Jumaat, 3 April 2015

Hari 2 (Pekanbaru, Indonesia - 29 hingga 30 Mac 2015) - Selamat Tinggal Riau.

Bersambung dari Hari 1 Bahagian 2.


Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary
  • Day 1 Part 1; 
  • Day 1 Part 2; or 
  • Day 2 (this part).


Pagi ini saya agak segar. Alhamdulillah. Penat semalam agak sudah hilang. Sementara hendak tunggu waktu sarapan yang akan dibuka pada pukul 7:00 pagi WIB, kami menonton televisyen. Nampaknya sejak semalam, paparan pengkebumian artis Indonesia, Olga Syahputra menjadi paparan utama. Al-Fatihah untuk allahyarham.



Jam 7:00 pagi, kami pun turun ke bawah di coffee house untuk sarapan pagi. Saya ingatkan sarapan berupa bufet tapi tidak. Rupanya perlu minta secara a la carte. Ada bermacam-macam pilihan, cuma tetiba saya ingin makan barat pula. French Toast yang dipilih saya. Bila fikir balik, kelakar pula pilihan saya.


Usai selesai bersarapan, kami kembali ke bilik untuk mengambil beg-beg kami yang telah dikemaskan dan kemudian kami terus ke front desk untuk daftar keluar. Semasa proses daftar keluar, saya meminta pihak hotel untuk memanggilkan teksi ke lapangan terbang, kerana wang saya masih banyak terutama setelah wang cagaran saya dipulangkan. Rancangan asal untuk mengambil Trans Metro Pekanbaru tapi saya risau nanti lambat dan terlepas penerbangan pula.


Keluar sahaja dari hotel, teksi Blue Bird berwarna biru telah tiba. Ini kali pertama, kembara secara backpack saya menggunakan teksi sebagai pengangkutan. Dalam masa hampir 20 minit, sudah sampai kami di terminal lapangan terbang. Sebanyak Rp56 ribu saya berikan kepada pemandu teksi dari pecahan Rp52 ribu (tambangnya hanya Rp51 500, tetapi dibundarkan ke ribu seterusnya) dan bayaran parkir lapangan terbang (lalu sahaja pun perlu bayar) sebanya Rp3 ribu. Selebihnya sebagai infak saya kepada pemandu.



Oleh sebab masih awal lagi, kami duduk dahulu di balai berlepas sebelum dewan daftar masuk. Kiranya lapangan terbang ini lebih seperti di Malaysia berbanding di Indonesia, kerana terminal lapangan terbang di Indonesia, balai berlepasnya tidak dibuka kepada selain penumpang yang ingin mendaftar masuk.



Pukul 8:45 pagi, barulah kami bergerak ke dewan daftar masuk untuk mendaftar masuk. Perlu melalui pemeriksaan bagasi dahulu dan di tampal pelekat bagi bagasi yang akan didaftar masuk. Kami ke kaunter 8 dan 9 untuk pendaftaran masuk penerbangan Firefly. Untungnya menggunakan FireFly, penumpang-penumpangnya diberikan elaun bagasi percuma sebanyak 20 kilogram untuk didaftar masuk, apa lagi, saya daftar sekali beg saya yang cuma 8 kilogram sahaja.


Setelah selesai mendaftar masuk, baru saya perasan, mesin membalut bag terletak selepas pemeriksaan beg. Boleh dikatakan di Indonesia, semuanya begitu. Rasanya ia lebih sesuai diletakan sebelum pemeriksaan.



Kami terus ke tingkat atas untuk ke balai menunggu pelepasan. Oleh kerana perut saya hanya teralas sedikit, maka, saya pun makan bakso dan minum air tembikai susu (honey dew) yang dipanggil jus melon di Indonesia di sebuah restoran di ruang legar selepas eskalator. Boleh tahan juga. Tapi biasalah harganya agak mahal kerana makan di lapangan terbang. Setelah selesai, sebanyak Rp58 ribu (+- RM19.40) dibayar untuk makanan tersebut.



Di ruang legar ini terdapat juga beberapa gerai menjual cenderahati dan hasil-hasil makanan untuk di bawa balik. Tuan Saidi membelilah beberapa barangan, untuk menghabiskan rupiah yang ada. Terdapat juga sebuah restoran minuman kopi. Ke sebelah kanan adalah ke dewan menunggu pelepasan domestik dan kami ke sebelah kiri untuk ke dewan pelepasan antarabangsa.



Sampai sahaja di depan pintu pelepasan antarabangsa, kaunter imigresen menunggu kami. Kami menyerahkan pasport untuk dicop, dan alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Seterusnya sekali lagi kami dan bagasi kabin (jika ada) diperiksa. Pemeriksaan di sini kurang tegas sedikit berbanding di Malaysia atau tempat lain di Indonesia. Kalau masih pakai tali pinggang, tidak perlu dibuka, tapi sebaiknya bukalah dulu.







Tempat duduk di balai pelepasan ini agak banyak juga. Juga terdapat stesen khas untuk mengecaj gadget-gadget. Apa lagi, saya cajlah telefon bimbit saya. Selain soket biasa Indonesia, terdapat juga soket biasa Malaysia dan juga soket USB sahaja. Memang membantu penumpang dan memenuhi keperluan penumpang. Memang langkah pengurusan Lapangan Terbang Sultan Syarif Kasim II ini amat baik sekali.






Pada pukul 9:50 pagi, kelihatan pesawat FireFly mendarat. Bermakna, tidak lama lagi kami akan meninggalkan bumi Riau ini. Sepuluh minit kemudian, pengumuman kedengaran memanggil penumpang-penumpang FY3409 untuk menaiki pesawat. Kami berjalan menuju ke pasawat ATR72-600 bernombor pendaftaran 9M-FYJ yang sedia menunggu. Akhirnya, pada jam 10:20 pagi, pesawat ini bergerak dan lima minit kemudian, berlepas menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang. Selamat Tinggal Riau.






Seperti biasa, sedikit kudapan diberikan di dalam penerbangan FireFly.


Dalam penerbangan ini, saya banyak ambil gambar, malah saya sempat mengambil gambar bandar Dumai dari udara. Pada satu masa saya mengambil gambar kapal-kapal yang banyak, sedang berlayar di Selat Melaka. Memang banyak umpama sebuah lebuhraya. Pada masa sama, saya ternampak sebuah kapal terbang meluncur laju menuju ke Sumatera di bawah pesawat kami yang ketika itu berada di 15 000 kaki dari aras bumi.



Apabila sampai di ruang udara Malaysia, satu ketika kapal terbang kami betul-betul melewati Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Dapat jelas kelihatan kapal terbang - kapal terbang mendarat dan berlepas dari ketiga-tiga landasan terbangnya.



Akhirnya, pada jam 12:10 tengahari, kapal terbang kami mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang. 



Turun sahaja dari kapal terbang, terus berjalan ke balai ketibaan. Sebelum ke kaunter imigresen Malaysia, saya ternampak kedai bebas cukai di terminal ini. Cuma bagi saya, lebih baik dibuat juga kedai yang sama, atau besarkan kedai sedia ada di balai berlepas, mungkin lebih banyak akan membeli, kerana biasanya orang akan beli barang ketika hendak berlepas bukan semasa ketibaan.


Alhamdulillah, kami terus ke kaunter khas untuk pemegang pasport Malaysia. Urusan amat mudah. Bagi pemegang pasport lain, perlu beratur lebih panjang. Selepas selesai, saya menunggu beg, dan tuan Saidi memohon diri untuk pulang. Terima kasih kerana sudi menemani saya bagi kembara pendek ini. Beg saya pun tiba tidak berapa lama kemudian.

Seterusnya saya keluar dan kereta isteri saya sedia menanti di pintu ketibaan. Kami singgah makan tengahari dahulu di sebuah restoran makanan kampung di Jalan Kuching dan pulang ke rumah selepas itu.

Alhamdulillah usai sudah kembara pendek ke Pekanbaru kali ini. Memang betul, ada masanya di Pekanbaru terasa berada di Malaysia kerana gaya bahasa Melayu yang dipertuturkan sama seperti di pantai barat daya Semenanjung Malaysia. Namun ada juga berbezaan yang ketara. Walaupun ada yang kata Pekanbaru tiada apa, tapi bagi saya ia juga ada yang menaiknya.



Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary
  • Day 1 Part 1; 
  • Day 1 Part 2; or 
  • Day 2 (this part).

Tiada ulasan: