Jumaat, 18 Disember 2015

Hari 4 (Macau, Hong Kong, Shenzhen & Guangzhou, Guangdong, China - 09 hingga 15 November 2015) - 欢迎来到中国 (Selamat Datang Ke China) Pula.

Bersambung dari Hari 3.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2 Part 1; 
  • Day 2 Part 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4 (this part); 
  • Day 5; or 
  • Day 6 & 7. 



Saya "menggenggam" Menara Canton, Guangzhou.


12 November 2015 (Khamis)

Sedar-sedar kami bangun pukul 4:30 pagi. Maka kami pun membersihkan diri kami, bersolat beberapa solat sunat. Setelah itu, kami 
menyiapkan beg-beg kami dengan isi-isinya yang mana belum siap lagi. Nasib baik baju yang dibasuh malam semalam sudah kering (kerana kami menguatkan kipas pada kelajuan tertinggi untuk mempercepatkan pengeringan). 

Sambil itu, saya memanaskan makanan yang saya beli semalam dengan menggunakan air panas di bilik air. Tadah sahaja air panas di dalam besin basuh muka, lepas itu letakan bekas berisi makanan di dalam air panas tadi, dan diletakan pemberat di atasnya. Pukul 5:30 pagi, kami bersolat Subuh dan menyambung kembali mana yang belum selesai selepas itu.


Setelah selesai semua, pukul 6:00 pagi, kami pun makan sarapan yang sudah siap (dan panas pula tu). Sambil-sambil itu, layan cerita drama dan juga berita di televisyen.



Tren MTR Laluan Timur (East Line) sedang menghampiri stesen Hung Hom.


Pada pukul 6:45 pagi, abang Zainudin menelefon saya, mengatakan mereka akan tunggu kami di tingkat bawah. Memandangkan kami sudah siap, terus kami keluar. Setelah memeriksa tiada apa yang tertinggal, maka kami meninggalkan kunci di dalam bilik dan menuncikan bilik kami. Ini arahan yang diberikan oleh staf yang bertugas semasa saya bertanyakan cara daftar keluar pada malam sebelumnya.

Kami berjumpa dengan pasangan satu lagi di ruang menunggu lif di tingkat kami menginap. Kemudian kami ke tingkat bawah dan terus ke stesen MTR Tsim Sha Tsui East untuk mengambil tren untuk ke stesen MTR Hung Hom pula. Sampai di stesen Hum Hom, kami keluar ke platform 2 untuk ke platform 1 bagi menunggu tren MTR Laluan Timur pula. Dalam masa lima minit, sampailah tren tersebut. Kami mengambil koc di belakang kerana ia adalah kelas kedua yang tambangnya separuh daripada kelas pertama yang kocnya di hadapan. Lima minit kemudian, bergeraklah tren ini menuju ke destinasinya iaitu stesen MTR Lo Wu.



Apabila sampai di stesen MTR Lo Wu.


Melalui tren ini, kami dapat melihat, kawasan luar bandar Hong Kong, terutama di kawasan New Territory. Masih banyak kawasan hijau juga di sini. Pada masa ini juga, merupakan masa warga Hong Kong bergerak ke tempat kerja dan sekolah. Jadi tren MTR agak ramai juga orang. 



Peta: Perjalanan dari Chungking Mansions ke stesen MTR Lo Wu.

Saya di stesen MTR Lo Wu sebelum sampai di kaunter imigresen Hong Kong.

Akhirnya sampai juga kami di stesen MTR Lo Wu. Stesen ini memang bersambung terus dengan pusat pemeriksaan sempadan Lo Wu untuk ke Shenzhen. Jadi kami mengikut anak panah sahaja. Kami perlu melalui pintu pagar (turnstile) untuk keluar dari kawasan berbayar MTR. Di pintu turnstile ini, kad Octopus perlu diimbas. Perjalanan kami menaiki tren MTR kelas kedua dari Tsim Sha Tsui East adalah sebanyak HK$39 (+- RM23). Oleh kerana baki kad saya sebelum ini adalah HK$8, lebih kurang juga kad isteri saya, maka baki kad kami menjadi negatif. Kami menyimpan sahaja kad ini buat kenangan-kenangan, juga manalah tahu jika ke Hong Kong lagi, boleh guna. Abang Zainudin  mengembalikan kad-kadnya di kaunter khidmat pelanggan dan mendapat wang baki daripadanya.

Mengikuti anak panah untuk ke Shenzhen, China.

Seterusnya, kami terus ke kaunter imigresen sejurus selepas pintu turnstile MTR. Kami ke kaunter paling kiri, khas untuk pemegang pasport luar (selain Hong Kong, Macau, Taiwan dan China) yang tertulis "Foreigner". Masa ini saya terasa seperti tidak mahu keluar dari Hong Kong, kerana terdapat banyak tempat yang masih belum dilawati. Tetapi, kami perlu mengikut perancangan kami untuk melawat kawasan di China pula. Insya Allah, ada masa kami akan datang ke Hong Kong lagi. 

Sungai Shenzhen, pemisah antara Hong Kong dan tanah besar China.

Selepas melepasi pemeriksaan imigresen (slip imigresen yang didapati semasa masuk Hong Kong, boleh sahaja tidak dikemukakan, boleh simpan) dan kastam, kami melintasi laluan tertutup yang merupakan jambatan yang merentasi Sungai Shenzhen, yang memisahkan China dan Hong Kong, satu negara tetapi dua sistem berlainan.

Titik sempadan antara Hong Kong dan China.


Menuju ke kaunter imigresen China.

Di sebelah China, kami tiba di pusat pemeriksaan sempadan China Louhu Port, Shenzhen. Kaunter untuk pemegang pasport selain China, Hong Kong dan Macau adalah perlu berjalan terus dan mengambil kaunter di sebelah kanan. Kami perlu mengisi borang imigresen China terlebih dahulu.



Borang imigresen China.

Setelah selesai, kami beratur di kaunter berkaitan. Alah, kenapalah masa ini hanya ada satu kaunter sahaja dibuka. Terdapat juga ada warga China tersesat ke kaunter ini. Tidak mengapalah, bersabarlah, ini ujian kecil sahaja. Kami juga membuka kembali pasport kami untuk memeriksa agar visa China untuk masuk ke negara ini masih ada (manalah tahu tiba-tiba koyak atau hilang pula, kena buat kerja lain pula). Alhamdulillah, masih ada (memanglah, visa China adalah pelekat, bukan slip kertas atau sebagainya, huhuhu). 

Cop pasport masuk China (Louhu Port).


Tidak lama kemudian, selepas isteri saya selesai diperiksa, maka giliran saya pula. Tidak, lama kemudian, dup dup, pasport saya, maka 欢迎来到中国 (Pinyin (mandarin): huānyíng lái dào zhōngguó) iaitu Selamat Datang ke China. Ini adalah buat kali ketiga buat saya setelah pertama kali pada tahun 2003 ke Beijing dan 2013 ke Shanghai. Terus berjalan melepasi kastam China dan sudah keluar dari kawasan pemeriksaan sempadan.

Risalah imigresen China.


Risalah imigresen China.

Kami sampai di kawasan Louhu di Shenzhen ini. Pertamanya, kami perlu mencari kaunter tiket menjual tiket keretapi ke Guangzhou. Saya terjumpa pula gerai menjual kad SIM di luar. Tetapi penjualnya tidak dapat berbahasa Inggeris. Bahasa Cina (Mandarin) saya pula tidak difahami (agaknya bunyinya tidak tepat). Lantas saya ke gerai lain, dan nasib baik yang ni boleh berbahasa Inggeris. Saya membeli kad SIM paling murah yang dijual pada harga RMB80 (+- RM56)! Kad SIM paling mahal yang pernah saya beli. Itupun murah sikit dari yang dicadangkan. Kad SIM ini dari penyedia rangkaian China Unicom.

Pek kad sim China Unicom.

Sebenarnya langkah membeli kad SIM China ini adalah langkah silap. Sudahlah pek SIMnya hanya bertulisan Cina (diringkaskan - simpified) 100%, setiap SMS, suara dan sebagainya adalah dalam bahasa Cina Mandarin sahaja. Walaupun dikatakan mendapat 3.5 GB tetapi ada caranya untuk mendapatkannya. Pek ini hanya berikan 500 MB sahaja dan ia hanya dapat digunakan setengah hari sahaja, cepatkan. Selain itu, saya tidak sedar, nilai kredit saya juga "dihisap" selepas kuota 500 MB dihabiskan. 

Kad sim China Unicom.

Tujuan saya beli ini pun adalah untuk menggunakan aplikasi peta dan mendapatkan maklumat untuk perjalanan saya. Tapi perlu diingat, bahawa di China, segala perkhidmatan daripada Facebook (seperti Messenger (Chat), Group, Page, Instagram) tidak dapat digunakan kecuali yang boleh adalah WhatsApp (merupakan salah satu perkhidmatan Facebook). Begitu juga semua perkhidmatan Google seperti Maps, Plus, Translate dan sebagainya, kecuali pelayar Google Chrome sahaja yang dapat digunakan. Ini kerana di China, mereka ada versi mereka bagi perkhidmatan ini, seperti Facebook, mereka ada Weibo.


Jadi, jika boleh, anda tidak perlu beli kad SIM apabila di China. 


Louhu Port (kompleks imigresen & kastam China)

Selepas itu, kami mencari kaunter tiket keretapi. Kalau mengikut tanda arah di China ini, kita akan menjadi lebih sesat. Makin berjalan, makin sesat barat dibuatnya. Naik turun tangga, kejap berada di aras tanah, kejap di bawah tanah. Sudahlah kawasan Louhu ini besar dengan sebelah kanan Louhu Port (jika kita menghadap ke utara) ini ada pusat membeli-belah. Kemudian jika kita keluar dari Louhu Port ini, kita akan nampak stesen bas di sebelah kanan (jika mengadap ke utara) dan stesen keretapi di sebelah kiri.

Kaunter tiket & pintu masuk keretapi laju Guangzhou-Shenzhen, stesen keretapi Shenzhen.

Akhirnya jumpa juga kaunternya di atas tanah (rupanya terdapat kaunter sama di aras bawah tanah). Kami cuba membeli tiket di mesin tiket automatik, tetapi beberapa mesin tidak boleh membaca semua pasport kami (ini kerana untuk membeli tiket, diperlukan dokumen pengenalan diri), jika boleh hanya satu pasport sahaja. Jadi kami perlu masuk ke dalam untuk membeli tiket. Untuk memasuki kaunter tiket keretapi laju Shenzhen ke Guangzhou, perlu melepasi pemeriksaan keselamatan. Makan hanya saya dan abang Zainudin sahaja masuk untuk membeli.

Tiket keretapi laju dari stesen keretapi Shenzhen ke stesen keretapi Guangzhou Timur.

Akhirnya dapat juga membelinya dengan harga RMB79.50 (+- RM56.00) setiap orang bagi satu perjalanan bagi kelas kedua (tempat duduk 3+2, jika kelas pertama, tempat duduknya adalah 2+2). Saya membelinya dengan menyerahkan borang tempahan yang saya kongsikan dalam posting pra kembara saya tempohari dan pasport-pasport kami. Agak murah untuk merasai pengalaman keretapi laju ini. Perkhidmatan keretapi laju dari Shenzhen ke Guangzhou ini agak banyak, kira-kira ada lebih 30 perkhidmatan. Malah dalam sejam, ada juga perkhidmatan selang 10 minit! Jadi untuk ke Guangzhou dari  Shenzhen memang tiada masalah. Untuk melihat jadual perjalanan, boleh ke laman web ChinaTrainGuide, sebagimana yang telah saya kongsikan di posting pra kembara. Cuma di kaunter tiket ini, kami tidak boleh beli tiket selain dari perkhidmatan Shenzhen ke Guangzhou. Maka kami perlu cari kaunter tiket biasa untuk membeli tiket dari Guangzhou ke Zhuhai pula.

Kaunter tiket keretapi biasa, stesen keretapi Shenzhen.

Alamak, kena cari lagi. Jenuh juga hendak mencari lagi. Rupanya kena jalan sedikit sahaja ke hadapan. Di China ini, kita kena rajin dan kuat sikit. Kalau ikut tanda arah atau bertanya orang, kita boleh sesat lagi. Lagipun jika tanya orang, majoriti tidak boleh berbahasa selain bahasa Cina Mandarin atau bahasa Cina Kantonis. Seperti tadi, saya serahkan borang tempahan dan pasport untuk membeli tiket dari Guangzhou ke Zhuhai. Bukan apa, saja beli awal agar tidak tergesa-gesa kemudian hari. Kami mendapat harga tiket kelas kedua sebanyak RMB55 (+- RM39) sahaja (sebenarnya ada kesilapan, sila ikuti posting hari 6-7 nanti untuk mengetahuinya) setiap seorang. Oleh kerana kami membeli tiket ini bukan di stesen sebenar, kami dikenakan bayaran RMB5 (+- RM3.50) untuk caj belian stesen lain.

Resit bayaran belian tiket selain stesen asal (RMB 5 = +- RM3.50).

Stesen bas Shenzhen.


Isteri saya di pintu E1, stesen Metro Shenzhen Louhu.

Alhamdulillah, selesai urusan beli tiket. Jam di tangan masih menunjukan pukul 10:00 pagi, jadi ada masa lagi dua jam setengah untuk perjalanan keretapi ke Guangzhou. Jadi saya dan isteri saya mengambil keputusan untuk berjalan-jalan di Shenzhen. Abang Zainudin dan isterinya memilih untuk tinggal di Louhu.

Token tiket sehala Metro Shenzhen.


Menunggu untuk memasuki tren Metro Shenzhen.


Saya dan isteri terus ke stesen Metro Shenzhen yang berada di bawah kompleks Louhu Port ini. Kami memilih untuk ke Window of the World. Kami membeli token tiket sehala di mesin tiket automatik. Harga tambang dari stesen Louhu ke stesen Window of the World adalah RMB3 (+- RM2.00) seorang sehala. Kira selain keretapi laju di China agak murah, tambang keretapi komuter bawah tanah pun murah juga, ini kerana itu adalah tambang untuk perjalanan sebanyak 15 stesen! Seperti biasa, sebelum masuk ke dalam stesen, beg dan badan kita akan diperiksa sebagaimana pemeriksaan di lapangan terbang. Perlu diingat, di Shenzhen dan kebanyakan bandar di China, pemeriksaan keselamatan ketat ke tempat-tempat orang ramai seperti stesen keretapi, stesen metro, stesen bas, kompleks membeli belah dan banyak lagi adalah satu kebiasaan. Jadi kita sebolehnya, perlulah seringkas boleh jika boleh. Tetapi pemeriksaannya tidaklah seketat di lapangan terbang, tapi sebaik-baiknya bersedialah.


Peta laluan Metro Shenzhen.


Peta laluan Metro Shenzhen.

Isteri saya di pintu I, stesen Metro Shenzhen Window of the World.


Peta: Perjalanan menaiki tren Metro Shenzhen dari 

stesen Louhu ke stesen Window of the World.

Setelah perjalanan dekat setengah jam, akhirnya sampailah kami di stesen Metro Shenzhen Window of the World. Window of the World ini adalah sebuah taman tema yang mengumpulkan replika-replika bangunan-bangunan yang terkenal di dunia. Kiranya, ini juga salah satu dari tarikan utama pelancong ke Shenzhen.


Salah satu arca di hadapan Window of the World.


Pintu masuk ke Window of the World.

Kami tidak berniat untuk masuk ke taman tema Window of the World ini, kerana, pertama, kesuntukan masa, sudah pasti kalau berada di taman tema, akan mengambil masa untuk berpusing-pusing dan mencuba tarikan-tarikan yang ada. Kedua, harga tiketnya adalah RMB180 (+- RM126) bagi dewasa dan separuh harga bagi kanak-kanak yang tingginya antara 1.2 meter dan 1.5 meter. Rendah daripada itu, percuma. Agak mahal, lagipun diluar sahaja ada banyak tarikan juga. Kami ke sini pun hendak ambil gambar sahaja. Orang pun agak ramai di sini, kebanyakannya pelancong dari serata tanah besar China. Sampaikan hendak ambil sekeping gambar pun perlu tunggu, kerana apabila hendak ambil, tiba-tiba ada orang yang masuk mengganggu permandangan gambar kami. Huhuhu, biasalah, bila dengan pelancong dari tanah besar China begitulah.

Isteri saya di hadapan piramid di Window of the World.


Saya pula di hadapan piramid di Window of the World.

Setelah dekat di Window of the World, maka kami pun kembali semula ke Louhu. Niat di hati hendak pula ke Pusat Konvensyen dan Pameran Shenzhen, kerana itu dikira pusat bandaraya Shenzhen, namun masa mencemburui. Kami pun segera ke Louhu.

Jadual pelepasan keretapi laju dari Shenzhen ke Guangzhou.


Kami sedang menunggu untuk masuk di balai menunggu.

Sampai di Louhu, abang Zainudin dan isteri pun sudah menunggu kami di depan pintu masuk ke balai menunggu keretapi laju ke Guangzhou. Kami pun masuk  melalui pintu masuk ke kaunter pembelian tiket, bermakna perlu menjalani pemeriksaan keselamatan. Selepas itu kami terus menuju ke pintu masuk, di mana tiket kami perlu diimbas di pintu sebelum kami boleh masuk. Selepas itu kami perlu menunggu, kerana keretapi kami belum lagi bersedia. Lagipun kami setengah jam awal, jadi ada dua keretapi sebelum keretapi kami yang belum berlepas.

Pemeriksaan keselamatan sebelum memasuki platform.

Sementara menunggu, saya pun bersiar-siar di dalam balai menunggu ini. Terdapat kedai serbaguna yang menjual pelbagai barangan. Cuma harganya lebih sedikit berbanding di tempat lain. Terdapat juga beberapa mesin runcitan automatik, kebanyakanya menjual air minuman (murah sedikit berbanding harga di kedai serbaneka tadi). Jika di tempat lain, terdapat hanya ada dispenser minuman air biasa atau sejuk sahaja, tetapi di China, kita akan menjumpai dispenser air panas. Ini kerana budaya orang China meminum air teh panas, di mana mereka akan membawa bekas air sendiri, dan menambah air di dispenser ini.

Tandas di kawasan menunggu ini dan juga seluruh kawasan stesen keretapi ini, faham-fahamlah, tidaklah sebersih di Hong Kong atau Macau, malah tandas di Malaysia lebih bersih. Sudahlahlah tiada air (perlu sediakan botol, ambil air di ruang membasuh tangan dahulu sebelum ke tandas untuk menunaikan hajat), kekadang kita akan menjumpai "tinggalan" orang sebelum kita. 

Air panas dan air minuman di balai menunggu.

Sepuluh minit sebelum keretapi dijadualkan untuk berlepas, maka pintu pelepasan dibuka dengan pengumuman (dalam bahasa Cina Mandarin) dibuat memaklumkan pintu dibuka. Sistem paparan LCD di hadapan pintu pelepasan dan juga di kawasan balai menunggu juga memaklum perkara tersebut. Maka kami pun ke pintu pelepasan. Cuma kami tidaklah berhimpit-himpit bersama orang-orang tempatan yang berebut untuk masuk. Kami tunggu dahulu sehingga ia reda, baru kami jalan, Maklumlah, tempat duduk memang telah diberikan, kecuali kalau kita ambil tiket berdiri (harga sama dengan harga tiket duduk kelas kedua).

Bergerak menuju platform.


Tempat duduk kelas kedua di dalam keretapi laju Shenzhen - Guangzhou.


Saya dan isteri saya di dalam keretapi laju Shenzhen - Guangzhou.

Kami perlu turun ke bawah, kemudian naik semula untuk ke platform (platform kami platform 3). Kemudian nampak keretapi kami dan kami mencari koc kami sebagaimana di dalam tiket iaitu koc 2. Setelah menjumpainya, kami mencari tempat duduk kami iaitu 9A dan 9B. Agak selesa juga. Sebenarnya ini kali ketiga saya dan isteri saya menaiki keretapi laju China ini. Kami pernah naikinya semasa mengunjungi sahabat saya di Suzhou dari Shanghai pada tahun 2013 yang lepas selepas kami pulang dari menunaikan haji. Jadi sudah tahu sedikit cara-cara menaiki keretapi ini.



Dalam keretapi pun ada bekalan air panas.

Memandangkan kami telah bersarapan pada pukul 5:00 pgi tadi, tambahan pula sedang musafir dan perjalanan kami agak jauh juga, maka perut pun terasa lapar. Maka kami membuka Maggi yang kami bawa dari Malaysia dan dituangkan dalam bekas makanan yang kami dapat dari belian makanan di Restoran Hung's di Chungking Mansion semalammya. Saya ke mesin dispenser air panas yang ada di pintu masuk setiap koc untuk memasak Maggi tersebut. Memang sedap, sudahlah Maggi perisa asam laksa, huhuhu.

Video: Perjalanan Keretapi Laju CRH China dari Shenzhen ke Guangzhou Timur.


Beg mabuk keretapi laju Shenzhen - Guangzhou.

Dalam perjalanan, kami dapat melihat permandangan tanah Guangdong, China. Keretapi yang kami naiki berhenti di lima perhentian. Tetapi dalam perjalanan, keretapi ini ada mencecah sehingga 170 km/j dalam pecutannya. Kalah juga keretapi ETS KTMB Malaysia yang hanya sampai 150 km/j paling laju pun. 

Boleh dilihat juga, orang-orang di China ini tidak membazirkan lot tanah yang ada. Jika ada tanah kosong, akan ditanam dengan tanam-tanaman termasuk pisang! Cuma ruang udara di sepanjang jalan agak tidak berapa baik, berjerebu sedikit, kerana hasil daripada lepasan asap daripada kilang perindustrian yang banyak di sekitarnya.

Keretapi laju Shenzhen - Guangzhou C7128 yang menjadi pengangkutan kami.


Peta: Perjalanan keretapi laju Shenzhen - Guangzhou.


Pintu keluar dari balai ketibaan di stesen keretapi Guangzhou Timur.

Setelah satu jam setengah, maka keretapi api kami sampai ke destinasi iaitu di Stesen Keretapi Guangzhou Timur. Kami berjalan mengikut tanda arah untuk keluar dan apabila sampai di pintu keluar, tiket perlu imbas kembali di pintu tersebut. Nasib baik kami masih simpan tiket tersebut. Perlu diingatkan, jangan buang tiket anda walaupun ia telah diimbas semasa masuk, kerana ketika keluar, tiket perlu juga diimbas.

Isteri saya di balai ketibaan stesen keretapi Guangzhou Timur.

Mesin tiket Metro Guangzhou.

Seterusnya, kami terus ke stesen Metro Guangzhou Stesen Keretapi Guangzhou Timur yang pintu masuknya betul-betul sebaik sahaja pintu keluar stesen keretapi ini. Maka kami ke mesin tiket automatik untuk membeli tiket. Kami membeli tiket ke stesen Metro Guangzhou Haizhu Square untuk ke hotel penginapan kami, yang akan melalui lapan stesen dengan satu stesen pertukaran. Tambangnya berharga RMB3 (+- RM2) setiap seorang. Kami kemudiannya masuk ke kawasan berbayar dengan mengimbas token tiket dan menuju ke platform laluan 1. Di stesen ini terdapat dua laluan Metro Guangzhou, iaitu laluan 1 (kuning) dan laluan 3 (oren).

Token tiket sehala Metro Guangzhou.

Orang memang agak ramai di dalam tren Metro Guangzhou ini. Memang betulah seperti mana kawan saya cakap, jika di India, orang ramai seperti semut, di China, orang ramai seperti kuman. Memang sejak kami masuk kami tidak dapat duduk walaupun stesen ini merupakan terminal bagi laluan 1. Setelah empat stesen, kami tiba di stesen Dongzhankou, dan berpindah platform (perlu berjalan sedikit) ke laluan 6 (ungu) pula untuk ke Haizhu Square.

Keadaan di dalam tren Metro Guangzhou.


Pintu keluar F, stesen Metro Guangzhou Haizhu Square.

Akhirnya sampailah kami di stesen Haizhu Square setelah empat stesen seterusnya. Kami keluar melalui pintu F dan kemudian berjalan kaki menuju ke Hotel Taisheng, hotel penginapan kami di Guangzhou.


Peta: Perjalanan dari stesen keretapi Guangzhou Timur 

ke stesen Metro Guangzhou Haizhu Square.

Warga emas Guangzhou sedang menghabiskan masa lapang dengan bermain alat muzik.

Dalam perjalanan ke hotel, kami dapat melihat sekumpulan golongan warga emas sedang bermain alat muzik tradisional, di mana mereka sedang membuat persembahan. Kami berhenti sekejap untuk melihat. Usai sahaja mereka membuat persembahan, kami pun beredar untuk ke hotel penginapan.

Pintu masuk utama Taifu Centre.


Kaunter daftar masuk Taisheng Hotel.

Kadar bilik walk in di Taisheng Hotel.

Sampai di sahaja di kompleks membeli-belah Taifu Square pada pukul 2:30 petang, kami masuk ke dalamnya. Rupa-rupanya, kaunter daftar masuk hotel ini adalah di kaunter informasi hotel ini. Kami pun mendaftar masuk dan membayar RMB130 (+- RM91.00) bagi semalam per bilik. Jadi kami membayar RMB 260 (+- RM182.00) untuk dua malam. Agak murah berbanding harga yang terpapar iaitu RMB178 (+- RM125)!


Kad perniagaan Taisheng Hotel.

Resit pembayaran Taisheng Hotel.

Latar iklan Taisheng Hotel di tingkat 11, Taifu Center.

Papan maklumat ingatan imigresen China.

Setelah selesai proses daftar masuk (petugas kaunter boleh berbahasa Inggeris tetapi tidak lancar), kami pun naik ke tingkat 11 untuk bilik penginapan kami. Alhamdulillah ia lebih baik dari penginapan kami di Hong Kong. Dengan terdapatnya kemudahan WiFi dan agak dekat dengan beberapa tempat tumpuan pelancong, hotel ini amat berbaloi.


Lorong menuju ke bilik Taisheng Hotel.

Keadaan bilik kami di Taisheng Hotel.

Kami pun berehat beberapa jam untuk melepaskan penat kami sebelum kami keluar untuk berjalan-jalan sekitar hotel ini. Saya memaklumkan kepada abang Zainudin, program pada malam ini adalah bebas mengikut masing-masing.

Keadaan tandas bilik kami di Taisheng Hotel.

Perlu diingat bahawa, soket elektrik di China adalah berbeza sekali. Jadi jangan lupa untuk membeli penyesuai sejagat (universal adapter) untuk kegunaan kita. Jika tidak membawa, boleh beli penyesuai di gerai yang ada di Taifu Center atau kedai-kedai berdekatan.

Soket elektrik di China.


Sebuah buggy polis di kawasan membeli-belah Jalan Beijing, Guangzhou.


Pada pukul 5:30 petang kami berjalan menuju ke kawasan membeli-belah Beijing Lu (Jalan Beijing / Beijing Road). Kiranya kawasan ini seperti Jalan Bukit Bintang di Kuala Lumpur. memang banyak premis perniagaan di sini, cuma ia bukanlah kawasan membeli-belah yang murah. Banyak premis berjenama di sini. Kawasannya juga agak bersih dan moden, juga agak selamat kerana terdapat polis sentiasa meronda di sini. Saya dan isteri saya singgah sekejap ke pasaraya PARKnSHOP di sini untuk  membeli beberapa barang keperluan.


Suasana di kawasan membeli-belah Jalan Beijing, Guangzhou.


Sebuah bangunan bercirikan rekabentuk tradisional China 
di kawasan membeli-belah Jalan Beijing, Guangzhou.


Peta: Perjalanan berjalan kaki dari Taisheng Hotel 

ke kawasan membeli-belah Jalan Beijing, Guangzhou.

Di Guangzhou, pukul 5:45 sudah masuk waktu Maghrib. Kami berpusing-pusing di sini dalam kira-kira hampir dua jam. Seterusnya, kami terus ke stesen Metro Guangzhou Beijing Lu untuk ke stesen Liede untuk ke Taman Liede.


Peta: Perjalanan dari kawasan membeli-belah 

Jalan Beijing, Guangzhou ke Taman Liede, Guangzhou.

Kami menaiki tren Metro Guangzhou dengan melalui 9 stesen di mana kami transit dari laluan 6 ke laluan 5 (merah) di stesen Ouzhuang. Sampai di stesen Liede, kami keluar melalui pintu A, dan berjalan kaki menyusuri Liede Avenue (Persiaran Liede) untuk Taman Liede. Di Taman Liede ini adalah tempat sesuai untuk mengambil gambar Menara Canton (Canton Tower), mercu tanda utama di Guangzhou. Kami ke Taman Liede (Liede Park) ini kerana di sini juga dapat mengambil gambar Jambatan Liede yang agak futuristik rupanya, sesuai dipasangkan dengan Menara Canton.



Permandangan Menara Canton dan Jambatan Liede dari Taman Liede, Guangzhou.


Gambar saya berlatar belakangkan Menara Canton dan 
Jambatan Liede dari Taman Liede, Guangzhou.


Menara Canton ini disiapkan pada tahun 2009 dan mula beroperasi sepenuhnya pada tahun 2010, serentak dengan kejohanan Sukan Asia 2010 yang mana Guangzhou menjadi tuan rumah. Pada masa ia disiapkan, ia meruapakan menara komunikasi tertinggi di dunia, mengalahkan CN Tower di Toronto, Kanada. Namun kini ia menjadi menara ketiga tertinggi di dunia dan kelima bagi struktur bangunan di dunia. Boleh baca lanjut di Wikipedia.



Saya "menggenggam" Menara Canton, Guangzhou.


Peta: Kedudukan Restaurant Mintleaf.

Restoran Mintleaf di Jalan Beijing, Guangzhou.

Setelah hampir sejam di Taman Liede, kami kembali semula ke Beijing Lu dan singgah makan di sebuah restoran makanan halal yang kami terjumpa sebelum ini. Restoran itu adalah Restaurant Mintleaf. Di luar diiklankan ia menyajikan makanan dari serata Asia termasuk Malaysia. Pastinya, makanannya kebanyakannya merupakan makanan Asia Selatan (benua India), dan halalan toyyiban. Alhamdulillah.


Risalah Restoran Mintleaf.


Risalah Menu Restoran Mintleaf.


Suasana di dalam Restoran Mintleaf.

Suasana restoran ini agak selesa juga, tidak terasa seperti restoran India lain. Pelayan-pelayan merupakan warga tempatan, namun boleh berbahasa Inggeris  juga. Menu diberi, dan kami melihat satu-satu menu. Akhirnya saya memilih makan nasi bersama ayam kukus bersama herba tempatan. Memang bukan makanan Asia Selatan tetapi makanan tempatan.

Makanan kami di Restoran Mintleaf.


Kad perniagaan Restoran Mintleaf.

Semasa kami sedang menjamu selera, kami ditegur dengan diberikan salam oleh seseorang. Rupanya chef dan juga tuan punya restoran ini iaitu Chef Abdul Rahman. Memang boleh berbahasa Melayu. Memang rancang perbualan kami. Rupa-rupanya sudah 12 tahun dia berada di Guangzhou ini. Sebelum ini sudah banyak tempat dia telah merantau untuk masak. Malah pernah menjadi tukang masak di Restoran Line Clear di Pulau Pinang. Tidak hairanlah boleh berbahasa Melayu. Chef Abdul Rahman ini sebenarnya berasal dari Rameswaran di negeri Tamil Nadu iaitu bandar terdekat dengan pulau Sri Lanka, kira paling hujung di India. Saya kata, kira sama kampung dengan bekas Presiden India, Abdul Kalam lah ni. Memang betul-betul dia mengiakan.


Saya dan Chef Abdul Rahman, pemilik Restoran Mintleaf.


Kotak tisu Restoran Mintleaf.

Memang menarik restoran ini. Malah kota tisunya pun agak menarik. Untuk makan malam kami di sini, kami menghabiskan sebanyak RMB 86.00 (+- RM60) termasuk bekalan nasi untuk di bawa pulang. Walaupun agak mahal, namun agak puas hati juga.


Resit Restoran Mintleaf.

Peta: Kedudukan pasar Mupaitou.

Dalam perjalanan pulang, kami sengaja masuk ke dalam sebuah lorong kerana kami melihat orang tempatan asyik keluar masuk ke lorong ini. Rupanya ia adalah sebuah pasar basah. Terdapat banyak barangan makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, daging, makanan laut dan sebagainya. Terdapat juga kedai-kedai runcit dan kedai-kedai makanan. Kami berjalan sehingga ke hujung. Kagum juga, sehingga waktu lewat malam ini, pasar masih dibuka.

Pasar Mupaitou di waktu malam..

Setelah selesai berjalan-jalan, kaki kami pun terasa sakitnya. Sampai di penginapan, masing-masing merendamkan kaki ke dalam air panas dan mengurut kami masing-masing. Sambil itu melayan dengan menonton televisyen saluran tempatan. Tidak lama kemudian, kami pun zzz...

Bersambung ke Hari 5.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2 Part 1; 
  • Day 2 Part 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4 (this part); 
  • Day 5; or 
  • Day 6 & 7. 

Tiada ulasan: