Rabu, 29 Jun 2016

Pra Kembara (Manila, Vigan & Puerto Princesa, Filipina - 30 Jun hingga 05 Julai 2016) - Menjejaki Dua 7Wonders Baharu Di Filipina.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney (this part), 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5; or 
  • Day 6.

Gambar sebuah gua bawah tanah di Puerto Pricesa, Filipina

Pengenalan.

Kempen penebusan 0 mata untuk ahli kad AirAsia BIG yang biasa diadakan sehari sebelum kempen tempat duduk percuma AirAsia telah tiba lagi pada 06 September 2015. Jadi saya sengaja mencari-cari untuk mencari destinasi yang memberikan tawaran penebusan 0 mata atau mata yang rendah. Tempoh penerbangan adalah dari 01 Mac 2016 hingga 31 Oktober 2016.

Promosi tempat duduk percuma oleh AirAsia pada 06 hingga 12 September 2015.

Cuma saya masuk ke dalam laman web penebusan mata agak lambat iaitu pukul 6:30 pagi, jadi banyak tiket yang murah dan tarikh yang menarik telah diambil oleh pengunjung yang lebih awal terutama pemegang kad debit AirAsia ezPay dan kad kredit Citibank AirAsia yang menerima akses khas dari pukul 12:00 tengahmalam ke 6:00 pagi.


Tempahan penerbangan AirAsia.

Alhamdulillah saya mendapat tiket ke Manila dan juga tiket dari Manila ke Puerto Princesa - Palawan, dengan harga keseluruhan cuma RM99.90 untuk pergi dan balik sebanyak 4 penerbangan yang mana saya hanya perlu bayar cukai lapangan terbang sahaja. Selepas pembayaran saya berjaya, baru saya sedar bahawa tarikh yang saya pilih iaitu dari 30 Jun ke 05 Julai 2016 merupakan pada bulan Ramadhan, malah hari pulang merupakan petang sebelum Hari Raya Aidilfitri (06 Julai 2016)! Tidak mengapalah, merasa mengembara semasa puasalah saya.

Selepas itu, saya membuat posting di dalam Facebook saya. Terdapat banyak pertanyaan hendak mengikut, namun kebanyakan tidak jadi setelah saya menyatakan ia di dalam bulan puasa. Namun rakan sepengembara saya ke Siem Reap/Ho Chi Minh City pada Oktober 2014 dan Yangon pada Ogos 2015Akmal bersetuju untuk mengikut saya. Alhamdulillah, lega, ada sahabat bersama, tidaklah bermusafir keseorangan.



Peta: Filipina.

Ini adalah insya Allah kunjungan kedua saya ke Filipina. Jika masih ingat, saya pernah berkunjung ke Manila, Filipina pada bulan April 2014. Filipina merupakan salah sebuah negara ASEAN atau Asia Tenggara. Jumlah keluasan negara tersebut kecil sedikit berbanding Malaysia iaitu sekitar 300 ribu kilometer persegi. Ia adalah satu-satunya negara yang tidak bersempadan darat dengan mana-mana negara di Asia Tenggara kerana ia merupakan negara pulau. 

Jumlah penduduknya pula adalah seramai kira-kira 103 juta orang. Walaupun Filipina merupakan negara sekular, kira-kira 90% daripada penduduknya menganut agama Kristian dengan 95% darinya menganut fahaman Katolik menjadikan ia mempunyai penganut Katolik terbesar di Asia. 5% pula menganut agama Islam kebanyakannya duduk di beberapa kawasan di Mindanao, selatan negara tersebut. 

Filipina pernah dijajah oleh Sepanyol lebih 400 tahun dari tahun 1521 dan diambil alih oleh Amerika Syarikat pada tahun 1898 walaupun perjuangan pembebasan oleh anak tempatan hampir berjaya pada ketika itu. Filipina akhirnya memperolehi kemerdekaan sepenuhnya daripada Amerika Syarikat pada 04 Julai 1946. Maklumat lanjut mengenai Filipina di dalam Wikipedia.



Peta: Manila, Filipina.

Manila pula merupakan ibu negara Filipina sejak dari kemerdekaannya, malah menjadi pusat pemerintahan utama penjajah. Ini boleh dilihat dengan salah satu Tapak Warisan UNESCO di sini iaitu Intramuros. Manila merupakan salah satu dari bandaraya di dalam kawasan metropolis Metro Manila. Bilangan penduduk di Manila di mana terletaknya Intramuros adalah sebanyak 1.8 juta manakala Metro Manila pula 12.9 juta dan kawasan terbangun (urban) sebanyak 22.7 juta, menyebabkan Manila dan sekitarnya merupakan antara kawasan terbangun yang mempunyai kependudukan teramai di dunia. Manila merupakan pusat pentadbiran, ekonomi dan sosial paling penting di Filipina.


Peta: Vigan City, Ilocos Sur, Filipina.

Vigan City di wilayah Ilocos Sur di utara Filipina telah terpilih menjadi salah satu daripada New 7Wonders Cities (Bandaraya-bandaraya 7 Keajaiban Dunia yang Baharu) pada 07 Disember 2014. Saya hanya baru berkesempatan pernah ke Kuala Lumpur iaitu tempat tinggal saya, akan menjadi Vigan City ini merupakan bandaraya New 7Wonders kedua saya, insya Allah. Selain itu, ia juga adalah Tapak Warisan UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Sains & Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu)


Peta: Puerto Princesa, Palawan, Filipina.

Di Puerto Princesa yang terletak di pulau Palawan, selatan Filipina, terdapat salah satu daripada New 7Wonders of the Nature (7 Keajaiban Dunia yang Baru bagi Alam Sekitar), iaitu sungai bawah tanahnya. Selain itu seperti Vigan City, ia juga adalah Tapak Warisan UNESCO. Jadi, tujuan utama saya bagi kembara kali ini adalah untuk mencapai kedua-duanya. Manila hanya menjadi tempat transit sahaja.


Screenshot Wallet (iOS) tempahan penginapan melalui 
Hotels.com di Dormitels Makati, Makati, Manila, Filipina.

Pada 15 September 2015, saya menempah penginapan kami di Manila nanti (semalam buat saya dan dua malam buat Akmal) melalui Hotels.com di Dormitels Makati Hostel, Makati, Manila. Saya memilih hostel ini kerana ia memberikan harga paling murah iaitu RM13.04/orang/malam sahaja. Murah sangat, dan tempatnya agak dekat dengan stesen MRT3 Buendia.


Screenshot Wallet (iOS) tempahan penginapan melalui 
Hotels.com di Ezy Stay Pension, Puerto Princesa, Filipina.

Kemudian pada hari yang sama, saya menempah di laman web sama, penginapan di Ezy Stay Pension, Puerto Princesa pula. Harga asalnya termasuk cukai dan caj adalah RM 61.23, namun setelah saya menggunakan malam percuma yang bernilai RM45.33 yang diperolehi dari program kesetiaan Hotels.com Rewards, maka saya hanya perlu membayar RM15.90 sahaja.


Screenshot Wallet (iOS) tempahan penginapan melalui 
Hotels.com di Turissimo Garden Hotel, Puerto Princesa, Filipina.

Oleh kerana hari terakhir saya bermalam keseorangan, maka saya berpindah ke hotel lebih murah harganya iaitu di Turissimo Garden Hotel, Puerto Princesa, juga dari laman web Hotels.com. Harga yang saya dapat termasuk cukai dan bayaran lain adalah RM47.96 sahaja. Hotel ini sama juga dengan Ezy Stay Pension, berada dekat dengan Lapangan Terbang Puerto Princesa, malah lebih dekat. Jadi mudah hendak ke sana awal pagi.

Saya melayari laman web syarikat-syarikat telekomunikasi di Filipina iaitu Smart dan Globe sekitar bulan Mac 2016. Semasa melayari laman web Globe, saya terpandang promosi kad SIM percuma untuk pelancong/pengembara dari luar negara Filipina. Walaupun ia boleh diambil di lokasi-lokasi yang dinyatakan, ia juga menawarkan penempahan awal. Jadi saya menghantar permohonan penempahan awal pada 31 Mac 2016. Alhamdulillah, saya mendapat jawapan pada keesokan harinya (01 April 2016) untuk tempahan dua kad SIM percuma (untuk saya dan Akmal). Cuma perlu cetak emel jawapan tersebut dan serahkan kepada kaunter Globe apabila tiba di lapangan terbang Manila nanti.


Promosi Kad SIM Globe Philippines percuma.

Pada 02 Mei 2016, saya telah membeli International World Traveller Care Takaful dari eTiQa Takaful, di mana saya mengambil plan Platinum bagi individu untuk perjalanan 06 hingga 10 hari ke zon 2 iaitu negara-negara Asia yang terpilih (kebanyakan negara Asia termasuk Filipina) berharga RM71.00 sahaja (sebelum saya tolak komisen saya kerana perniagaan saya, HidayahWEALTH, merupakan ejen korporat bagi eTiQa Takaful). Ada pilihan lebih murah iaitu plan Emas yang berharga RM50.50 dan plan Perak berharga RM33.00, tetapi saya memilih plan Platinum pada kali ini kerana inginkan perlindungan yang komprehensif. 


Nota perlindungan takaful kembara yang diambil untuk perjalanan kali ini.

Jika anda atau kawan-kawan anda ingin mendapatkan takaful tersebut atau lain-lain takaful, boleh mesej saya melalui Facebook saya atau kaedah-kaedah lain. Ini bagi persediaan jika berlaku apa-apa diluar jangka, sekurang-kurangnya ada "kusyen". Sekurang-kurangnya kos perubatan (difahamkan kos perubatan Taiwan dua tiga kali ganda lebih mahal berbanding kos perubatan swasta di Malaysia) dan kos pengurusan jenazah (minta jauh tapi kan maut itu pasti) telah termasuk dalam perlindungan, jadi tidak perlu mengemis dengan orang lain kalau berlaku apa-apa yang tidak diingini dan di luar jangka. Risau juga selepas berlaku beberapa tragedi menimpa orang Malaysia di luar negara baru-baru ini (seperti kes mati lemas di Lombok, Indonesia dan mati kena tikam di Saigon juga dikenali Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam).



Emel pengesahan tempahan tiket bas Airport Coach dari klia2 ke Muar daripada CatchThatBus.

Memandangkan hari kepulangan saya ke Malaysia adalah sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri, jadi saya akan pulang terus ke kampung saya. Jesteru itu, bagi mengelakan kehabisan tiket bas (manalah tahu), saya menempah perjalanan bas dari klia2 ke Muar pada sebelah malam (8:00 malam) pada 01 Jun 2016 dari aplikasi CatchThatBus di dalam telefon saya. Saya mengetahui aplikasi ini semasa mereka membuat promosi di program Backpackers' Day di Pasar Seni, Kuala Lumpur pada 30 Oktober 2015 lepas. Kebetulan saya masih tidak menggunakan kod promo selamat datang pada aplikasi itu walaupun saya pernah guna sekali sebelum ini, saya gunakan ia dan alhamdulillah mendapat potongan 10% dari harga di kaunter tiket. Jadi saya hanya membayar RM36.00 dari RM40.00 yang sepatutnya. Saya mendapat emel pengesahan bagi membuktikan pembelian agar saya bole menukarkan kepada tiket sebenar di kaunter tiket bas di klia2 nanti.

Pengesahan tempahan tiket bas Aerobus.

Oleh kerana saya tidak membawa kenderaan sendiri seperti kebiasaan, maka saya akan menaiki bas dari KL Sentral untuk ke klia bagi penerbangan saya ke Manila semasa hari 1. Jadi saya melihat laman web penyedia-penyedia perkhidmatan bas dari KL Sentral ke klia2. Nampaknya Aerobus memberikan harga lebih murah jika membeli dari laman web. Jika di kaunter tiket di KL Sentral harganya adalah RM11.00 tetapi di laman web hanya RM9.00. Jadi saya membelinya pada 02 Jun 2016 dan mendapat pengesahan tempahan untuk dibawa bagi menaiki bas tersebut.


Pas Pelepasan penerbangan AK582 untuk sektor KUL-MNL.

Seperti biasa, saya akan mendaftar masuk 14 hari sebelum penerbangan, bagi memudahkan urusan penerbangan kami nanti. Oleh kerana terdapat empat tempahan bagi saya dan Akmal, dan terdapat dua penerbangan setiap tempahan, maka banyak juga yang perlu saya buat daftar masuk. Paling awal pada pagi 16 Jun 2016 untuk penerbangan kami dari klia2 ke Manila dan paling akhir adalah pada sebelah petang 21 Jun 2016 untuk penerbangan pulang kami ke tanah air.



Pada 22 Jun 2016, saya telah menghantar e-mel makluman kehadiran kami di Filipina kepada pihak  Kedutaan Malaysia di Manila. Pendaftaran melalui e-Konsular juga dilakukan pada masa yang sama.

Oleh kerana Filipina ini menggunakan matawang Peso Filipina (simbolnya adalah ₱ dan singkatan antarabangsanya PHP), saya menukarnya untuk beberapa Peso. Saya hanya menukarnya dalam sekitar ₱3500 (+- RM305.00). Ini kerana di Filipina terdapat rangkaian cawangan dan ATM Maybank Filipina. Secara amnnya, kadar tukaran Peso Filipina dengan Ringgit Malaysia adalah berikut: RM1.00 = ₱12 atau 10 = RM0.90. Jadi cukuplah ia untuk kegunaan awal ketibaan kami di Manila nanti.


Paparan laman Maybank2U bagi pengaktifan pengeluaran ATM luar negara.

Di Filipina, kita boleh mengeluarkan wang tunai (di dalam matawang Peso Filipina) di ATM Maybank Filipina dengan PERCUMA. Ini kerana Maybank mempunyai anak syarikat perbankan runcit di Filipina melalui Maybank Filipina. Melalui perkhidmatan Maybank RegionLink, pemegang-pemegang kad ATM bank-bank Maybank di Malaysia, Filipina, Singapura, Brunei dan Indonesia, dapat menggunakan beberapa perkhidmatan secara percuma termasuk pengeluaran wang tunai daripada ATM Maybank yang ada di negara tersebut. 

Namun untuk menggunakan perkhidmatan tersebut, kita perlu mengaktifkan perkhidmatan kad ATM kita untuk urusniaga luar negara melalui laman perbankan internet Maybank2U kita. Kita perlu log masuk akaun Maybank2U kita, kemudian pilih Pengurusan Kad (Card Management), kemudian pilih Pengaktifan ATM Kad (Kad ATM?) Luar Negara (Overseas ATM Activation) kemudian ikut langkah-langkah yang diberikan. Pastikan telefon bimbit yang telah didaftaran untuk menerima TAC, ada bersama kita. Kita boleh mengaktifkan sehingga 12 bulan bagi setiap pengaktifan. Setelah selesai, kita sudah boleh menggunakan kad ATM kita di luar negara termasuk Filipina mulai tarikh mula yang kita pilih.

Pada 29 Jun 2016, saya pun mengaktifkan kad ATM Maybank saya untuk tujuan urusniaga di Filipina seperti pengeluaran dan juga pembelian runcit decara debit. Jadi saya tidak perlu membawa banyak wang Peso Filipina, dan selain itu, saya mendapat lebih banyak Peso dengan caj yang lebih sikit berbanding jika saya menukarkan wang di pengurup wang.

Itulah persediaan saya untuk kembara ke Filipina untuk menjejaki dua tempat yang mendapat status 7Wonders Baru mengikut kategori yang terletak di negara tersebut. Jadi cuma menunggu saat dan ketika sahaja untuk pengembaraan tersebut. Agak mencabar juga kerana perjalanan ini ketika bulan Ramadhan. Doakan yang terbaik untuk saya sepanjang perjalanan saya. Insya Allah.

Bersambung ke Hari 1.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney (this part), 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5; or 
  • Day 6. 

Tiada ulasan: