Sun di saluran KBS2, tidak tahu pun yang drama ini semakin popular dan menjadi trend semasa. Saya melekat tengok drama ini pasal ada pelakon wanita Song Hye-kyo, minat sejak drama Autumn In My Heart lagi. Pelakon lelakinya, Song Joong-ki, sejak keluar dari kerahan tentera ini, nampak macho sikit, dulu kurus kering sahaja dia ni, muka budak-budak la dulu. Menariknya, tengok tanpa sari kata, terpaksa guna Google Translate untuk faham sikit-sikit. Selepas itu layan cerita lain. Saya pun tidak sedar bila saya tertidur.

Bersambung ke Hari 5.

Jika mahu lihat: Pra KembaraItinerari, Hari 1Hari 2Hari 3 Bahagian 1 atau Hari 3 Bahagian 2

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3 Part 1; 
  • Day 3 Part 2; 
  • Day 4 (this part); or 
  • Day 5.