Sabtu, 5 Mac 2016

Pra Kembara (Seoul, Korea Selatan - 06 hingga 10 Mac 2016) - Kembara K-Pop Ke?.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey (this part); 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3 Part 1; 
  • Day 3 Part 2; 
  • Day 4; or 
  • Day 5.

Booklet Promosi Discover Korea Your Way 2016.

Pengenalan.

Beberapa orang rakan-rakan sekerja saya ada meminta saya untuk membuat satu kembara bersama mereka. Tetapi syarat mereka perlu ada salji. Jadi saya ada melihat atau menyelidik harga-harga tiket kapal terbang terutama ketika promosi. Namun sebenarnya saya tidak berapa endah sangat. Jadi tidaklah beli.

Namun pada 11 hingga 13 September 2015, pejabat kami mengadakan kursus team bulding di sebuah resort di Port Dickson, Negeri Sembilan. Semasa dalam perjalanan ke sana pada 11 September 2015, dalam kami berborak, terkeluar semula idea, memandangkan mereka mengetahui bahawa minggu tersebut merupakan minggu promosi jualan AirAsia


Promosi Tempat Duduk Percuma AirAsia pada 11 September 2015.

Jadi sambil-sambil itu, saya mendapat tawaran agak menarik untuk ke Seoul, Korea Selatan untuk awal bulan Mac 2016. Saya bertanyakan dengan mereka dan mereka bersetuju dengan harga itu. Maka saya kenalah menempahnya dengan mendahulukan pembayarannya dengan kad kredit saya, huhuhu. Mereka berjanji untuk membayarnya setelah mendapat gaji. Diharap dapatlah mereka, menepati janji kerana modalnya kira-kira RM4000 lebih. Kopak saya, waaaaa...


Itinerari Penerbangan.

Jadi harga bagi seorang kira-kira hampir RM600.00 (lebih tepat kira-kira RM584.08 termasuk RM32.00 untuk caj pembayaran dengan kad kredit, bermakna hanya RM552.08 seorang). Alhamdulillah, mereka membayarnya (ada yang sebanyak dua - tiga kali bayar juga) juga akhirnya dengan sepenuhnya.



  Peta Kedudukan Seoul di Korea Selatan.

Seoul, merupakan ibu negara Korea Selatan sejak sekian lama dengan penduduknya sejumlah 10 juta orang. Jika termasuk bandaraya sekelilingnya, penduduknya lebih 25 juta orang, sikit lagi hendak sama dengan jumlah penduduk Malaysia. Kiranya, penduduk di kawasan metropolitan Seoul adalah separuh daripada keseluruhan penduduk Korea Selatan iaitu sebanyak 51 juta orang.


Peta Seoul.

Kedudukannya sebenarnya agak hampir dengan sempadan dengan Korea Utara. Saya pun sebenarnya hendak ke Seoul ini pasal hendak tahu apa yang ada di sana, bukan nak tengok K-Pop sangat. Saya cuma tahu Running Man je, lain-lain tak tahu (ye ke?), huhuhu... Jadi jawapan bagi ramai kawan saya iaitu "Kembara K-Pop ke?", jawapannya adalah "Anyo (Tidak)", hahaha... Saya tanya, "Kenapa K-Pop (nyanyian)? Pasal saya ni lebih minat K-Wave (lakonan) dari K-Pop.". Mereka kata nama samaran saya GD (sila baca pengenalan blog ini jika hendak tahu kenapa nama samaran saya GD)! Pulak dah...


Long Johns UniQlo.

Sambil-sambil itu, saya mencari pakaian-pakaian panas yang lama saya simpan. Alhamdulillah jumpa juga, cuma yang tidak pernah saya ada, long johns dan baju dalam yang muat-muat saiz badan, bagi mengekalkan kepanasan badan. Padan la selama ini saya ke negara empat musim, apabila tiba musim bunga, luruh dan sejuk (saya tidak pernah ke musim panas lagi), ada masanya, rasa sejuknya menggigil, rupanya saya tidak memakai pakaian dalam tambahan. Perlu juga long johns sepasang ini. Saya telah pergi ke beberapa kedai seperti Universal Traveller, UniQlo, Kedai Pakaian Musim Sejuk Kok Kong di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur dan beberapa tempat lagi. Akhirnya saya membeli long johns di UniQlo, kerana bahan fabriknya terbaik bagi saya dan harganya berpatutan kebetulan semasa saya beli itu ada tawaran potongan harga. Dapatlah sepasang dalam RM69.80 (harga asal RM99.80), saya beli dua pasang (RM139.60, jimat RM60!).


₩1000 = +-RM3.50


₩5000 = +-RM17.50


₩10 000 = +-RM35.00


₩50 000 = +-RM175.00

Kadar pertukaran Won Korea (KRW atau ₩ atau 원 simbol (dalam bahasa Korea)) memang sentiasa diperhatikan, maklumlah terdapat masa enam bulan tarikh penempahan. Jadi, untuk bagi mendapat harga purata, saya menukarnya secara berdikit-dikit selama empat bulan sebelum perjalanan, kerana dua bulan awal saya kena tumpukan perjalanan saya ke Macau - Hong Kong - Shenzhen - Guangzhou, jadi selepas kembara saya itu, baru saya dapat menumpukan kembara saya ke Korea Selatan ini dan menukar RM kepada ₩. Saya mendapat pertukaran dengan kadar bagi ₩1000 antara RM3.48 hingga RM3.65. Untuk memudahkan pengiraan, saya membundarkan pengiraan kepada ₩1000 bersamaan RM3.50.


Passport/Wallet iOS untuk Hotels.com bagi tempahan di 
Gong Gam House, Jongro, Seoul.

Saya menempah penginapan kami di Seoul, Korea Selatan di hostel 
Gong Gam House, Jongro, melalui perkhidmatan Hotels.com pada 23 November 2015, dengan harga RM1433.20 untuk dua buah bilik berempat bagi empat malam. Jadi harga bagi sebuah bilik berempat ini untuk semalam adalah RM179.15 termasuk cukai. Ini bermakna, setiap orang membayar RM179.15 bagi empat malam atau RM44.79 untuk semalam.


Promosi Discover Korea Your Way 2016.

Pada 18 Januari 2016, saya dimaklumkan melalui kumpulan Facebook mengenai pengembaraan, bahawa Pertubuhan Pelancongan Korea (Korea Tourism Organization - KTO) cawangan Malaysia, telah mula membuat promosi Discover Korea Your Way 2016. Pada tahun 2015, KTO Malaysia juga telah membuat promosi yang sama, jadi ia diteruskan pada tahun ini. Melalui promosi ini, KTO Malaysia akan memberikan beberapa hadiah berupa kad T-Money (fungsi seperti kad Touch 'n Go Malaysia atau kad MyRapid Kuala Lumpur) dan voucer-voucer kepada pengembara/pelancong yang akan pergi ke Korea Selatan atas pengurusan sendiri (bukan melalui agensi pelancongan). 


Booklet Promosi Discover Korea Your Way 2016.

Bagi mendapat hadiah-hadiah ini, mereka perlu menjadi ahli Kaki Korea dan kemudian menjawab soal selidik yang diberikan. Selepas selesai menjawab soalan, satu kod akan di berikan. Kod ini diperlukan semasa mengambil hadiah-hadiah itu nanti bersama itinerari penerbangan dimana ia perlu ditulis emel yang digunakan untuk mendaftar Kaki Korea dan username Kaki Korea. Saya menjawabnya dan memaksa semua kawan-kawan yang turut serta ke Korea Selatan nanti untuk menjawab juga. Akhirnya, semua menjawabnya. 



Jadi 22 Januari 2016, saya telah pergi ke pejabat KTO Malaysia yang juga dikenali sebagai Korea Plaza di Menara Hap Seng, Jalan P Ramlee, Kuala Lumpur untuk mengambil hadiah-hadiah yang diberikan hasil daripada menjawab kaji selidik tersebut. Jadi kuranglah sikit perbelanjaan, kerana ada voucer yang ada juga perkhidmatan yang akan dapat secara percuma di Korea Selatan nanti, disamping kad T-Money.


Hadiah-hadiah yang diperolehi dari KTO Malaysia.

Pada 11 Februari 2016, saya membaca posting-posting dan komen-komen di dalam group Facebook Backpack Buddies Malaysia dan terbaca salah satu posting yang mengatakan bahawa pihak Korea Train eXpress (KTX), yang membuat pameran di pusat membeli belah Nu Sentral, sedang memberikan voucer percuma dengan syarat membawa  sekali tiket kapal terbang atau itinerari penerbangan yang mempunyai nama kita.


Pusat pameran KTX (Korea Train eXpress) di Nu Sentral, Kuala Lumpur.

Apa lagi, saya ke Nu Sentral dengan menaiki bas GoKL Laluan Merah dan terus ke aras 1 di mana pameran mengenai KTX ini sedang berlangsung. Saya terus ke kaunter bertanyakan mengenai voucer tersebut. Alhamdulillah, masih ada. Saya cuba bertanyakan sama ada boleh mengambil untuk sahabat-sahabat saya yang lain. Pada mulanya katanya hanya maksima 6 keping voucer sahaja, namun setelah berbincang dengan pengurusnya, saya boleh mengambil kelapan-lapan keping voucer untuk setiap ahli kembara. 


Voucer tiket keretapi KoRail.

Pada 21 Februari 2016, saya telah mendaftar masuk melalui aplikasi AirAsia di dalam iPhone untuk penerbangan pergi ke Seoul dan mendaftar masuk untuk penerbangan pulang pada 25 Februari 2016, melalui cara yang sama. Jadi, pas pelepasannya saya cetak segera agar memudahkan urusan di lapangan terbang. 


Pas pelepasan Air Asia.

Pada 21 Februari 2016 juga, saya telah menghantar e-mel makluman kehadiran kami di Korea Selatan kepada pihak  Kedutaan Malaysia di Seoul. Pendaftaran melalui e-Konsular juga dilakukan pada masa yang sama.


E-mel saya ke Kedutaan Malaysia di Seoul.


Saya membeli sepasang sarung tangan yang boleh menyentuh skrin telefon agar saya tidak perlu membuka sarung tangan saya setiap kali ingin menggunakan telefon bimbit saya di kedai Daiso di dalam pusat membeli-belah Aeon Setiawangsa AU2 pada harga RM5.30 pada 29 Februari 2016. Pada masa sama, saya membeli sebungkus set pek pemanas pada harga sama, kerana difahamkan, di Seoul, pada ketika kami akan sampai di sana, masih lagi sejuk hingga di bawah paras beku. Jadi perlu ada persediaan.

Sepasang sarung tangan yang boleh sentuh skrin telefon 
dan satu set pek pemanas yang saya beli dari Daiso di Aeon Setiawangsa AU2.

Pada 01 Mac 2016, saya telah membeli International World Traveller Care Takaful dari eTiQa Takaful, di mana saya mengambil plan Platinum bagi individu untuk perjalanan 1 hingga 5 hari ke zon 2 iaitu negara-negara Asia yang terpilih (kebanyakan negara Asia termasuk Korea Selatan) berharga RM52.50 sahaja (sebelum saya tolak komisen saya kerana perniagaan saya, HidayahWEALTH, merupakan ejen korporat bagi eTiQa Takaful). Ada pilihan lebih murah iaitu plan Emas yang berharga RM38.00 dan plan Perak berharga RM26.00, tetapi saya memilih plan Platinum pada kali ini kerana inginkan perlindungan yang komprehensif. Jika anda atau kawan-kawan anda ingin mendapatkan takaful tersebut atau lain-lain takaful, boleh mesej saya melalui Facebook saya atau kaedah-kaedah lain. Ini bagi persediaan jika berlaku apa-apa diluar jangka, sekurang-kurangnya ada "kusyen".


Nota perlindungan takaful kembara yang diambil untuk perjalanan kali ini.

Rasanya persediaan ke Korea ni rasanya sudah hendak lengkap. Semoga perjalanan kami ke sana memberikan kesan positiflah. Insya Allah.

Bersambung ke Hari 1.

Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey (this part); 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3 Part 1; 
  • Day 3 Part 2; 
  • Day 4; or 
  • Day 5.

Tiada ulasan: