Ahad, 30 Ogos 2015

Hari 5 & 6 (Delhi & Agra, India - 30 April hingga 05 Mei 2015) - अलविदा इंडिया (Alavidā (Selamat Tinggal) India).

Dari Hari 4.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2;
  • Day 3;
  • Day 4; or 
  • Day 5 & 6 (this part). 




04 Mei 2015 (Isnin)

Pagi ini kami hampir terlepas solat subuh. Mungkin kerana kepenatan semalam atau keadaan bilik yang diberikan lebih selesa dari diberikan tempohari. Juga bilik kami kali ini tidak mempunyai tingkap. Jadi mungkin kami tidak sedar keadaan luar juga tidak kedengaran azan Subuh. Nasib baik saya ada tepuk bantal.

Pagi ini tidak ada aktiviti sangat, cuma kami akan mengemas beg kerana kami perlu daftar keluar pada pukul 12:00 tengahari ini. Isteri saya memanggil untuk sarapan percuma kami dan saya keluar sebentar untuk membeli jus buah yang pekat di kedai berhampiran. Sambil itu mengambil surat khabar percuma yang dibekalkan pihak hotel (yang mana perlu diambil di kaunter). Sambil-sambil itu, menonton televisyen.

Hampir pukul 12:00 tengahari, kami pun mendaftar keluar dan kemudian menuju ke hotel Zhafran untuk menumpang beg, kerana penerbangan pulang ke tanah air adalah pada pukul 10:30 malam, banyak masa. Kalau nak galas beg untuk sepuluh jam tu mahu roboh bahu, huhuhu.




Zhafran kemudian mengajak kami untuk minum-minum di kafe berhampiran. Kafe ini agak unik kerana ia terletak di tingkat atas bangunan, jadi dapat melihat aktiviti sekitar Main Bazar, Paharganj ini.


Memang sibuk suasana di Main Bazar ini. Waktu tengahari pun agak ramai yang mundar-mandir di kawasan ini. Oleh kerana ketinggian kafe ini, saya dapat lihat sarang burung helang di atas tiang lampu berhampiran kafe ini.



Setelah itu, Zhafran pulang ke biliknya dan kami pula meneruskan jalan-jalan di Main Bazar ini untuk membeli beberapa barang untuk dijadikan cenderahati. Walaupun panas namun perlu juga kerana inilah masa yang ada. Harga barangan di sini agak murah, maklumlah kawasan tumpuan pelancong terutama backpackers. Kami sempat membeli beberapa barangan sebagai tanda kenangan.





Kami kemudian pulang ke bilik Zhafran untuk memasukan barangan yang telah dibeli ke dalam beg. Kami rehat kira-kira sejam setengah.

Zhafran kemudian mengajak kami ke Chadni Chowk untuk makan buat kali terakhir di sana. Sampai di sana, kedai utama Jawahar dan semua kedai Karim's telah tutup. Cuma yang dibuka adalah kedai lama Jawahar. Jadilah, dapat kami makan untuk alas perut sehingga sampai tanah air.




Setelah selesai makan, kami pun ke hotel Zhafran kerana masa sudah masuk pukul 7:00 malam. Kami bersolat dahulu dan kemudian kami meminta diri untuk ke lapangan terbang. Terima kasih kepada Zhafran atas semua bantuan yang diberikan. 


Kami berjalan ke stesen Metro Delhi Airport Express yang berasingan dengan stesen Metro Delhi yang biasa. Untuk ke sana, kami dengan selamba memasuki stesen keretapi New Delhi walaupun kami tiada tiket keretapi mahupun tiket platform. Dengan melepasi tapisan keselamatan polis, akhirnya kami berjaya melalui jalan pintas ini alhamdulillah.




Stesen Metro ini agak bersih, agak besar tetapi agak kurang orang. Macam biasa, untuk memasuki kawasan awam di New Delhi ini, akan ada kawalan keselamatan dahulu. Diri kita dan beg akan diimbas, baru boleh masuk. Seterusnya kami ke kaunter tiket untuk membeli tiket. Tiket berharga ₹100 (+- RM6.00) untuk setiap orang. Agak murah juga.





Setelah berjaya membeli tiket Metro ini, kami terus ke bawah menuju ke platform. Kami baru sahaja terlepas tren, namun tren seterusnya akan bertolak sepuluh minit lagi. Tidak mengapa masih banyak masa.


Tujuh minit kemudian, tren pun sampai dari arah lapangan terbang. Kami masuk, boleh tahan moden dan bersih tren ini. Berbeza dengan gerabak keretapi dan bas di Delhi. Selesa pun selesa. Lebih kurang seperti ERL di Kuala Lumpur juga. Alangkah bagus kalau suasana infrastruktur di Delhi dan seluruh India seperti ini.


Selepas bergerak kira-kira 25 minit dan melepasi 4 stesen, maka sampailah kami di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi, New Delhi, India. Lebih cepat dan selesa berbanding kalau kami menggunakan mod pengangkutan lain seperti bas atau teksi atau auto. Mungkin lebih mahal dan mungkin lambat sampai ke terminal.



Dari stesen ke balai perlepasan perjalanan agak mengambil masa kira-kira hampir sepuluh minit. Bukan kerana jauh, tetapi perlu berjalan berlapis-lapis dan bertingkat-tingkat. Sebelum masuk ke balai pelepasan pun kena siap-siapkan itinerari penerbangan bagi dibenarkan masuk. Agak besar dan selesa serta bersih balai pelepasan ini. Kami segera ke barisan B untuk mendaftar masuk, kerana kaunter telah dibuka ketika itu.


Saya kongsikan wang-wang Rupee India (₹) yang telah saya perolehi disamping yang telah saya perolehi pada awal pengembaraan.


Syiling ₹1 (keluaran tahun 2000) = (+- RM0.06)


Syiling ₹1 (keluaran tahun 2009) = (+- RM0.06)


Syiling ₹2 (keluaran tahun 2013) = (+- RM0.12)


Syiling ₹5 (keluaran tahun 2015) = (+- RM0.30)


Wang Kertas ₹5  = (+- RM0.30)


Wang Kertas ₹20  = (+- RM1.20)



Wang Kertas ₹500  = (+- RM30.00)

Kami mendaftar masuk beg-beg besar kami dan membawa bersama kami beg galas kecil. Kami diberikan teg untuk beg galas kami bagi tujuan pemeriksaan keselamatan.


Selesai sahaja mendaftar masuk, kami terus masuk ke balai imigresen untuk prosedur imigresen. Pemeriksaan imigresen agak efisyen, dan tidak lama. Sejurus selepas pemeriksaan imigresen, adalah pemeriksaan keselamatan. Di sini agak ketat, sampai saya diperiksa beberapa kami. Malah beg saya yang telah diimbas melalui mesin pengimbas x-ray, dibuka, kerana saya terlupa mengeluarkan laptop. Setelah dikeluarkan, beg tersebut diimbas semula. Akhirnya lepas dan teg pada beg saya serta pas pelepasan dicop sahkan. Untuk isteri saya pula, diperiksa oleh polis wanita di dalam ruang tertutup. Alangkah bagus kalau di Malaysia dibuat begini, kurang masalah terlihat aurat. 



Setelah selesai, kami pun meneruskan dan melalui pelbagai kedai-kedai bebas cukai. Tapi agak tidak menarik, mungkin kerana harganya agak mahal. Murah lagi di Malaysia. Kami teruskan perjalanan untuk ke surau. Terdapat surau yang terletak di kawasan contact pier




Surau ini agak besar dan selesa. Kemudahan yang diberikan agak lengkap. Ruang solat lelaki dan wanita dipisahkan. Cuma tempat ambil wuduk wanita tiada dilindungi pandangannya daripada pandangan orang lelaki. 



Setelah selesai, kami segera ke pintu 8B untuk menunggu untuk pelepasan memasuki pesawat. Ketika itu pesawat telah ada di ruang parkir pesawat. Alhamdulillah, tiada penangguhan perjalanan akan dialami. Tepat pukul 10:00 malam (setelah 15 minit menunggu), pintu pelepasan dibuka, dan kami pun memasuki pesawat.


Masuk sahaja pesawat, rupa-rupanya baru sedar bahawa tempat duduk kami adalah di belakang sekali. Masa datang di depan sekali, balik di belakang sekali. Macam ada maksud sahaja, huhuhu. Insya Allah akan datang lagi ke benua kecil ini. Pesawat Malindo Air OD206 akhirnya tepat masa meninggalkan bumi Delhi ini. Alavidā India!


Sepanjang perjalanan, suasana agak bising. Maklumlah, rasanya kami sahaja orang bukan warganegara India di alam pesawat itu selain krew pesawat. Nasib baik layanan pramugari Malindo Air ini baik. Kami pun dapat memilih makanan dan dapat hidangan daging, alhamdulillah. Selepas 45 minit penerbangan, kami pun dapat tidur.


05 Mei 2016 (Selasa)


Kami terbangun ketika sejam sebelum pesawat tiba di KLIA2. Kelihatan langit pun sudah nampak sinaran matahari. Akhirnya pada jam 6:00 pagi, pesawat selamat mendarat di landasan ketiga KLIA.


Pesawat diparkir di pier L, alhamdulillah dekat sahaja dengan tempat mengambil beg. Kami berjalan dan membuat prosedur imigresen di auto gate. Semasa sampai di tempat mengambil beg, beg belum sampai lagi, jadi kami bersolat Subuh di surau berada di situ. Tepat apabila saya usai solat, dan kembali ke tempat ambil beg, barulah sampai beg kami. Jadi saya menunggu isteri saya, yang selesai tidak lama kemudian dan terus ke parkir motorsikal untuk mengambil motorsikal kami. Bayaran parkir cuma RM5.00 sahaja untuk 5 hari parkir.



Seterusnya kami menunggang pulang ke rumah. Keadaan sepanjang perjalanan agak kurang sesak, kerana kami sampai sebelum waktu puncak. Sebelum sampai ke rumah, kami singgah ke Jalan Dua, Sungai Besi untuk makan soto di gerai Sinarnor. Akhirnya kami sampai ke rumah pada jam 8:30 pagi.

Begitulah sedikit pengalaman perjalanan kami untuk melihat Taj Mahal. Diharapkan ia dapat menjadi insirasi dan rujukan anda untuk ke situ. Saya sebenarnya berharap untuk ke India lagi pada masa akan datang. Insya Allah saya akan mencoretkan perjalanan saya dan sahabat-sahabat saya ke Yangon, Myanmar pada bulan Ogos 2015.


Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...


Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2;
  • Day 3;
  • Day 4; or 
  • Day 5 & 6 (this part). 

Tiada ulasan: