Jumaat, 2 September 2016

Hari 6 (Manila, Vigan & Puerto Princesa, Filipina - 30 Jun hingga 05 Julai 2016) - Perjalanan Balik Raya Dari Filipina Ke Malaysia.

Bersambung dari Hari 5

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5; or 
  • Day 6 (this part). 

Pesawat AirAsia Z2 427 di atas tarmac Lapangan Terbang Puerto Princesa.

Hari 6 (05 Julai 2016 - Selasa).


Saya bangun pagi pada pukul 3:45 pagi. Jadi saya ke dewan makan untuk mengambil air panas untuk membuat maggi, oat dan air milo, untuk bersahur. Juga air suhu bilik untuk minuman biasa. Setelah itu, saya solat subuh apabila masuk waktu dan kemudian mengemas beg galas saya. Selesai semua, saya pun berehat sambil menonton televisyen sementara tungga masa sesuai untuk daftar keluar.


Sebenarnya, penginapan di Palawan Village Hotel ini memberikan sekali sarapan pagi yang termasuk di dalam pakej penginapan. Namun waktu untuk sarapan pagi adalah dari pukul 7:30 pagi ke 10:30 pagi. Jadi ada dua sebab saya tidak mengambilnya, pertamanya penerbangan saya adalah pada pukul 8:00 pagi, jadi memang tidak sempatlah untuk pelbagai proses pra penerbangan, walaupun lapangan terbang tidak jauh.  Keduanya, saya berpuasa, lagi pula hari ini adalah hari terakhir berpuasa dan esoknya adalah Hari Raya Aidilfitri. 

Tepat jam 7:00 pagi, saya pun membuat proses daftar keluar hotel dan terus menuju ke lapangan terbang yang hanya seberang jalan sahaja. Nasib baik pada hari sebelumnya, Akmal memaklumkan pada saya, bahawa di Lapangan Terbang Puerto Princesa (PPS) ini, cukai penerbangan tidak termasuk di dalam harga tiket dan perlu di bayar secara tunai sebanyak ₱200 (+- RM18.00) sebelum memasuki dewan pintu-pintu pelepasan. Jadi saya siap-siaplah wangnya bagi memudahkan urusan.

Masuk sahaja ke balai berlepas, seperti biasa, beg perlu diimbas sebelum memasukinya. Di sini badan tidak perlu diiimbas lagi. Betul-betul di kawasan pintu masuk balai berlepas ini, terdapat beberapa buah gerai. Ada gerai-gerai ini menjual barang keperluan, makanan dan juga seperti biasa cenderahati. Seperti biasalah, harga di sini agak tinggi sedikit. Cuma kalau kita terlupa membeli cenderahari, boleh sahaja beli di sini.

Oleh kerana saya telah mendaftar secara web, maka saya mempunyai pas pelepasan dan tidak perlu mendaftar masuk di kaunter. Tetapi rupanya, kaunter daftar masuk memang hendak ditutup dan penumpang yang mendaftar masuk itu adalah penumpang terakhir. Cepat juga kaunter ini ditutup, atau saya sebenarnya sudah lewat? Huhuhu.

Seterusnya, saya perlu membayar cukai lapangan terbang di kaunter khasnya yang terletak betul-betul sebelum pintu masuk ke dewan menunggu pelepasan. Kita perlu serahkan pas pelepasan kita bersama wang ₱200 (+- RM18.00) kepada petugas kuanter. Pas pelepasan tersebut kemudiannya diserahkan dengan kupon cukai lapangan terbang (terdapat dua keratan, satu untuk pegawai di pintu masuk dewan menunggu pelepasan dan satu lagi untuk simpanan kita.


Lapangan Terbang Puerto Princesa (PPS).

Makluman bayaran cukai PPS perlu dibayar tunai.

Gerai-gerai di dalam balai berlepas PPS.

Kaunter bayaran cukai Lapangan Terbang Puerto Princessa.

Kupon cukai Lapangan Terbang PPS.

Selepas itu, saya ke pintu masuk dewan menunggu pelepasan dan menyerahkan pas pelepasan untuk di periksa dan diambil keratan kupon cukai lapangan terbang. Seterusnya, saya perlu meletakan beg di mesin pengimbas x-ray sekali lagi dan kali ini, perlu membuka segala benda berlogam termasuk tali pinggang dan mengeluarkan peralatan elektronik. Semua itu diletakan di dalam dulang dan diimbas di mesin pengimbas x-ray. Saya kemudian melalui mesin pengesan logam dan setelah itu, barulah kita boleh menunggu penerbangan kita.

Namun, semasa saya selesai memakai kembali tali pinggang, rupa-rupanya pintu pelepasan bagi penerbangan saya telah dibuka, jadi saya pun terus ke pintu berkenaan dan setelah pas pelepasan dan pasport saya diperiksa serta keratan pas pelepasan diambil oleh petugas AirAsia, maka saya terus menaiki pesawat RP-C8189 yang menjadi penerbangan AirAsia Zest Z2 427 pada pagi ini.

Agak awal juga penerbangan ini berlepas, mungkin kerana kesemua penumpang telah mendaftar masuk agaknya. Jumlah penumpang tidaklah penuh tetapi melebihi separuh dari keseluruhan tempat duduk di dalamnya. Pintu pesawat ditutup pada pukul 7:35 pagi dan pada 7:45 pagi, berlepaslah pesawat ini menuju ke Manila, 15 minit awal dari dijadualkan.

Dewan menunggu pelepasan PPS.

Pesawat AirAsia Z2 427 di atas tarmac PPS.

Peta laluan (FlightRadar24) penerbangan AirAsia Z2 427 pada 05 Julai 2016.

Pesawat yang dinaiki saya tiba di Terminal 4, Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino Manila (MNL) pada pukul 8:30 pagi. Semua penumpang termasuk saya pun turun menuju ke bangunan terminal. Sampai di dalam terminal, saya terus ke kiri di pintu masuk, dan terus ke kaunter perkhidmatan bas transfer antara terminal, kerana penerbangan saya ke Kuala Lumpur nanti akan berlepas dari Terminal 3. Petugas di kaunter meminta pas pelepasan atau tiket/tempahan penerbangan yang disahkan dan pasport kita untuk mereka merekodkan maklumat terbabit. Jika mempunyai bagasi pun tidak masalah kerana boleh ambil bagasi dahulu, lagipun kaunter ini memang di dalam ruang mengambil bagasi.

Kemudian saya diminta untuk menunggu di bilik khas. Perkhidmatan ini percuma dan ia lebih selesa dan mudah berbanding jika kita mengambil bas shuttle antara terminal di luar yang perlu dibayar ₱20 (+- RM1.80). Kena mengharung kesesakan pula. Malah di bilik menunggu, kita boleh mengecaj telefon bimbit kita kerana terdapat soket elektrik di situ (ingat soket di Filipina menggunakan soket elektrik jenis A).

Setelah menunggu kira-kira dua puluh minit, maka bas shuttle yang membawa kami tiba. Penumpang yang menggunakan perkhidmatan ini juga agak ramai, kira-kira satu bas jugalah. Jadi kami kembali ke pintu masuk ke balai ketibaan tadi dan bas telah menunggu di tarmac. Bas ini kemudian menuju ke Terminal 3 sahaja, manakala penumpang ke Terminal 1 dan 2, perlu menunggu bas yang lain. Di dalam bas, kita boleh nampak jelas keadaan di dalam kawasan lapangan terbang, malah nampak pergerakan kapal terbang.

Kaunter perkhidmatan bas transfer antara terminal, Terminal 4, MNL.
  
Akhirnya dalam lima minit, bas ini tiba di Terminal 3. Semua penumpang keluar dari bas dan masing-masing menuju ke destinasi masing-masing. Saya berjalan mengikut tanda arah ke tingkat balai berlepas, iaitu ke tingkat 3. Untuk ke tingkat 3, saya menaiki lif sahaja. Sampai ke aras tiga, saya pun berjalan-jalan dahulu ke sekitar dewan ini baru ke barisan kaunter daftar masuk B untuk mencetak semula pas pelepasan saya. Ini kerana saya baru perasan yang kehilangannya. Di balai berlepas ini juga terdapat kaunter telco menjual kad SIM juga. Disamping itu, dapat diperhatikan, bahawa hanya yang mempunyai tempahan penerbangan sahaja yang boleh masuk ke balai berlepas ini, selain dari itu, hanya boleh berada di luar (kawasan tiada penghawa dingin).

Setelah itu, saya pun masuk ke dalam airside dengan membuat prosedur keluar imigresen Filipina dan kemudian pemeriksaan keselamatan/kastam, walaupun masih awal. Asalnya saya ingin berjalan-jalan di kawasan airside pelepasan antarabangsa Terminal 3 MNL ini, tetapi tiada apa yang menarik pun di sini. Jadi saya mengambil keputusan untuk duduk di pintu pelepasan 101 yang dijadualkan asal untuk pelepasan penerbangan yang akan saya naiki nanti. Bolehlah sambung mengecaj telefon sambil melayari internet. Walaupun di lapangan terbang ini mempunyai WiFi berinternet, namun saya menggunakan perkhidmatan data di telefon sahaja, kerana masih ada banyak lagi kuota.

Semasa di pintu pelepasan 101, ketika saya memerhatikan apron di mana pesawat akan parkir, baru saya perasan, terdapat papan tanda Maybank Filipina (sama sahaja dengan papan tanda Maybank Malaysia) di bangunan Resort World Manila (ye, salah satu dari kumpulan resort kepunyai Kumpulan Genting) yang terletak di seberang jalan dari Bangunan Terminal 3 MNL ini. Bermakna, pada masa mendatang, jika ke sini lagi, akan ke cawangan ini untuk mengeluarkan wang. Sambil itu, saya memeriksa wang pesa Filipina yang ada untuk dijadikan koleksi simpanan.

Cop imigresen untuk keluar Filipina.

Bahagian airside Terminal 3, MNL.

Aerobridge pintu 2 Terminal 3, MNL.

Papan tanda Maybank Filipina di seberang sana.


10 sentimo = > RM0.01.

25 sentimo = RM0.02

₱50 = (+-RM4.50).

₱500 = (+-RM45.00).


Dalam menunggu di pintu pelepasan ini, saya melihat kelibat Akmal datang ke situ. Bertemu kembali juga dengan sahabat sepengembara. Kami pun menunggulah pesawat kami sampai. Walaupun esoknya adalah Hari Raya Aidilfitri, maklumlah di Manila ini bukan negara Islam, jadi memang tidak merasa langsung kemeriahannya. Jadi kami yang memang beriya-iya seperti hendak balik kampung ini pun memeriahkan dengan membuka video atau lagu raya. Baru terasa seperti hendak beraya.

Pesawat yang ditunggu-tunggu tiba juga, namun perlu berpindah ke pintu pelepasan 102. Setelah penumpang-penumpang ketibaan keluar sepenuhnya, barulah pintu pelepasan dibuka dan kami pun masuk ke dalam pesawat 9M-AHM yang menjadi penerbangan AirAsia AK 583 pada hari ini. 

Pesawat ini kemudian meninggalkan terminal pada pukul 1:10 tengahari, lewat sikit dari dijadualkan. Namun semasa di atas laluan teksi, hujan mulai lebat dan pesawat ini beratur menunggu giliran untuk berlepas, ditanggukan untuk berlepas kira-kira hampir sejam setengah, bersama beberapa pesawat lain. Nampak gaya lambat tibalah di klia2 nanti, saya doakan agar saya tidak terlepas bas untuk ke Muar nanti sahaja.

Akhirnya pada pukul 2:35 petang, pesawat ini berlepas meninggalkan MNL setelah hujan reda sedikit.

Pas pelepasan AirAsia AK583.

Peta laluan (FlightRadar24) penerbangan AirAsia AK 583 pada 05 Julai 2016.

Semasa di penghujung penerbangan, saya diberikan makanan yang saya tempah secara bungkus oleh pembantu penerbangan. Bagus, memang mereka peka dan prihatin dengan penumpang yang berpuasa. Saya tidak sabar hendak merasa hidangan khas AirAsia untuk Hari Raya iaitu rendang dan lemang. Di dalam penerbangan syarikat Malaysia, memang terasa juga semangat lebaran itu.

Akhirnya penerbangan kami tiba di klia2 pada pukul 5:45 petang, agak cepat juga! Agaknya juruterbang-juruterbang dan krew penerbangan tidak sabar hendak beraya agaknya, kata hati saya yang bergurau itu, huhuhu. Saya pun bersalam-salam dengan Akmal kerana mana tahu kami berpisah semasa di dalam terminal nanti (memang betul pun). Apabila di dalam terminal, ketika berjalan, baru perasan yang Akmal tiada, nasib baik dah bersalam-salaman di dalam pesawat tadi (Akmal ke tandas sebenarnya). Sebagai ganti, saya tambah dengan ucapan di dalam WhatsApp sahaja.

Saya terus ke Bangunan Utama klia2, melaksanakan urusan masuk imigresen Malaysia dengan menggunakan autogate dan terus ke pemeriksaan imigresen. Setelah itu, saya ke pasaraya Jaya Grocer di gateway@klia2 untuk membeli air minuman dan buah-buahan. Memang sebenarnya harga di sini agak murah, seperti harga pasaraya biasa di luar kawasan KLIA, berbanding premis lain yang agak mahal.

Usai membeli barang, saya terus ke stesen bas klia2 di aras 1 untuk menukar tiket. Apabila tiba di sana, saya dimaklumkan bahawa tiket hanya ditukar di stesen bas KLIA, jadi apabila bas sampai, naik sahaja dahulu bas tersebut dan apabila bas tersebut tiba di KLIA, perlu turun untuk menukar tiket. Oleh kerana pada masa itu masih dalam pukul 6:45 petang, maka saya pergi ke surau berdekatan untuk duduk menunggu waktu Maghrib (saya telah solat jamak qasar Zohor dan Asar di MNL tadi).

Akhirnya pada pukul 7:24 malam, masuklah waktu berbuka puasa dan waktu Maghrib bagi kawasan Sepang dan kawasan sewaktu dengannya. Alhamdulillah, saya berjaya mengharungi puasa selama lebih 15 jam. Inilah puasa paling lama yang pernah saya rasai, puas hati juga. Menariknya, ia juga puasa terakhir bagi Ramadhan bagi tahun 1437 hijri. Rasa sedih pula apabila Ramadhan pergi meninggalkan kita. Semoga berjumpa lagi Ramadhan 1438 hijri, insya Allah.

Saya pun menikmati makanan yang saya beli dari AirAsia dan Jaya Grocer. Setelah itu, saya pun solat Maghrib. Selesai solat, saya terus ke stesen bas untuk melihat bas Airport Coach ke Muar dan Batu Pahat sudah sampai di platform B3. Ia hanya tiba pada pukul 8:05 malam (lewat 5 minit). Maka saya dan penumpang lain menaikinya, dan bas ini berlepas pada pukul 8:15 malam.


Kaunter tiket bas di klia2.

Tiket bas Airport Coach dari klia2 ke Muar.


Bas ini tiba di stesen bas KLIA pada pukul 8:30 malam. Saya dan penumpang lain yang menggunakan tiket online pun turun untuk menukar tiket. Mana yang membeli di kaunter bas tidak perlu turun. Akhirnya bas ini berlepas dari KLIA pada pukul 9:00 malam. Bas ini singgah di Seremban dahulu untuk menurun dan mengambil penumpang. Alhamdulillah, keadaan lebuhraya dan jalan raya tidaklah sesak sebagaimana keadaan sesak yang biasa dialami ketika menjelang musim perayaan.

Cuma apabila hendak sampai ke bandar Muar sahaja yang agak sesak. Ketika sampai di Plaza Tol Tangkak, saya menelefon isteri saya yang ketika itu sudah berada di kampung, untuk mengambil saya di Muar. Saya tiba di Terminal Bas Bentayan pada pukul 11:00 malam. 15 minit kemudian barulah sampai isteri saya bersama-sama ibu dan anak-anak saya.

Kami singgah dahulu ke Pusat Penjaja Sabak Awor untuk makan malam, maklumlah berpuasa di Filipina selama lima hari terasa bezanya, namun semua gerai ditutup, maklumlah malam raya. Maka saya terus balik ke kampung dan tiba di sana pada pukul 12:15 tengah malam.

Alhamdullillah, selesai dengan selamat kembara saya untuk ke dua lokasi Keajaiban Dunia Baru (New 7Wonders) dan pada masa sama berpuasa. Ini juga merupakan pengalaman berpuasa pertama saya di luar negara. Banyak juga perkara yang diperolehi semasa pengembaraan ini. Harapannya pengalaman ini dapat dijadikan rujukan kepada yang membaca catatan pengembaraan ini, insya Allah.

Semoga berjumpa lagi, terutama bagi perjalanan pendek saya ke Colombo, Sri Lanka yang dibuat menjelang Hari Raya AidilAdha 1537 hijri nanti. Semoga anda terus setia dengan blg kembara KembaraGD ini. Semoga berjumpa lagi dan berpanjang umur, assalamualaikum warahmatullahi wabarukatuh.


KembaraGD - Terokai Dunia, Kenali/Nikmati Kehidupan... (Explore the World, Discover/Enjoy the Life...)

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5; or 
  • Day 6 (this part). 

Tiada ulasan: